Awasi anak guna peranti elektronik – Metro


Awasi anak guna peranti elektronik

 4  0 Google +1  0  1

Oleh Suzana Azmi

Media elektronik secara umumnya memberikan banyak kebaikan, malah memudahkan urusan kehidupan kita. Namun, dari satu aspek ia turut mendatangkan impak negatif, sekiranya kita menggunakannya secara keterlaluan dan dengan cara tidak sepatutnya.

Kita ambil contoh televisyen, ia satu media yang bukan saja menyampaikan maklumat dan berita, bahkan menjadi medium untuk kita berkongsi nasihat dan mengambil teladan melalui slot tertentu. Bagaimanapun, ada antara kita khususnya remaja dan kanak-kanak menghadap televisyen berjam-jam lamanya sampai boleh dikatakan di tahap keterlaluan, seolah-olah ia menjadi aktiviti utama.
Tabiat itu sudah tentu mendedahkan mereka dengan gaya, perwatakan dan budaya liar yang tidak berpaksi kepada asas agama dan moral terpuji disanjungi masyarakat bertamadun.

 

Sekali-sekala menonton rancangan berbentuk hiburan misalnya, mungkin mereka akan mengomel tidak wajar apabila melihat sesetengah gaya tidak senonoh, tetapi jika sudah berkali-kali dan terbiasa tentunya lain pula pertimbangannya. Jadi, secara spontan mereka akan memuji idola tertentu khususnya yang dijelmakan melalui program realiti dari Barat yang memang tidak layak untuk dijadikan contoh. Seorang pelajar yang mengikuti siaran lewat malam seperti siaran langsung bola sepak tentu sekali menjejaskan tumpuannya mengulang kaji pelajaran, sukar bangun awal ke sekolah, bahkan liat untuk mengerjakan solat Subuh.
Begitu juga bagi yang menonton rancangan animasi pada waktu Maghrib, sudah pasti akan melengahkan mereka menunaikan solat, bahkan tiada lagi waktu untuk belajar tajwid dan mengaji.
Malah, jika diteliti waktu siaran drama dan telefilem, ada antaranya di celah waktu solat. Hal ini secara tidak langsung boleh mempengaruhi penonton untuk tidak ambil kisah dengan ibadat berkenaan.

 

Seterusnya, kita ambil contoh kanak-kanak dan remaja yang menggunakan peranti elektronik seperti tablet dan telefon bimbit dengan akses Internet, pastinya memudahkan dia mencapai maklumat berkaitan subjek dipelajari.
Malangnya ada di kalangan mereka yang menggunakannya demi memenuhi keseronokan dan nafsu. Kadangkala mereka mengakses laman tidak sepatutnya yang memaparkan keganasan dan kelucahan melampau.

 

Malah, ada antara mereka yang keterlaluan dengan permainan di peranti berkenaan, sekali gus membuatkan mereka mengabaikan tanggungjawab menelaah pelajaran di rumah. Fenomena sebegini tentunya menggambarkan kepada mereka yang hidup ini begitu indah dengan hiburan. Jika dalam sehari tidak berhibur dan menghiburkan diri akan membuatkan mereka rimas dan tidak senang duduk.
Mungkin ada orang mengatakan, apa salahnya berhibur, sedangkan ia boleh menghilangkan tekanan dan menceriakan diri? Memang, berhibur tidak salah, namun ia perlu disandarkan kepada nilai agama dan jangan keterlaluan sehingga memakan diri.
Keterlaluan dengan aktiviti hiburan juga akan menyebabkan seseorang itu kurang tertarik untuk mendekati dan mendalami agama, malah pudar untuk mengamalkan etika terpuji kemanusiaan.
Perkembangan teknologi mutakhir ini sangat pantas. Ciri yang ada pada televisyen dan telefon bimbit pada hari ini begitu mengujakan malah membuatkan sesiapa saja tidak jemu menggunakannya.
Oleh itu, disiplin diri amat penting dan ibu bapa selaku individu paling hampir kepada remaja dan kanak-kanak perlu aktif memainkan peranan untuk memantau gerak-geri dan mendisiplinkan mereka.
Jangan kerana suatu ketika sikap memandang remeh kepada watak ‘bejat’ ditonton di televisyen kita sebagai ibu bapa akhirnya menggigit jari melihat anak remaja meniru gaya seperti selebriti Hollywood, dengan berkuku panjang, bertindik, berambut merah, berbaju tipis dan berseluar londeh.
Begitu juga jangan terperanjat jika dengan tidak semena-mena kita ditendang anak sama ada secara gurauan atau sungguh-sungguh sebab itulah yang mereka pelajari melalui watak jahat permainan di peranti elektronik.
Penulis pelajar Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s