Rogol pelajar: Pemuda dipenjara 14 tahun, sebatan – Utusan


Rogol pelajar: Pemuda dipenjara 14 tahun, sebatan

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 8 Mac – Seorang pemuda berusia 26 tahun dihukum penjara 14 tahun dan sebatan tiga kali atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur, lima tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhirnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha sebulat suara menambah hukuman penjara terhadap Mohd. Muhsinun Wahab daripada tujuh tahun kepada 14 tahun dan sebatan selepas menolak rayuannya.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Mah Weng Kwai menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60(2) Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meminda hukuman tersebut.

Pada 11 April 2011, Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun manakala Mahkamah Tinggi Alor Setar mengekalkan hukuman itu pada 21 Februari tahun lalu.

Pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan. Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, hukuman diperintah berkuat kuasa mulai hari ini.

Dalam keputusannya, panel itu berpendirian, hukuman penjara tujuh tahun yang dikenakan sangat tidak mencukupi berbanding berat kesalahan yang dilakukan.

Hakim Jeffrey menyatakan, faktor kesalahan pertama lelaki itu tidak boleh dijadikan alasan untuk meringankan hukuman jika melibatkan perbuatan yang serius.

Mohd. Muhsinun didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun kira-kira pukul 8 malam, 5 Oktober 2008 di sebuah pondok di ladang kelapa sawit Padang Serai, Kulim.

Perayu ketika itu berusia 21 tahun manakala mangsa masih bersekolah. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

Keterangan kes menyatakan, sebelum kejadian, mangsa bersama-sama seorang rakan wanitanya berada di sebuah pusat beli-belah. Dia kemudian menelefon abang angkatnya agar menghantarnya pulang.

Abang angkatnya tiba bersama Mohd. Muhsinun menaiki dua buah motosikal. Abang angkatnya menghantar rakan wanita mangsa manakala gadis tersebut dihantar pulang oleh perayu.

Mohd. Muhsinun sebaliknya melencong ke arah ladang kelapa sawit dan merogol mangsa di pondok tersebut. Dia kemudian menelefon tujuh lagi rakannya agar datang ke situ lalu mangsa dirogol bergilir-gilir.

Perayu diwakili oleh peguam Aqbal Shiffuddin manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130308/ma_06/Rogol-pelajar-Pemuda-dipenjara-14-tahun-sebatan#ixzz2N3FhVtwL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s