‘Geng Kechik Selayang’ aktif curi motosikal tumpas

KUALA LUMPUR 21 Mac – Polis menumpaskan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng Kechik Selayang’ yang aktif mencuri motosikal di beberapa Felda di Pahang dan Lembah Klang, berikutan tertangkapnya 21 anggota kumpulan itu termasuk seorang remaja perempuan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek berusia lingkungan 17 hingga 28 tahun ditangkap dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang dan beberapa Felda di Pahang, sejak 5 Mac lalu sehingga semalam.
Beliau berkata, tujuh daripada suspek ditahan di Pahang dipercayai terlibat mencuri motosikal, manakala lima orang pula merupakan pembeli dan dua orang menjadi orang tengah dalam urusan jual beli kenderaan curi tersebut.
“Siasatan mendapati kumpulan penjenayah terbabit telah aktif melakukan kegiatan curi motosikal, samun dan pecah rumah sejak setahun lalu.
“Kegiatan mereka bagaimanapun terbongkar apabila ketua kumpulannya dikenali sebagai ‘Kechik’ berusia 21 tahun ditahan polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Gombak di sini pada 5 Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Kepong di sini hari ini.
Zakaria berkata, suspek ditahan semasa sedang mencari motosikal untuk dicuri tetapi seorang rakannya yang menunggu atas sebuah motosikal berjaya melepaskan diri setelah menyedari kelibat sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan jenayah.
Beliau berkata, hasil siasatan terhadap suspek, polis berjaya mengesan dan menahan beberapa rakannya yang terlibat dalam jenayah itu serta merampas semula 27 motosikal yang dilaporkan dicuri sebelum ini.
“Kumpulan penjenayah ini menyasarkan mencuri motosikal jenis Honda EX5, Yamaha LC dan Yamaha RXZ yang diletak di tempat-tempat letak motosikal awam.
“Kenderaan curi ini kemudian dijual kepada pembeli-pembeli di kawasan Felda dengan harga antara RM300 hingga RM1,000 sebuah dan ada juga diambil alat ganti untuk dijual,” katanya.
Menurut Zakaria, modus operandi penjenayah ini ialah mengagihkan beberapa tugas kepada ahli kumpulannya seperti mencari sasaran lokasi mencuri, pembeli dan tukang lerai komponen motosikal untuk dijual.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati ‘Kechik’ baru sahaja dibebaskan oleh mahkamah dengan jaminan bon bagi kes yang sama kira-kira dua minggu yang lalu.
Katanya, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal dilaporkan di Lembah Klang dan dua kes di Temerloh, Pahang dengan tertumpasnya kumpulan penjenayah itu.
“Kesemua suspek direman sehingga Ahad ini, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam curi kenderaan bermotor; Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah); Seksyen 411 (memiliki barang curi) dan Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkumpulan,” ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130322/je_03/Geng-Kechik-Selayang-aktif-curi-motosikal-tumpas#ixzz2OHJ1emvU
© Utusan Melayu (M) Bhd