Pencapaian calon SPM dapat semua A meningkat – Sinar Harian


Pencapaian calon SPM dapat semua A meningkat

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mac 2013

BACHOK – Keseluruhan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 meningkat apabila bilangan pelajar yang mencatat semua A juga bertambah dari 14 orang pada 2011 kepada 20 orang bagi 2012 sepertu yang diumumkan Khamis lalu.

Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid berkata, terdapat juga sekolah yang baru dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Golok turut mempunyai seorang pelajar yang mendapat 10A.

Calon SPM bagi 2012 ialah 2,800 berbanding 2011 seramai 2,828 bagi 18 buah sekolah menengah dalam PPD Bachok.

Menurutnya, pencapaian membanggakan itu membuktikan bahawa lokasi sekolah tidak mempengaruhi pencapaian pelajar sebaliknya usaha pelajar dan guru yang ingin mendapatkan yang terbaik dalam setiap cita- cita mereka.

“Peratus kelulusan am juga meningkat dari 91.91 peratus bagi 2011 kepada 93.61 bagi 2012. Tahun 2011 hanya empat buah sekolah dapat semua A iaitu SMK (Agama) Tok Bachok (tiga orang), SMK Bachok (empat orang), SMK Long Yunus (empat orang) dan SMK Beris Panchor (tiga orang).

“Tetapi tahun 2012 ia melibatkan SMKA Tok Bachok (tiga orang), SMK Bachok (lima orang), SMK Long Yunus (empat orang), SMK Badak (seorang), SM Teknik (seorang), SMK Puteri Saadong (seorang), SMK Sri Gunung (dua orang), SMK Seri Nipah (seorang), SMK Jelawat (seorang) dan SMK Kubang Golok (seorang),” katanya.

Beliau berkata, tiga buah sekolah yang lulus 100 peratus tahun 2012 sama seperti 2011 iaitu SMK Tok Bachok, SMK Dato Perdana dan SMK Bachok (tahun 2011 milik SM Teknik).

“Tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dan kepada semua guru yang terlibat mendidik anak- anak Bachok hingga berjaya seperti hari ini. Bagi yang tidak berjaya saya jangan putus asa dan berusaha lagi pada tahun depan untuk mencapai kejayaan lebih baik.

“Saya harap mana- mana program yang bersesuaian yang dilaksanakan di peringkat sekolah tahun lalu, perlu dikaji semula tahun ini agar ia memberi impak maksima bagi pelajar,” katanya.

Keputusan SPM disampaikan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Mohd Faizul Yusoff kepada semua wakil sekolah terlibat.

Manakala, Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKA Tok Bachok, Datuk Dr Ilias Husain mengucapkan syabas di atas kejayaan pelajarnya yang berjaya mengekalkan prestasi cemerlang SPM 2012.

“Saya ucapkan tahniah kepada tiga pelajar cemerlang kami iaitu Nur Syafiqah Izzati Mohd Zaki, Razilan Abdullah dan Nur Ezah Azman yang masing- masing mencatat 11A. Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada calon SPM tahun ini untuk mengulangi pencapaian sama,” katanya.

Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS – Sinar Harian


Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mac 2013
Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS
Tiong Lai meninjau pelan pembangunan Bandar KotaSAS termasuk tapak SRJK (C) Panching yang diserahkan kepada pemegang amanah sekolah itu, semalam.

KUANTAN – Lima buah sekolah dirancang akan dibina dalam kawasan Bandar Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS), Indera Mahkota,  di sini, bagi menampung populasi penduduk yang dijangka mencecah 45,000 orang pada masa akan datang.

Berdasarkan perancangan itu, tapak seluas 21.6 hektar diperuntukkan bagi tujuan tersebut membabitkan dua sekolah menengah dan tiga sekolah rendah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di bawah kelulusan dan peruntukan Kementerian Pelajaran (KPM).

Bagi merealisasikan cadangan itu, tapak seluas 3.2 hektar diserahkan untuk  pembinaan sebuah SJKC baru di KotaSAS bagi menggantikan SRJK (C)  Panching yang  kini mengalami masalah kekurangan pelajar saban tahun.

Penyerahan disempurnakan dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Pemegang Amanah SRJK (C) Panching diwakili Datuk Ti Lian Ker dan KotaSAS Sdn Bhd  melalui Pengarah Eksekutifnya, Tengku Datuk Zubir Tengku Datuk Ubaidillah disaksikan Pengerusi MCA Pahang, Datuk Seri Liow Tiong Lai, semalam.

Tiong Lai berkata, penyerahan tapak sekolah itu penting bukan sahaja kepada masyarakat Cina, tetapi turut membuka peluang kepada semua penduduk Bandar KotaSAS dan kawasan sekitar menghantar anak-anak mereka menerima pendidikan di situ, kelak.

“Paling penting, dengan adanya sekolah baru yang lebih selesa, operasi SRJK (C)  Panching yang kini menghadapi masalah kekurangan pelajar dapat dipindahkan ke sini.

“Barisan pemegang amanah akan berusaha mendapatkan kelulusan dan peruntukan daripada KPM bagi pembinaan sekolah baru itu, selain kelulusan pemindahan SRJK (C) Panching ke Bandar KotaSAS ini,” katanya pada sidang media, semalam.

Tiong Lai berkata, pihaknya menjangkakan peruntukan itu akan diluluskan KPM melalui peruntukan pelan pusingan keempat di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), tahun depan.

“Kita minta kelulusan bagi tujuan ini dipercepatkan dan  proses pembinaannya dijangka bermula tahun depan secara berperingkat mengikut keperluan semasa bergantung kepada populasi penduduk KotaSAS dan kawasan sekitar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai juga akan mempertimbangkan kelulusan pembinaan  sebuah klinik dalam kawasan Bandar KotaSAS bagi kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk pada masa akan datang.

Najwa elak cerita keputusan SPM – Kosmo


Najwa elak cerita keputusan SPM

NAJWA LATIFF

 

MULA-MULA, Diva nak ucapkan tahniah kepada penyanyi Cinta Muka Buku, Najwa Latiff kerana mendapat 4A dalam peperiksaan SPM yang diumumkan baru-baru ini. Ada juga A, takut juga Diva kot-kot jadi macam lagunya, Kosong.

Cuma yang Diva rasa kosong sikit, bila Najwa makin sukar nak didekati media. Malah keputusan SPM Najwa pun diambil wakilnya. Wartawan yang menunggu depan pintu pagar sekolah dari pagi buat panggilan telefon minta kenyataan, akhirnya wartawan tu menganga tunggu bintang baharu yang tak kunjung tiba.

Dah namanya penyanyi, orang mesti nak tahu apa pencapaian yang diperoleh, kalau pasal lagu boleh dipromosikan, apa salahnya cakap sikit pasal keputusan akademik yang diperolehi.

Kata seorang wartawan yang pernah nak buat liputan semasa Najwa nak duduki peperiksaan dahulu pun punyalah tak mahu ditemu ramah. Fahamlah nak periksa tapi bila dah dapat keputusan pun sama juga.

Seorang lagi artis remaja, Eina Azman juga baru dapat keputusan SPM. Si Eina pula, sejak pagi lagi seorang wartawan menelefonnya nak tanya perkembangan keputusan SPM yang diperoleh. Manalah tahu, untung-untung dia nak berkongsi.

Si Eina pula kerenahnya lain, kita telefon pagi, katanya sedang sibuk dan diminta telefon tengah hari sikit. Bila telefon waktu tengah hari, katanya masih ada perbincangan, suruh telefon lagi petang-petang sikit. Telefon lagi bila sudah petang, langsung tidak dijawabnya.

Kata wartawan berkenaan, dia menelefon Eina bukan nak ajak keluar minum kopi di hotel, tapi sekadar nak bertanya tentang keputusan SPM baru keluar. Itu pun payah yang amat.

Kalau betul malu atau tak nak berkongsi keputusan SPM yang sekadar cukup makan itu, cakap sajalah. Tak perlu nak main tarik tali, Diva ada banyak kerja lain nak buat.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Diva_Interaktif&pg=dv_02.htm#ixzz2OT4DFEoG
Hakcipta terpelihara

Kerajaan pertimbang BR1M sesi sekolah 2014 – Berita Harian


Kerajaan pertimbang BR1M sesi sekolah 2014

2013/03/24 – 04:47:35 AMCetakEmel Kawan
Rawang: Kerajaan sedia mempertimbangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menjelang sesi persekolahan tahun depan sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan Dewan Rakyat berhubung bajet akan datang.

Daftar awal

“Pemberian BR1M sebelum sesi persekolahan tahun depan dapat meringankan bebanan rakyat terutama keluarga yang mempunyai anak ramai. Bagi tujuan itu, pendaftaran awal perlu dilakukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Terminal Bas Ekspres Rawang, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Gabungan Persatuan Teksi dan Bas Ekspres, Tajudin Daud dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang, Soong Beng Khoon.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan meneruskan pemberian BR1M sebagai inisiatif tahunan.

Dalam perkembangan lain, Siang Chai berkata, pelaburan asing dan domestik di negara ini tidak terjejas berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah, bulan lalu.
“Setakat ini, ekonomi negara tidak terjejas kerana insiden itu hanya membabitkan kawasan kecil dan kini, keadaan semakin baik,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, negara kini mempunyai rizab antarabangsa RM430 bilion sehingga 15 Mac lalu.

PM hadir jamuan malam kutip dana bina Sekolah Chong Hwa Kuantan – Bernama


PM hadir jamuan malam kutip dana bina Sekolah Chong Hwa Kuantan

PERDANA Menteri, Najib Tun Razak hadir pada makan malam amal untuk pembinaan Sekolah Chong Hwa Kuantan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. – BERNAMA

KUANTAN 24 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri jamuan malam dan pertunjukan amal untuk mengutip derma pembinaan Sekolah Menengah Chong Hwa, Kuantan di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

Berbaju kemeja batik hitam serta berkolar merah, kehadiran Najib dan Rosmah disambut, antara lain, Duta China ke Malaysia, Chai Xi; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; dan pelakon terkenal yang didatangkan khas dari Hong Kong, Jackie Chan.

Najib dan Jackie Chan serta beberapa pemimpin masyarakat Cina kemudian mengetuk gendang sebagai tanda perasmian jamuan yang dihadiri kira-kira 10,000 tetamu itu.

Ia turut menyaksikan pihak pengurusan sekolah menyampaikan sumbangan RM300,000 kepada Tabung Perwira Negara Lahad Datu.

Ia sebagai tanda penghargaan masyarakat Cina terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang sedang berjuang menentang pengganas di Lahad Datu, Sabah.

Najib dan isteri kemudian beredar untuk menghadiri program Janji Ditepati di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2.

Majlis jamuan itu diteruskan dengan lelongan amal dua utas jam tangan berjenama dan sekeping lukisan kaligrafi Cina oleh Jackie Chan, yang mengutip RM3 juta.

Ia diakhiri dengan persembahan nyanyian oleh selebriti itu serta percikan bunga api selama 15 minit. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130324/dn_03/PM-hadir-jamuan-malam-kutip-dana-bina-Sekolah-Chong-Hwa-Kuantan#ixzz2OT0Cc5TD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar kurang cemerlang berpeluang ikuti kursus kemahiran percuma – Utusan


Pelajar kurang cemerlang berpeluang ikuti kursus kemahiran percuma

KUALA LUMPUR 24 Mac – Pelajar yang gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran secara percuma melalui Kursus Diploma Kemahiran Malaysia.

Inisiatif Pertubuhan Kebajikan Sri Gading Malaysia dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri itu menyasarkan pelajar dan belia berumur antara 16 hingga 26 tahun bagi mengikuti pelbagai kursus kemahiran yang ditawarkan di 10 kolej kemahiran terlibat.

Pengerusi penganjur program, P. Sri Ganesh berkata, program yang diperkenalkan sejak 2009 itu memberi peluang kepada sebanyak 300 peserta mengikuti pengajian dalam program latihan peringkat sijil dan diploma setiap tahun.

“Pelajar akan mengikuti latihan selama enam bulan hingga dua tahun setengah mengikut program yang ditawarkan serta dijamin memperoleh tempat dalam industri selepas menamatkan pengajian masing-masing.

“Lebih menarik, mereka juga tidak dikenakan sebarang bayaran, malah menerima elaun sara hidup sebanyak RM300 setiap bulan,” katanya kepada pemberita dalam program Seminar Latihan Kemahiran Secara Percuma Kepada Lepasan PRM dan SPM di sini hari ini.

Program itu dijalankan di sebanyak 16 lokasi seluruh negara termasuk Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kedah, selain akan turut diadakan di Kelantan dan Terengganu pada masa depan.

Tambah Sri Ganesh, pelajar atau belia yang berminat menyertai program itu hanya perlu mempunyai kemahiran membaca dan menulis sebagai kelayakan minimum dan terbuka kepada semua kaum.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung program itu boleh menghubungi talian 012-5247323 dan 012-2602524 atau melayari laman web http://www.MYSKILLS.com.my. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130324/dn_42/Pelajar-kurang-cemerlang-berpeluang-ikuti-kursus-kemahiran-percuma#ixzz2OT00ZmAT
© Utusan Melayu (M) Bhd