Samun, pukul pelajar – Sinar Harian


Samun, pukul pelajar

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mac 2013

BATU GAJAH – Bukan sekadar menyamun seorang pelajar lelaki tingkatan satu, malah dua lelaki sanggup memukul pelajar Sekolah Menengah Batu Gajah itu menggunakan topi keledar sebelum melarikan diri dalam satu kejadian, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shahanon Anuar Abdul Latif memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 11 pagi dan ketika itu, remaja berkenaan yang bercadang membeli barang.

Menurutnya, remaja berkenaan telah berhenti di hadapan satu deretan kedai di Perumahan Awam Bemban, di sini, dan mendapati kedai berkenaan tutup.

“Kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 kemudiannya menghampiri mangsa dan menyamun dompetnya yang mengandungi wang tunai sebanyak RM44.

“Ekoran kejadian, remaja berkenaan bertindak mengejar suspek sehingga ke kawasan tangki air di Taman Pelangi dan suspek bertindak memukul remaja itu dipercayai menggunakan topi keledar sebelum merampas telefon bimbitnya,” katanya kepada Sinar Haria, semalam.

Tambah beliau, kejadian itu telah menyebabkan remaja berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM1,000 dan remaja itu selaku pengadu terus ke Balai Polis Batu Gajah untuk membuat laporan polis.

Shahanon berkata, kedua-dua suspek berusia 33 tahun berjaya diberkas kira-kira 45 minit selepas kejadian.

“Anggota polis berjaya mengesan seorang daripada suspek, iaitu pembonceng motosikal dan menemui telefon bimbit remaja berkenaan. Tangkapan itu membolehkan kita berjaya menjejak rakannya di Taman Pelangi.

“Sebuah topi keledar milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memukul remaja berkenaan turut dirampas dan kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 13 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Didik guna elektrik secara selamat – Sinar Harian


Didik guna elektrik secara selamat

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mac 2013

SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor merancang bekerjasama dengan pejabat pendidikan daerah (PPD) di negeri itu dalam usaha memupuk kesedaran berkaitan keselamatan penggunaan elektrik kepada pengguna.

Pengurus Besarnya, Datuk Mohd Azim Yusof berkata, pihaknya sudah merangka beberapa program melibatkan seminar dan pameran mini di sekolah terpilih, dalam tempoh terdekat.

“Kita sekarang dalam proses untuk mengatur rancangan bagi mengadakan perbincangan lanjut dengan PPD berhubung perkara itu supaya mereka boleh beri cadangan sekolah yang bakal terlibat.

“Pada masa sama, kita juga akan perkenalkan kerjaya sebagai jurutera elektrik kepada pelajar. Program ini akan dimulakan tahun ini juga kerana kesedaran berkaitan keselamatan ini wajar diterapkan dari peringkat sekolah lagi,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Big Wave Asset TNB Selangor, di sini, semalam.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mohd Azim berkata, kira-kira 2,700 kakitangan TNB di 12 daerah di Selangor turun padang membuat pemeriksaan secara berkala bermula semalam di semua penempatan pencawang dan kawasan pemasangan elektrik.

Katanya, langkah itu dilakukan bagi memastikan keadaan semua peralatan membekalkan elektrik dalam keadaan selamat, selain mempertingkat perkhidmatan mereka untuk menjamin keselesaan pengguna.

“Kira-kira 14,600 pencawang elektrik di semua daerah di Selangor dibersihkan, diperiksa dan dibaiki bergantung kepada keperluan.

“TNB selalu bergotong-royong menjalankan aktiviti ini, tetapi hari ini (semalam) kita jalankan serentak sebagai menyokong usaha kerajaan yang mengekalkan TNB sebagai sebuah organisasi bersepadu membekalkan elektrik kepada pengguna,” katanya.

Cadangan Seorang Jururawat Satu Sekolah – Liow – Bernama


Cadangan Seorang Jururawat Satu Sekolah – Liow

BENTONG: Kementerian Kesihatan bercadang menempatkan seorang jururawat di setiap sekolah dalam usaha membantu pelajar meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan diri.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata buat masa ini pihaknya masih membincangkan perkara itu dengan Kementerian Pelajaran di mana buat permulaan, program itu akan dimulakan di sekolah rendah.

“Cadangan seorang jururawat di sekolah ini dilihat boleh membantu para pelajar menjaga kesihatan dan kebersihan diri selain cara pemakanan mereka.

“Sebelum ini, jururawat hanya datang ke sekolah untuk mengajar pelajar cara gosok gigi dan sebagainya, selepas ini pelajar boleh terus merujuk kepada jururawat yang ditempatkan di sekolah masing-masing sekiranya berdepan dengan masalah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Program Dapat Ajar Semua Subjek A (Dasar) Dalam Peperiksaan Awam bagi Parlimen Bentong’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bentong di sini, Sabtu.

Beliau berkata selain itu kementeriannya juga bercadang memperkenalkan subjek berkaitan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran pelajar dalam aspek kesihatan termasuk menangani tekanan dalam pelajaran.

Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata tekanan kini dilihat sangat serius dalam kalangan pelajar dan beliau berharap subjek itu dapat membantu mereka berdepan dan menangani tekanan dengan bijak.

“Masalah mental dalam kalangan pelajar kini meningkat dan untuk itu pelajar perlu didedahkan dengan keupayaan menangani tekanan manakala guru pula perlu membimbing mereka bagaimana cara mengatasi tekanan itu,” katanya.

Menurutnya antara punca tekanan dalam kalangan pelajar adalah daripada ibu bapa dan guru yang mahukan pelajar memberikan keputusan cemerlang dalam setiap subjek walaupun sedar ia di luar kemampuan pelajar.

Katanya ibu bapa sepatutnya menanamkan minat belajar di dalam diri mereka dengan cara yang betul manakala guru perlu sentiasa kreatif dan inovatif ketika mengajar, bukannya terlalu menekan pelajar. – BERNAMA

Malang cari duit saku – Metro


Malang cari duit saku

 8  0 Google +0  0  0

Niat seorang pelajar tingkatan lima, Muhammad Zulhakimi Mat Ripin, 17, bekerja sambilan sebagai kelindan lori pada hujung minggu untuk memperoleh wang lebih bertukar tragedi apabila disahkan lumpuh seumur hidup selepas terjatuh pada hari pertama bekerja.

Remaja itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, akibat patah tulang belakang dan disahkan lumpuh kedua-dua kaki selain bakal menjalani pembedahan memasukkan besi pada bahagian belakangnya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan di sini, berkata, kejadian berlaku pada 24 Februari lalu ketika dia memunggah besi paip seberat lebih satu tan di sebuah kilang di Kerteh, Terengganu.

 

“Sebelum kejadian, saya berdiri di atas satu paip besi yang masih berada atas lori untuk melakukan kerja, namun tiba-tiba sebatang paip besi lain yang diangkat forklift terjatuh ke lantai menyebabkan saya terkejut dan tergelincir.
“Ketika terjatuh, bahagian belakang terkena batang besi menyebabkan tulang belakang patah tiga selain sebahagian kecil remuk menyebabkan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu sebelum dipindahkan ke HTAA,” katanya ketika ditemui di HTAA, semalam.
Katanya, ketika kejadian dia hanya kebas di kaki hingga tidak boleh berdiri dan tidak menyangka kecederaan dialami serius, malah menyebabkan lumpuh seumur hidup.

 

Sementara itu, ibunya, Rohana Abdul Ghani, 42, berkata anak kedua daripada enam beradik itu selalu bekerja sambilan setiap kali cuti sekolah termasuk hujung minggu dan dia tidak menghalang asalkan tidak mengabaikan pelajaran. Terdahulu, remaja itu menerima kunjungan daripada Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Seluruh Mukim Beserah dan Sungai Karang (BAKKISS).

Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM 2016 disambut baik – Bernama


Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM 2016 disambut baik

2013/03/09 – 16:24:40 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik pelan kerajaan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pelan itu adalah inisiatif yang bertepatan dengan masa dan perlu dilihat dengan perspektif positif.

“Kita di NUTP menganggap ia sebagai satu cabaran yang baik, maknanya kalau kita tidak laksanakannya sekarang kita akan ketinggalan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pelan berkenaan semalam yang menurutnya adalah seiring dengan pelaksanaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Menurutnya perkara itu sedang diperhalus Kementerian Pelajaran dan pelaksanaannya kelak diharap akan menurunkan peratusan pelajar yang gagal mata pelajaran berkenaan dalam SPM.

Hashim berkata, biarpun banyak transformasi dan usaha yang dilakukan kerajaan dalam meningkatkan mutu bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, namun tidak dinafikan mutu pelajar negara di dalam bahasa Inggeris masih ketinggalan.

“Jadi kita harap inisiatif ini yang akan dilaksanakan dalam masa tiga tahun lagi mampu mengubah mutu pelajar kita, kalau boleh kita mahu lebih dari sekadar lulus dan terus mendapat kepujian,” katanya.
Ke arah melaksanakan pelan itu, beliau mengingatkan kerajaan supaya segala persiapan dari segi kebolehupayaan guru dan kapasiti guru disediakan dengan mencukupi.

“Kita tak nak ada pelajar yang teraniaya, terutama di kawasan pedalaman,” katanya dengan memberi cadangan supaya sidang meja bulat bersama pakar di bidang pendidikan diwujudkan bagi memastikan mutu bahasa Inggeris mencerminkan mutu pelajar sendiri.

Turut bersetuju ialah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan yang menyifatkan pengumuman pelan itu sebagai satu langkah wajar.

Menyifatkan pengumuman tiga tahun lebih awal mengenai pelaksanaan pelan itu sebagai strategi berkesan beliau mencadangkan kerajaan turut menimbang antara lain persediaan latihan mencukupi kepada guru-guru, mengemas kini kokurikulum sedia ada dan mewujudkan insentif dan kemudahan bersesuaian.

“Mungkin juga bagi mereka (guru bahasa Inggeris) peruntukan khas, begitu juga kemudahan sekolah seperti bahan-bahan bacaan, makmal bahasa Inggeris perlu difikirkan untuk diwujudkan, bagi mewujudkan persekitaran yang sesuai,” katanya.

Namun begitu, beliau berkata, peranan untuk meningkatkan mutu bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tidak hanya terletak di tangan kerajaan, pihak swasta dan ibu bapa perlu turut main peranan.

Turut mengalu-alukan pelan kerajaan itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang berkata dengan pelaksanaannya pelajar akan lebih mengambil serius mengenainya.

Beliau berkata, kebanyakan majikan kini juga melahirkan kerisauan mengenai mahasiswa yang gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

“Jadi diharapkan selepas beberapa inisiatif termasuk PPSMI, MBMMBI, dan terbaru pelan ini, mutu bahasa Inggeris pelajar akan meningkat,” katanya. – BERNAMA

Rogol pelajar: Pemuda dipenjara 14 tahun, sebatan – Utusan


Rogol pelajar: Pemuda dipenjara 14 tahun, sebatan

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 8 Mac – Seorang pemuda berusia 26 tahun dihukum penjara 14 tahun dan sebatan tiga kali atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur, lima tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhirnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha sebulat suara menambah hukuman penjara terhadap Mohd. Muhsinun Wahab daripada tujuh tahun kepada 14 tahun dan sebatan selepas menolak rayuannya.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Mah Weng Kwai menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60(2) Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meminda hukuman tersebut.

Pada 11 April 2011, Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun manakala Mahkamah Tinggi Alor Setar mengekalkan hukuman itu pada 21 Februari tahun lalu.

Pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan. Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, hukuman diperintah berkuat kuasa mulai hari ini.

Dalam keputusannya, panel itu berpendirian, hukuman penjara tujuh tahun yang dikenakan sangat tidak mencukupi berbanding berat kesalahan yang dilakukan.

Hakim Jeffrey menyatakan, faktor kesalahan pertama lelaki itu tidak boleh dijadikan alasan untuk meringankan hukuman jika melibatkan perbuatan yang serius.

Mohd. Muhsinun didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun kira-kira pukul 8 malam, 5 Oktober 2008 di sebuah pondok di ladang kelapa sawit Padang Serai, Kulim.

Perayu ketika itu berusia 21 tahun manakala mangsa masih bersekolah. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

Keterangan kes menyatakan, sebelum kejadian, mangsa bersama-sama seorang rakan wanitanya berada di sebuah pusat beli-belah. Dia kemudian menelefon abang angkatnya agar menghantarnya pulang.

Abang angkatnya tiba bersama Mohd. Muhsinun menaiki dua buah motosikal. Abang angkatnya menghantar rakan wanita mangsa manakala gadis tersebut dihantar pulang oleh perayu.

Mohd. Muhsinun sebaliknya melencong ke arah ladang kelapa sawit dan merogol mangsa di pondok tersebut. Dia kemudian menelefon tujuh lagi rakannya agar datang ke situ lalu mangsa dirogol bergilir-gilir.

Perayu diwakili oleh peguam Aqbal Shiffuddin manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130308/ma_06/Rogol-pelajar-Pemuda-dipenjara-14-tahun-sebatan#ixzz2N3FhVtwL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sekolah di Semporna dibuka Isnin – Bernama


Sekolah di Semporna dibuka Isnin

 

KUALA LUMPUR 9 Mac – Kesemua 49 sekolah di daerah Semporna, melibatkan 40 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah yang ditutup sementara ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu akan dibuka sepenuhnya Isnin ini, kata Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Jame Alip.

Bagi lapan sekolah yang terlibat di Lahad Datu pula, Jame berkata, keputusan sama ada membuka semula sekolah atau sebaliknya akan ditentukan hari ini selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pasukan keselamatan.

Beliau berkata, satu mesyuarat khas kumpulan kerja keselamatan negeri Sabah akan diadakan hari ini di Kota Kinabalu bagi mengetahui jaminan keselamatan di sekitar sekolah yang terlibat. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130309/dn_21/Sekolah-di-Semporna-dibuka-Isnin#ixzz2N3D7TtsI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kajian terperinci kenal pasti guru agama ajar Syiah – TPM – Bernama


Kajian terperinci kenal pasti guru agama ajar Syiah – TPM

 

GEORGE TOWN 9 Mac – Kerajaan akan menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti guru Agama Islam yang terlibat dengan ajaran Syiah agar ia dapat dibendung dan umat Islam di negara ini tidak tersesat dengan ajaran berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kajian itu perlu dibuat dengan menjalankan tinjauan di beberapa peringkat dan bukan hanya membuat andaian sahaja.

“Ini termasuk melihat perwatakan guru (yang terlibat ajaran Syiah), cara dia mengajar, pergaulan dan penglibatannya dengan ajaran itu. Jika betul terlibat nasihatkannya dan tengok bagaimana dia terpesong dan dipesong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Multaqa Guru Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Zon utara di Universiti Sains Malaysia di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 2,300 guru agama.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian bagi menjawab soalan seorang guru agama dari Kedah yang mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap penularan guru agama yang terlibat dengan ajaran Syiah.

Beliau berkata, tindakan segera juga perlu diambil kerana ajaran Syiah bertentangan dengan ajaran Agama Islam di negara ini dan ia tidak boleh diterima lebih-lebih lagi melibatkan guru-guru agama.

“Dari segi peraturan pendidikan juga telah menyalahi kerana mereka (guru terbabit) mengajar tidak mengikut sukatan yang sepatutnya dan kementerian juga telah mengeluarkan pekeliling berhubung perkara itu (mengajar mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan),” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya ajaran Syiah itu merebak kepada pelajar menerusi pembelajaran di sekolah dan masyarakat kerana pengaruh seorang guru agama begitu besar di kalangan masyarakat.

“Pengaruh Syiah dari negara Iran ada di sini dan cuba disebarkan di kalangan masyarakat. Ini satu masalah besar bukan sahaja sistem pendidikan tetapi masyarakat Islam, jadi saya mahu tindakan segera diambil bagi mengelak perkara ini terus merebak,” katanya.

Sementara itu ketika berucap, Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan banyak perkara dalam memartabatkan Islam antaranya sistem pendidikan Islam di sekolah, pewujudan universiti Islam antarabangsa dan melaksanakan sistem perbankan dan kewangan Islam yang diakui sebagai model terbaik di seluruh dunia.

“Segala bentuk pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan BN adalah selaras dengan tuntutan Islam sepertimana yang selalu disebutkan “Keseimbangan Hidup Duniawi dan Ukhrawi”,” katanya.

Beliau berkata dasar yang berkaitan Islam tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya Malaysia tidak mempunyai sebuah kerajaan atau pentadbiran yang komited untuk memartabatkan dan mempertahankan kesucian agama Islam.

“Pendidikan Islam sebagai agama persekutuan tidak semestinya menjamin pelaksanaan dasar-dasar Islam sekiranya tiada komitmen ataupun tidak ada iltizam di pihak kerajaan yang tidak melihat kesucian agama Islam terus dipelihara dan syiar Islam berkembang,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan pusat telah memberi tumpuan dan usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan Islam kerana ia adalah sesuatu yang penting untuk umat Islam di Malaysia.

Katanya, antara usaha kerajaan pusat adalah pemberian dan peruntukan yang berterusan membantu melaksanakan program dalam pendidikan Islam serta pemberian dana khas berjumlah RM100 juta untuk pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan sekolah agama di bawah Belanjawan 2013. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130309/dn_30/Kajian-terperinci-kenal-pasti-guru-agama-ajar-Syiah—TPM#ixzz2N3D1NqZ7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kerajaan tidak benar calon SPM ambil lebih 10 subjek – TPM – Bernama


Kerajaan tidak benar calon SPM ambil lebih 10 subjek – TPM

GEORGE TOWN 9 Mac – Kerajaan tidak bercadang untuk membenarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil lebih daripada 10 subjek kerana ia tidak menepati matlamat sebenar Kementerian Pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, matlamat sebenar adalah supaya pelajar lebih fokus pada subjek utama dan ia juga akan memudahkan guru membimbing mereka.

“Sebelum ini memang ada pelajar yang ambil sehingga 15 dan 20 subjek, tetapi sejak dua tahun lepas kita tidak benarkan lagi kerana mahu pelajar lebih fokus pada subjek utama. Setakat ini kita lihat okay (ambil 10 subjek sahaja),” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada Multaqa Guru Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Zon Utara di Universiti Sains Malaysia di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 2,300 guru agama.

Terdahulu, seorang guru mencadangkan kerajaan membenarkan calon SPM terutama dalam bidang Agama Islam mengambil lebih daripada 10 subjek supaya mereka boleh mengambil mata pelajaran dalam bidang Sains agar dapat membuat lebih pilihan untuk melanjutkan pelajaran.

Muhyiddin berkata, perkara itu perlu dikaji secara terperinci kerana bimbang ia akan membebankan pelajar terutama untuk mendapatkan pendidikan bagi subjek tambahan.

“Kalau 10 subjek, mudah untuk guru kita membimbing dan mereka (pelajar) juga tidak perlu belajar di luar untuk mendapatkan pendidikan tambahan bagi subjek lain.

“Mungkin pelajar dalam bidang Agama Islam lebih terbatas kerana tidak boleh ambil subjek lain, ini kita akan teliti secara mendalam,” katanya.

Kepada soalan mengenai kekurangan guru subjek Pendidikan Islam di sekolah sejak kebelakangan ini, Muhyiddin berkata, beliau memang mengambil perhatian perkara itu dan ia turut dibincangkan di peringkat Kabinet bagi mencari jalan penyelesaian.

Katanya, satu daripada usaha kementerian bagi mengatasi masalah itu bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas ialah menghantar Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) berkursus dan mengisi kekosongan dengan segera..

“Bukan hanya guru Pendidikan Islam tetapi subjek lain juga, ini kadang-kadang berlaku kerana masalah guru-guru bersara,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130309/dn_37/Kerajaan-tidak-benar-calon-SPM-ambil-lebih-10-subjek—TPM#ixzz2N3Cv7xhI
© Utusan Melayu (M) Bhd

OPERASI KAUNTER KHIDMAT PELANGGAN DI ARAS 1, BLOK E12, KOMPLEKS E, PUTRAJAYA


OPERASI KAUNTER KHIDMAT PELANGGAN DI ARAS 1, BLOK E12, KOMPLEKS E, PUTRAJAYA

08 March 2013

Operasi Kaunter Khidmat Pelanggan Di Aras 1, Blok E12, Kompleks E, Putrajaya

Tarikh Mula Operasi : 11 Mac 2013 (Isnin)

Bahagian Terlibat :    i) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
                                   ii) Bahagian Kewangan
                                   iii) Bahagian Akaun