SPM Terengganu terus cemerlang
22 Mac 2013
KUALA TERENGGANU – Terengganu terus mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila merekodkan peningkatan dari segi kualiti pelajar yang memperoleh semua A+ bagi keputusan peperiksaan tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Hashim Mohd Zin, berkata prestasi calon yang memperoleh semua A turut meningkat dengan 513 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (2.46 peratus) berjaya mencapai keputusan itu, berbanding 408 calon (1.95 peratus) pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, berdasarkan keputusan yang diumumkan semalam, pelajar yang memperoleh semua A+ atau cemerlang tertinggi dalam semua mata pelajaran juga meningkat empat orang kepada 19 orang, berbanding 15 orang pada 2011.
“Seramai 19 calon sekolah KPM (0.09 peratus) berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding 15 orang (0.07 peratus) pada 2011.
“Saya ingin menegaskan bahawa bukanlah suatu yang mudah bagi mencapai calon gred cemerlang tertinggi ini melainkan dengan disiplin, tekad, semangat dan komitmen serta sokongan moral semua pihak akan mampu melahirkan pelajar sebegini.
“Namun, tiga tahun kebelakangan ini (2010 hingga 2012) Terengganu mampu menghasilkan lebih daripada 10 orang setiap tahun bagi kategori Gred Cemerlang Tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa mengumumkan keputusan SPM 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, semalam.
Hashim berkata, seorang calon, Ong Jia Pei, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin mendapat 12A+, empat calon mendapat 11A+, tiga calon (10+) dan 11 calon mendapat 9A+.
Katanya, enam sekolah menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.25 dan ke bawah, iaitu Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu (1.49), SM Imtiaz Besut (1.67), SM Sains Kuala Terengganu (1.79), SM Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (2.06), SM Sains Hulu Terengganu (2.07) dan SM Imtiaz Kuala Terengganu (2.23).
“Selain itu, prestasi mata pelajaran turut membanggakan apabila 33 daripada 73 mata pelajaran yang diambil calon SPM menunjukkan peningkatan berdasarkan Gred Purata Mata pelajaran (GPMP).
“Bagi kategori cemerlang, sebanyak 23 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-). Sebanyak 20 mata pelajaran menunjukkan prestasi stabil iaitu peningkatan atau penurunan kurang daripada tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-), manakala 29 mata pelajaran menurun prestasinya melebihi tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-),” katanya.
Menurutnya, bagi prestasi gred kepujian (B+, B, C+,C) pula sebanyak 28 mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus, 21 mata pelajaran adalah stabil, manakala 23 mata pelajaran menunjukkan penurunan melebihi tiga peratus.
Seramai 22,274 calon menduduki SPM 2012 berbanding 22,702 orang pada 2011 di 183 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.
Selain itu, seramai 32 orang Calon Berkeperluan Khas (CBK) telah menduduki SPM pada 2012, 17 orang calon telah berjaya mendapat sijil SPM dan terdapat seorang calon berjaya mendapat keputusan cemerlang 10A dan 1B, iaitu Low Khong Yi yang mengalami cacat pendengaran dari SMK Chung Hwa Wei Sin.