Sistem Saraan Transformatif: Cuepacs mahu butiran terperinci – Bernama


Sistem Saraan Transformatif: Cuepacs mahu butiran terperinci

20 Mac 2013

SERDANG – Cuepacs meminta supaya dapat diadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohamad Zabidi Zainal secepat mungkin bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai pelaksanaan Sistem Saraan Transformatif (SST).

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sejak SST diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal minggu lepas, pihaknya menerima banyak pertanyaan mengenai skim baharu itu.

Bagaimanapun menurutnya Cuepacs tidak dapat memberi jawapan tepat kepada pelbagai isu yang yang ditimbulkan mengenai sistem saraan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia itu kerana pihaknya sendiri, masih samar dalam pelbagai aspek mengenainya.

Menurutnya antara yang sering dibangkitkan ialah soal kumpulan perkhidmatan baharu, soal gred kumpulan, kenaikan pangkat, mekanisma ganti peperiksaan PTK, struktur gaji dan sebagainya.

“Kalau secara rambang kami tahulah, tapi kami nak lebih terperinci, supaya dapat kami jawab soalan-soalan dari anggota kesatuan,” katanya dalam persidangan media di pejabat Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama) di Universiti Putra Malaysia di sini, selepas menyampaikan wang insurans kepada dua balu anggota Kepertama di sini.

SST yang diumumkan Perdana Menteri pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 di Putrajaya awal minggu lepas ialah berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. – Bernama

Guru tadika maut kemalangan – Sinar Harian


Guru tadika maut kemalangan

ROSDALILAH ZAHARI
20 Mac 2013
Guru tadika maut kemalangan
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan yang berlaku di kilometer 53.3 Jalan Kuala Kangsar – Gerik dekat Selat Pagar, pagi semalam.

LENGGONG – Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di kilometer 53.3 Jalan Kuala Kangsar – Gerik dekat Selat Pagar, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Norhafizah Adam, 40, yang memandu kereta Proton Wira dipercayai dalam perjalanan dari Gerik ke Lenggong sebelum bertembung dengan MPV Toyota Avanza yang dipandu Nor Ta’qa Zainudin, 20, yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, dalam kejadian yang berlaku berlaku jam 8 pagi itu, mangsa yang juga guru tadika Kemas dikatakan memandu seorang diri.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Nor Ta’qa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di laluan bertentangan menyebabkan kenderaannya bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa.

“Akibat rempuhan tersebut, pemandu kereta Proton Wira maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dibahagian kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk dibedah siasat.

“Pemandu Toyota Avanza turut mengalami cedera parah dan turut dihantar ke hospital yang sama untuk mendapat rawatan.

“Mangsa yang maut dipercayai akibat kecederaan dalaman dan kes tersebut disiasat di bawah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Wan Ahmad Izuwan berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.12 pagi sebelum tiba dilokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

“Seramai enam anggota dan satu jentera bergegas ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit.

“Kami menggunakan peralatan menyelamat (rescue tool) untuk mengeluarkan badan mangsa dari tempat duduknya yang mengambil masa kira-kira 15 minit.

Saiz badan mangsa yang agak besar dan kecederaan yang dialami mangsa menyebabkan kerja menyelamat perlu dilakukan dengan berhati-hati dan mengambil masa sedikit,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara pemandu kenderaan Toyota Avanza mengalami cedera parah turut dikeluarkan oleh anggota penyelamat.

Transformasi pendidikan negara catat peningkatan ketara – Metro


Transformasi pendidikan negara catat peningkatan ketara

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, sepanjang tiga tahun lalu memperlihatkan peningkatan ketara dalam semua bidang, sekali gus membina asas kukuh dalam transformasi pendidikan negara.

Lebih membanggakan, pencapaian yang diraih sejajar dengan kandungan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang dilancarkan pada September 2012. Meskipun PPPM mencetuskan wawasan sektor pendidikan yang menyeluruh, namun NKRA Pendidikan fokus kepada matlamat keberhasilan segera sejajar dengan falsafah keseluruhan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Dalam Makmal GTP yang diadakan pada 2009, pencapaian pelajar berpandukan empat agenda penting termasuk memastikan setiap kanak-kanak berjaya, meletakkan tanggungjawab kepada sekolah untuk keberhasilan pelajar, melabur membentuk pemimpin hebat dan membangunkan guru terbaik.

 

Agenda penting itu kemudian diterjemahkan kepada empat inisiatif utama melalui GTP 1.0 iaitu penambahbaikan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, saringan kemahiran asas literasi (Bahasa Malaysia) dan numerasi (Saringan Literasi dan Numerasi-LINUS), pelaksanaan sekolah berprestasi tinggi dan program pembangunan prestasi sekolah serta pelaksanaan tawaran baru untuk pengetua dan guru besar. Hasil paling jelas dilihat apabila NKRA Pendidikan menyaksikan pembukaan 2,054 kelas prasekolah pada 2012 dengan jumlah enrolmen kanak-kanak meningkat 80.5 peratus.
Saringan kohort ketiga program LINUS juga menunjukkan kadar kemahiran 90 peratus bagi numerasi dan 82 peratus bagi literasi, iaitu pencapaian yang masih tinggi di bawah program ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20