GAGASAN sokong penuh cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris
Setiausaha GAGASAN, Syed Anuar Syed Mohamad, berkata menerusi langkah itu, pelajar akan lebih serius dan bersungguh-sungguh memberi tumpuan kepada pembelajaran bahasa berkenaan.
Katanya, GAGASAN berpendapat syarat baru itu bukan bermakna berlakunya peminggiran Bahasa Melayu, tetapi sebenarnya akan mempercepatkan lagi hasrat Kementerian Pelajaran untuk mencapai matlamat memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris.
Menerusi e-mel kepada Bernama di sini, hari ini, Syed Anuar berkata ini amat perlu untuk memastikan generasi akan datang dapat bersaing di persada antarabangsa.
Syed Anuar berkata, GAGASAN menaruh keyakinan tinggi Kementerian Pelajaran akan dapat memastikan persiapan rapi dilakukan seperti penyediaan tenaga pengajar yang mahir dan mencukupi serta kemudahan pembelajaran lengkap termasuk memperkasakan makmal Bahasa Inggeris di sekolah.
Katanya, GAGASAN mencadangkan supaya guru pakar Bahasa Inggeris yang sudah bersara dibabitkan secara besar-besaran dan bersungguh-sungguh bagi membantu pelajar menguasai bahasa antarabangsa itu.
Beliau berkata, tumpuan khusus hendaklah diberi kepada pelajar tingkatan dua sekarang, kumpulan pertama yang akan terlibat dengan cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris SPM pada 2016.
– BERNAMA