Tempoh bina sekolah dipersoal
14 Mac 2013

Antara penduduk Serendah yang hadir menyuarakan tuntutan mengenai SJKT Serendah.
SERENDAH – “Berapa lama kita harus minta (sekolah)? Adakah selepas kerajaan bertukar baru sekolah ini akan dibina?” kata Pengerusi Save Tamil School Team (Save), M Jeeva mengenai pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Minyak, Serendah.
Menurutnya, walaupun janji mengenai pembinaan sekolah itu sudah lama dibuat, namun dia kesal kerana mendakwa pembinaannya lewat dilaksanakan.
Beliau bimbang sekiranya pembinaan itu tidak dimulakan dalam masa terdekat, penduduk Serendah sekali lagi terpaksa menghantar anak mereka bersekolah di tempat yang jauh.
“Jika mengikut janji Timbalan Perdana Menteri pada majlis pecah tanah tahun lalu, SJKT ini perlu siap segera supaya sesi persekolahan boleh dimulakan pada 2014.
“Tapi, sampai sekarang masih belum ada pembinaan, adakah sekolah ini boleh siap dan mula belajar pada masa itu,” katanya yang bimbang berlaku kelewatan.
Jeeva berkata, penduduk tidak peduli mengenai siapa kontraktor yang terlibat, tetapi hanya mahu melihat bangunan sekolah dibina dan beroperasi seperti dijanjikan.
Katanya, sehingga kini penduduk tidak pernah dimaklumkan mengenai perkembangan sekolah berkenaan menyebabkan mereka terus tertanya-tanya.
“Berapa lama kita harus minta dan tanya perkara yang sama?
“Sejak zaman Datuk G Palanivel (sebagai Ahli Parlimen) lagi kita minta sekolah ini sehinggalah perdana menteri dan timbalannya turun mengumumkan perkara ini, tapi sampai sekarang masih belum dibina,” katanya.
Semalam, Jeeva mengulas tindakannya bersama beberapa penduduk Serendah yang mengadakan perhimpunan aman di depan kuil, di sini, baru-baru ini bagi menuntut penjelasan mengenai isu SJKT tersebut.
Beliau mengharapkan supaya ada penyelesaian segera berhubung isu itu bagi meredakan kebimbangan penduduk kaum India Serendah.