Muhyiddin kesal guru hina anggota pasukan keselamatan – Bernama


Muhyiddin kesal guru hina anggota pasukan keselamatan

15 Mac 2013
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin menerima cenderahati daripada Dr Md Salleh Yaapar (kanan) sambil disaksikan Dr Awang Sariyan pada sidang akhbar mengenai Anugerah Sastera Negara Ke-12 di Bangunan Perd

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan tindakan seorang guru di Kelantan mengeluarkan kata-kata menghina pasukan keselamatan negara yang bertugas di Lahad Datu, Sabah melalui laman sosial, Facebook.

Timbalan perdana menteri dan juga menteri pelajaran itu berkata sebagai rakyat, guru itu sepatutnya menghargai pengorbanan wira-wira negara seperti mana rakyat lain dan bukannya menghina pasukan keselamatan negara yang sedang bertugas di Lahad Datu, Sabah, bagi mempertahan kedaulatan negara yang tercinta.

“Ini bukan suatu perkara yang remeh, satu perkara cukup serius yang menyentuh soal kedaulatan dan keselamatan.

“Rakyat Malaysia yang taat setia kepada negara, yang cintakan negara sepatutnya menghargai pengorbanan besar yang telah dibuat oleh pasukan keselamatan kita,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan penerima Anugerah Sastera Negara ke-12, Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain, di sini, hari ini.

Lelaki berkenaan dalam laman Facebooknya dan dipetik oleh beberapa penulis blog menggelar polis ‘anjing’ dan menyifatkan kematian mereka yang terkorban sebagai ‘mati katak’.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tindakan akan diambil terhadap guru berkenaan mengikut peraturan tatatertib di bawah Kementerian Pelajaran.

“Tindakan akan diambil mengikut peraturan disiplin iaitu pertama, meminta tunjuk sebab kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap beliau,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Pelajaran Kelantan telah diarah menyiasat kenyataan guru terbabit.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud berkata, imej dan reputasi warga pendidik turut terjejas akibat tindakan guru itu.- Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s