SK Zainab 2 lancar Tabung Wira Lahad Datu – Utusan


SK Zainab 2 lancar Tabung Wira Lahad Datu

Oleh NURUL AKMAR AIDA

KOTA BHARU 17 Mac – Pelbagai pihak di negeri ini terus menyatakan sokongan mereka kepada pasukan keselamatan negara yang berjuang menentang pengganas Sulu di Sabah dengan melancarkan Tabung Wira Lahad Datu.

Antara yang mengambil inisiatif melancarkan tabung tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 2, Jalan Telipot di sini, bertujuan mengumpul sumbangan untuk membantu keluarga anggota yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Majlis pelancaran tabung itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Tuan Mahmud Tuan Mat dengan dihadiri Guru Besar, Aidah Mohd. Salleh sempena Mesyuarat PIBG Ke-37 sekolah itu semalam.

Tuan Mahmud ketika ditemui kemudiannya berkata, sumbangan ini amat besar ertinya kepada keluarga anggota keselamatan yang gugur di medan perang kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu membiayai kos persekolahan anak-anak.

“Setakat ini sumbangan yang dapat dikumpul kira- kira RM1,200. Walaupun wang yang diperolehi tidak seberapa tetapi sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka sekeluarga untuk meneruskan hidup dan ini menunjukkan keprihatinan kita terhadap mereka.

“Kutipan sumbangan ini tidak terhenti setakat ini sahaja kerana akan diteruskan lagi pada minggu hadapan sehingga akhir bulan Mac dan kita akan mengutip sumbangan ini semasa perhimpunan sekolah, malah ibu bapa juga boleh mengirimkan melalui anak-anak kepada sekolah.

“Sumbangan sebegini perlu diberi oleh masyarakat kerana mengenangkan pengorbanan tentera untuk mempertahankan tanah air daripada diceroboh. Jika ada masyarakat yang tidak bersetuju dengan kerja kutipan derma ini ia adalah perbuatan yang tidak betul,” katanya di sini semalam. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130317/dn_63/SK-Zainab-2-lancar-Tabung-Wira-Lahad-Datu#ixzz2NnkE2PBg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kadar keciciran sekolah rendah – Sinar Harian


Kadar keciciran sekolah rendah

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Mac 2013

PASIR GUDANG – Rakyat di negara ini diminta terus setia dengan kerajaan sedia ada kerana keprihatinan kerajaan selama ini mengutamakan  pendidikan anak-anak sehingga kadar keciciran sekolah amat rendah.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan telah menyediakan sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di merata tempat.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan negara jiran lain seperti Thailand, Malaysia dilihat jauh lebih baik menyediakan kemudahan sekolah kepada rakyatnya di seluruh pelosok negeri.

“Pergilah ke mana sahaja di negara ini sama ada ke hulu atau pinggir bandar, kita dapati pasti akan ada sekolah yang dibina untuk masyarakat berbilang kaum.

“Kerajaan sedia ada bukan sahaja menyediakan pendidikan sekolah kebangsaan dan sekolah menengah percuma, tapi juga turut memberikan bantuan RM100 untuk setiap pelajar.

“Kalau nak dibandingkan dengan apa yang telah dilakukan kerajaan selama ini dengan negara lain, mereka tak langsung mendapat peluang seperti itu,” katanya ketika merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Molek, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 sebagai wang pendahuluan daripada keseluruhan jumlah peruntukan yang diperlukan sebanyak RM300,000 bagi membina bumbung dataran sekolah berkenaan.

Gejala LGBT di kalangan pelajar sekolah, IPT membimbangkan: Pakar – Bernama


Gejala LGBT di kalangan pelajar sekolah, IPT membimbangkan: Pakar

2013/03/17 – 15:50:05 PMCetakEmel Kawan
KUALA TERENGGANU: Gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini semakin membimbangkan kerana turut membabitkan pelajar sekolah menengah selain pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kata pakar motivasi dan kaunseling Hushim Salleh.

“LGBT tidak memilih bulu sama ada tua atau muda, lelaki atau wanita, golongan menengah atau rendah semua boleh terlibat di mana apabila terperangkap dengan LGBT, ia sukar untuk dipulihkan.

“Kita sangat bimbang dengan gejala ini kerana ia boleh membawa penyakit seperti HIV, sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) dan sebagainya,” katanya selepas menyampaikan ceramah pada Seminar Kesedaran LGBT kepada pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Hushim, pemilik Syarikat Hushim Motivational & Counseling Consultancy yang banyak menangani kes-kes LGBT, berkata apa yang paling menyedihkan terdapat kes guru di sekolah agama yang mengambil kesempatan melepaskan nafsu songsang terhadap pelajarnya sendiri.

“Biasanya di sekolah agama…mangsa tidak tahu hendak mengadu kepada siapa dan kebanyakan kes hanya diam dan berlalu begitu saja tanpa sebarang tindakan terhadap pelaku,” katanya.

Hushim berkata, walaupun tidak ada jumlah sebenar kes LGBT yang dicatat di negara ini, namun daripada kajian yang dijalankan ia lebih menakutkan daripada gejala penagihan dadah.

Beliau berkata, pengamal LGBT sukar dikenal pasti kerana mereka boleh bertukar perwatakan pada waktu dan keadaan tertentu dan mereka sukar untuk dipulihkan kerana ia membabitkan naluri manusia.
Bagaimanapun, katanya, pengamal LGBT boleh dipulihkan sekiranya mereka mempunyai keinsafan untuk berubah dengan menyertai seminar pencegahan dan ceramah termasuk ceramah agama.

Hushim turut memuji langkah UniSZA menganjurkan seminar seumpama itu yang dapat membendung gejala itu daripada menular di universiti itu. – BERNAMA

Pelajar tunggu keputusan SPM maut dipanah petir – Utusan


Pelajar tunggu keputusan SPM maut dipanah petir

Oleh AZRAI MOHAMMAD

HULU LANGAT 17 Mac – Seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah di sini maut dipanah petir ketika bermain bola sepak di padang Sekolah Kebangsaan Kajang Utama di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.30 petang.

“Mangsa maut di tempat kejadian, bagaimanapun lima lagi rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, menurut sumber, mangsa yang hanya dikenali sebagai Khairul, 18, tinggal di Flat Citra 3, Taman Kajang Utama.

“Mangsa merupakan bekas pelajar SMK Sultan Abdul Aziz Shah yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130317/je_01/Pelajar-tunggu-keputusan-SPM-maut-dipanah-petir#ixzz2NmT3TvKD
© Utusan Melayu (M) Bhd

IKLAN JAWATAN PENSYARAH PENSYARAH GRED DG44 – KOLEJ MATRIKULASI KELANTAN DAN KOLEJ MATRIKULASI SARAWAK


IKLAN JAWATAN PENSYARAH PENSYARAH GRED DG44 – KOLEJ MATRIKULASI KELANTAN DAN KOLEJ MATRIKULASI SARAWAK

01 March 2013

Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia menawarkan jawatan kosong bagi pegawai – pegawai perkhidmatan pendidikan di Kolej Matrikulasi Kelantan dan Kolej Matrikulasi Sarawak.

Syarat-syarat umum permohonan adalah seperti berikut :
SYARAT-SYARAT:
1. PPPS (GURU DI BAWAH KPM ) GRED DG 44 SAHAJA
2. TELAH MENGAJAR SUBJEK 3 TAHUN BERTURUT
3. PRESTASI MELEBIHI 85 % 3 TAHUN BERTURUT-TURUT
4. BEBAS TINDAKAN TATATERTIB/SPRM/PINJAMAN TEGAR
5. DIPERAKUI OLEH KETUA JABATAN/SEKOLAH
SUBJEK PENGKHUSUSAN BAGI KOLEJ MATRIKULASI KELANTAN:

KIMIA
FIZIK
BIOLOGI
MATEMATIK
B.INGGERIS
SAINS KOMPUTER
EKONOMI
PERAKAUNAN
PENGURUSAN PERNIAGAAN
PENDIDIKAN ISLAM
KEMAHIRAN DINAMIKA
KOKURIKULUM

SUBJEK PENGKHUSUSAN BAGI KOLEJ MATRIKULASI SARAWAK:
KIMIA
FIZIK
BIOLOGI
SAINS KOMPUTER
MATEMATIK
B.INGGERIS
KOKURIKULUM
KEMAHIRAN DINAMIKA
PENDIDIKAN ISLAM
Borang permohonan  dan Lampiran boleh dimuatturun di sini.
Tarikh tutup permohonan : 22 MAC 2013
Untuk pertanyaan lanjut:
03-88844043/88844074/88844067/0388844008 –
Pn. Norshahida bt Md Nayan / Pn. Norasfazura bt Abd Samah / En. Mustafa Kamil b Sulaiman