Jari retak tersepit pintu kelas
Kuala Terengganu: “Saya berharap guru bertindak lebih baik jika ada kecemasan di sekolah selepas ini,” kata Lokman Ibrahim, 45, bapa kepada Mohamad Hanif Lokman, 13, yang terpaksa bermalam di hospital sejak empat hari lalu selepas cedera jari tangan kanan akibat tersepit pada pintu kelas.
Bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman itu berkata, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari Khamis lalu, anaknya tersilap meletak tangan pada pintu itu ketika berbual dengan rakan.
Menurutnya, jari manis anaknya tersepit selepas seorang pelajar yang mahu ke kelas lain menolak pintu itu.
“Sebaik pintu ditolak, jari Mohamad Hanif remuk akibat tersepit,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.
Lokman berkata, ketua kelas anaknya yang melihat tangan Mohamad Hanif berlumuran darah membawanya ke bilik rawatan sekolah sebelum disapu minyak dan dibalut oleh guru bertugas.
“Bagaimanapun, guru itu tidak menghantar Mohamad Hanif ke klinik atau hospital untuk rawatan susulan, sebaliknya meminta anak saya berehat hingga tamat waktu persekolahan pada jam 2 petang.
“Ketika pulang ke rumah, saya terkejut melihat muka anak pucat menahan sakit sebelum dia memberitahu kejadian sebenar,” katanya.
Katanya, selepas itu, dia bergegas ke HSNZ untuk rawatan lanjut dan sedih apabila dimaklumkan tulang jari anaknya retak.