SK Fajar Harapan Dibuka Semula, SK Lok Buani, Tanjung Labian Masih Ditutup – Bernama


SK Fajar Harapan Dibuka Semula, SK Lok Buani, Tanjung Labian Masih Ditutup

TAMPARULI: Sekolah Kebangsaan (SK) Fajar Harapan yang ditutup sejak 1 Mac lepas susulan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, dibuka semula sejak Rabu selepas polis mengesahkan keadaan di kawasan itu selamat dan terkawal.

Bagaimanapun, Pengarah Pelajaran Negeri Sabah Jame Alip berkata dua lagi sekolah iaitu SK Lok Buani dan SK Tanjung Labian, kira-kira 150 kilometer dari pekan Lahad Datu, masih ditutup atas nasihat pasukan keselamatan.

Ketiga-tiga sekolah itu mempunyai 1,037 murid termasuk 647 yang belajar di SK Fajar Harapan, katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia bagi negeri Sabah di SMK Tamparuli, dekat sini, Khamis.

Beliau berkata pelajar di SK Tanjung Labian dan SK Lok Buani kini menumpang belajar di SK Fajar Harapan, SK Cenderawasih di Felda Sahabat 16 dan mengikuti sesi belajar sementara di pusat penempatan Embara Budi dan Gemala Pura.

Gemala Pura dan Embara Budi merupakan penempatan sementara penduduk Lok Buani dan Tanjung Labian yang terpaksa berpindah ekoran insiden pencerobohan pengganas itu.

Sebelum ini, 11 sekolah di Lahad Datu diarah ditutup sementara susulan insiden pencerobohan pengganas itu dan dibuka semula secara berperingkat.

Jame berkata difahamkan terdapat murid-murid yang dibawa keluar (oleh keluarga) dari Lahad Datu ke daerah lain termasuk Semporna dan Tawau.

“Apa yang penting ialah, kalau ada (yang dibawa) ke Kota Kinabalu sekalipun, mereka boleh menumpang mana-mana sekolah yang terdekat. Kepada guru besar di kedua-dua sekolah yang masih ditutup ini, mana-mana murid yang tinggal berdekatan dengan sekolah, mereka dibenarkan menumpang.

“Guru-guru kita memang berkorban dalam saat ini, mereka tidak berehat bila sekolah ditutup, tapi mereka turun padang mengajar di pusat penempatan itu untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran seperti biasa. Mungkin pendekatan dan kaedah itu berbeza, mungkin secara kelas bercantum atau secara perbincangan berkumpulan tapi tidaklah menggunakan kaedah seperti di kelas biasa,” katanya.

Jame berkata semua sekolah yang ditutup sebelum ini atau masih ditutup perlu mengambil masa untuk menggantikan semula cuti itu, tanpa pengecualian.

“Sekiranya ada guru-guru yang ‘trauma’ ekoran insiden di Lahad Datu kerana saya difahamkan ada berlaku tapi belum ada laporan saya terima, pergilah ke hospital terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan.

“Kalau betul-betul trauma, tulis surat kepada guru besar dan sertakan surat untuk memohon cuti…mungkin cuti sakit sehingga mereka normal dan balik mengajar ke SK Lk Buani dan Tanjung Labian,” katanya. -BERNAMA

SPM: Najwa Latiff peroleh 4A, slip diambil kakak – Utusan


SPM: Najwa Latiff peroleh 4A, slip diambil kakak

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

NAJWA LATIFF

BATU PAHAT 21 Mac – Penyanyi, Najwa Latiff, 18, yang popular dengan lagu “Muka Buku” dan “Kosong” memperoleh 4A daripada 10 mata pelajaran yang diambil dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Najwa atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif yang merupakan pelajar aliran Sains Tulen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Temenggong Ibrahim, di sini bagaimanapun tidak hadir untuk mengambil slip keputusan peperiksaannya.

Keputusan SPM Najwa diambil oleh kakaknya, Syafikah yang hadir seorang diri dengan membawa kad pengenalan adiknya sebagai bukti untuk mendapatkan keputusan tersebut.

Usaha sekumpulan wartawan untuk menemu bual Syafikah gagal apabila dia enggan melayan pihak media dan bergegas pulang sebaik menerima slip keputusan peperiksaan tersebut.

Ketika dihampiri Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen ringkas, Syafikah hanya sekadar berkata: “sorry, sorry.”

Najwa ketika menduduki SPM tahun lalu menyasarkan untuk mendapat 6A selepas berjaya memperoleh 5A dalam peperiksaan percubaan.

Najwa antara 192 pelajar sekolah tersebut yang mengambil peperiksaan SPM tahun lalu dan keputusannya diumumkan hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130321/hi_06/SPM-Najwa-Latiff-peroleh-4A-slip-diambil-kakak#ixzz2OA1N9q6H
© Utusan Melayu (M) Bhd

SPM: 74 calon di Perlis peroleh Gred A semua subjek – Utusan


SPM: 74 calon di Perlis peroleh Gred A semua subjek

KANGAR 21 Mac – Sebanyak 74 calon dari Perlis mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran menerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.

Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa berkata, daripada jumlah itu sebanyak 32 calon mencatat keputusan cemerlang iaitu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma.

Ia diikuti Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Syed Putra (11), SMK Datuk Sheikh Ahmad (10), SMK Agama Perempuan Kangar (lapan), SMK Perlis (empat), SMK Tuanku Lailatul Shahreen (tiga) manakala masing-masing dua orang dari SMK Agama Arau, SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah dan SMK Padang Besar Utara.

“Pencapaian ini sekaligus membolehkan Perlis dapat mengekalkan Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu 5.46 iaitu sama seperti tahun 2011,” katanya pada sidang akhbar di Balai Sidang Perdana, Jabatan Pelajaran Perlis di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130321/dn_29/SPM-74-calon-di-Perlis-peroleh-Gred-A-semua-subjek#ixzz2OA1GicsL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Keputusan SPM dorongan Kementerian Pelajaran kerja lebih kuat – TPM – Bernama


Keputusan SPM dorongan Kementerian Pelajaran kerja lebih kuat – TPM

CYBERJAYA 21 Mac – Kejayaan yang diperoleh calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keputusannya diumumkan hari ini, akan menjadi pendorong untuk Kementerian Pelajaran bekerja lebih kuat dalam memastikan pelajar bukan hanya berjaya dalam akademik tetapi secara holistik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian amat komited untuk meningkatkan prestasi pelajar di seluruh negara.

“Keputusan hari ini akan diteliti dan dianalisis. Kita akan analisis pencapaian pelajar-pelajar dalam mata pelajaran yang utama, prestasi antara luar bandar dan bandar, antara kaum dan antara mereka yang ambil subjek tertentu.

“Ia bagi pastikan bagaimana sistem pendidikan kita dapat terus meningkatkan kecemerlangan kepada semua pelajar,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan slip keputusan SPM kepada pelajar cemerlang di Sekolah Seri Puteri di sini hari ini.

Kesemua 14 pelajar sekolah berkenaan memperoleh keputusan sembilan A dan menerima hadiah Ipad mini.

Muhyiddin berkata, kejayaan diperoleh Sekolah Seri Puteri itu berkat kerjasama erat yang terjalin antara Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan daerah serta peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Justeru, beliau berharap kerjasama erat itu akan berterusan demi untuk mencapai kejayaan lebih baik.

Kepada yang tidak mencapai keputusan sebagaimana yang diharapkan, Muhyiddin berkata, tidak perlu putus asa, sebaliknya menjadikan ia penyuntik semangat untuk terus berjaya.

“Cita-cita anak-anak semua belum terhenti dengan keputusan SPM. Ia adalah permulaan ke arah perjalanan yang lebih panjang, banyak lagi peluang serta kejayaan yang bakal menanti selepas ini,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130321/dn_30/Keputusan-SPM-dorongan-Kementerian-Pelajaran-kerja-lebih-kuat—TPM#ixzz2OA1AsBZX
© Utusan Melayu (M) Bhd

SISTEM ANALISIS PEPERIKSAAN SEKOLAH (SAPS)


SISTEM ANALISIS PEPERIKSAAN SEKOLAH (SAPS)

Sejarah merupakan subjek wajib lulus untuk tingkatan 4. SUP perlu memproses semua data untuk mendapatkan keputusan yang baru.

Harap Maklum

Maklumat lanjut hebatan di http://sapsnkra.moe.gov.my/access-denied.php

Guru agama johan tilawah – SInar Harian


Guru agama johan tilawah

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mac 2013
Guru agama johan tilawah
Abdul Razak (dua kanan) selepas menerima hadiah dan piala pusingan daripada A Rahman (kanan).

GONG KEDAK – Peserta Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Besut 2013, Abdul Razak Mat Ripin dari Pasir Akar, Hulu Besut muncul sebagai johan qari pertandingan itu menewaskan tiga peserta lain.

Kemenangan itu menjadikan guru agama Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih itu menang sebanyak empat kali  berturut-turut peringkat daerah Besut bermula dari tahun 2010.

Beliau yang mengumpulkan markah sebanyak 86.5 menewaskan Mohd Shamsuddin Yaacob dari Bukit Payong yang berada di tempat kedua, diikuti Che Omar Che Hamid (Kampung Lay Out Tok Has), dan Megat Ismashamri Megat Imara (dari Kampung IKM, Alor Lintang).

Abdul Razak juga pernah merangkul gelaran Naib Johan dalam pertandingan Tilawah Al Quran Peringkat Negeri pada 2011.

Sementara itu, kategori qariah pula dimenangi Faridah Omar dari Kampung Alor Selinsing dengan mata sebanyak 82.5 diikuti Maziah Awang (Kampung
Raja), Hamdiah Ismail (Kampung Gong Nering, Jertih) dan Latifah Ma’sor dari Rumah Awam Pelagat 3, Seberang Jertih.

Hadiah wang tunai dan piala  epada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kuala Besut, A Rahman Mokhtar dalam pertandingan yang berlangsung di Masjid Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK).

Hadir sama semua pemimpin daerah, Pegawai Daera Besut, A Rahim Jusoh dan Komandan PUGK, Kolonel Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

SPM 2012: Kebanyakan Negeri Catat Keputusan Baik – mStar


SPM 2012: Kebanyakan Negeri Catat Keputusan Baik

KUALA LUMPUR: Kebanyakan negeri mencatatkan keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan hari ini dengan beberapa sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus.

Di KUALA LUMPUR, seramai 914 calon SPM 2012 memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 885 pada tahun 2011.

Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata pencapaian calon meningkat dari segi peratusan dan bilangan yang memperoleh keputusan cemerlang A+, A dan A-.

Bagaimanapun, pencapaian keseluruhan sedikit menurun apabila seramai 18,211 calon berjaya memperoleh sijil SPM berbanding 18,545 pada 2011.

“Pencapaian Gred Purata Negeri untuk SPM 2012 ialah 4.71, iaitu penurunan 0.03 berbanding 4.68 pada tahun 2011,” katanya.

Katanya pencapaian sekolah pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan apabila lima sekolah dalam kategori cemerlang, 28 sekolah dalam kategori baik, 63 sekolah dalam kategori memuaskan dan tiada sekolah dalam kategori berpotensi.

Beliau turut mengumumkan sekolah kategori cemerlang iaitu SM Sains Alam Shah, SM Sains Seri Puteri, SM Sains Selangor, SMA Majlis Agama Islam WPKL dan SMK Aminuddin Baki.

Abdullah berkata 76 calon berkeperluan khas menduduki peperiksaan SPM pada tahun lepas dan daripada jumlah itu seramai sembilan calon berjaya mendapat keputusan cemerlang.

Di KUCHING, seramai 35 orang calon SPM 2012 di Sarawak berjaya mendapat A+ dalam semua mata pelajaran yang mereka duduki, kata Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Abdillah Adam.

Katanya daripada jumlah itu, seorang calon, Ngu Lih Bin dari Sekolah Menengah Bantuan Methodist, Sibu, memperolehi 12A+, iaitu pencapaian terbaik dalam kalangan 38,344 calon negeri yang menduduki peperiksaan itu tahun lepas.

“Sembilan orang calon mendapat 11A+, 18 orang 10A+ dan 7 orang mendapat 9A+ dalam semua mata pelajaran yang mereka duduki,” katanya semasa mengumumkan keputusan itu di Pejabat Pelajaran Negeri.

Menurutnya, empat buah sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus ialah SM Sains, Kuching SM Sains Miri, Maktab Rendah Sains Mara Betong dan Maktab Rendah Sains Mara Mukah.

Sarawak turut mengatasi atau menyamai pencapaian peringkat kebangsaan dalam 64 mata pelajaran, katanya.

Di SEREMBAN, Negeri Sembilan menduduki ranking ketiga peringkat kebangsaan selepas Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam pencapaian SPM 2012.

Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Kalsom Khalid berkata Gred Purata Negeri (GPN) bagi SPM 2012 di Negeri Sembilan ialah 4.86 iaitu nilainya bertambah sebanyak 0.04 berbanding 4.82 pada tahun 2011.

PANDUAN PELAKSANAAN DAN MODUL PROGRAM MENTOR MENTEE DI SEKOLAH


PANDUAN PELAKSANAAN DAN MODUL PROGRAM MENTOR MENTEE DI SEKOLAH

21 March 2013

Panduan pelaksanaan dan modul Program Mentor Mentee ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru-guru dalam melaksanakan program mentor mentee di sekolah.

Sila lihat modul di dalam pautan PENERBITAN atau klik di sini.

PERMOHONAN UNTUK MENGISI PERJAWATAN HAKIKI SEBAGAI SISC+ DAN SIPARTNERS+ SEPENUH MASA DI PEJABAT PELAJARAN DAERAH (PPD)


PERMOHONAN UNTUK MENGISI PERJAWATAN HAKIKI SEBAGAI SISC+ DAN SIPARTNERS+ SEPENUH MASA DI PEJABAT PELAJARAN DAERAH (PPD)

21 March 2013

Makluman kepada semua guru Bahasa Melayu , Bahasa Inggeris dan Matematik sekolah menengah dan rendah seluruh negara.

Permohonan untuk mengisi perjawatan hakiki sebagai SISC+ dan SIPartners+ sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Kepada mereka yang berminat sila isi borang permohonan dan  serahkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) tuan/puan. Untuk sebarang kemusykilan sila emelkan ke alamat dtpbpsh2013@gmail.com.

Harap maklum.

 

Muat Turun
Borang SISC
Brosur SISC