Bas sekolah kini dilindungi – Sinar Harian


Bas sekolah kini dilindungi

KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
29 Mac 2013
Bas sekolah kini dilindungi
Syed Hamid (dua, kiri) menyampaikan cenderahati kepada 10 pelajar cemerlang UPSR di Sekolah Kebangsaan Seremban Jaya, semalam.

SEREMBAN – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memperkenalkan skim insurans bagi pelajar di negara ini yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, insurans dikelolakan Takaful Malaysia itu berfungsi melindungi kira-kira 1.5 juta murid sekolah pelbagai peringkat, seandainya mereka terbabit dalam kemalangan semasa menaiki bas sekolah.

“Bagaimanapun, hanya bas sekolah yang beroperasi secara sah dan berdaftar dengan SPAD saja layak mengikuti program ini yang bermula sejak 1 Januari lalu.

“Setakat ini, sebanyak 17,000 bas sekolah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sudah pun mendaftar dengan kita dilindungi melalui skim berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali ke-3 Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Seremban, di sini, semalam.

Syed Hamid berkata, antara perlindungan diberikan seperti pampasan RM100,000 jika membabitkan kematian murid dalam kemalangan, RM100,000 untuk kecacatan kekal, manfaat hospital sebanyak RM100 sehari, tanggungan kos perubatan sehingga RM3,000 dan khairat kematian berjumlah RM2,500.

“Prosedur untuk membuat tuntutan pula mudah sahaja, di mana pelajar terbabit hanya perlu mengemukakan surat pengesahan doktor dan pihak sekolah.

“Manakala proses tuntutan pula tidak lama, iaitu hanya mengambil masa kira-kira dua minggu sebelum pampasan dikeluarkan kepada murid terbabit.

Menurut Syed Hamid, perlindungan berkenaan bukan sahaja membabitkan pergi dan balik ke sekolah, sebaliknya turut meliputi rombongan anjuran pihak sekolah di luar waktu pembelajaran, selagi bas sekolah berkenaan beroperasi dengan lesen dan permit yang sah.

“Secara tidak langsung, kita cuba menggalakkan agar setiap pengusaha bas sekolah di luar sana agar mendaftar dengan kita demi kebaikan pelajar yang mereka bawa,” katanya.

Leukemia tidak halang Alim aktif dalam sukan – Sinar Harian


Leukemia tidak halang Alim aktif dalam sukan

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Leukemia tidak halang Alim aktif dalam sukan
Alim menunjukkan anugerah pemain apit terbaik bagi kategori 12 tahun yang diterimanya pada kejohanan tersebut.

SENALING – Walaupun disahkan menghidap penyakit leukemia pada 16 Februari tahun lalu, namun ia bukan penghalang untuk adik Mohd Alim Johari, 12, menceburi Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Daerah Kuala Pilah, baru-baru ini.

Meskipun perlu menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, Mohd Alim yang menetap di Kampung Orang Asli Charik, dekat sini tidak pernah putus harapan dan tetap menyertai kejohanan itu.

Menurutnya, dia meminati sukan sepak takraw dan tidak kisah dengan apa yang dikatakan masyarakat sekeliling.

“Malah saya tidak menjadikan sakit yang dihidapi sebagai beban untuk saya tidak melakukan kerja rumah, bersukan dan beriadah bersama rakan.

“Saya lebih suka aktif bersukan dari duduk di rumah saja. Ibu dan ayah juga tidak menghalang saya bersukan kerana dari situlah tahap kesihatan saya menjadi lebih baik,” katanya.

Mohd Alim berkata, dia sentiasa mengambil ubat setiap hari dan bercita-cita menjadi pemain hebat dalam sukan sepak takraw.

“Pada waktu petang saya bermain sepak takraw bersama rakan-rakan dan menjadi rutin harian kami.

“Kerana itu pasukan kami berjaya dalam kategori bawah 12 tahun selepas menewaskan Sekolah Kebangsaan (SK) Senaling di peringkat akhir MSSM,” katanya.

Katanya, keluarga sentiasa menyokong penuh dia menceburi bidang sukan meskipun mengetahui status kesihatannya.

“Saya berterima kasih kepada keluarga dan guru yang sentiasa beri sokongan,” katanya yang turut menerima anugerah pemain apit terbaik kategori 12 tahun.

URUSAN TAWARAN PELANTIKAN KE JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG41 BAGI CALON PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA (PPPLD) YANG TELAH DI TEMU DUGA MULAI SEPTEMBER 2012 HINGGA FEBRUARI 2013. – SPP


URUSAN TAWARAN PELANTIKAN KE JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG41 BAGI CALON PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA (PPPLD) YANG TELAH DI TEMU DUGA MULAI SEPTEMBER 2012 HINGGA FEBRUARI 2013.

Pegawai Perkhidmatn Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) yang telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda melalui program pensiswazahan secara sepenuh masa atau melalui Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dan telah ditemu duga oleh Suruhanjaya mulai 18 September 2012 hingga 7 Februari 2013, urusan pelantikan calon yang diperaku dalam temu duga sedang diproses secara berperingkat-peringkat mengikut tarikh temu duga mulai 25 Mac 2013. Surat tawaran pelantikan akan dikemukan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk urusan penempatan.

Muat naik pada 26 Mac 2013

PROGRAM PENILAIAN KHAS BAGI PELANTIKAN TETAP GRADUAN CEMERLANG IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN TAHUN 2012. – SPP


PROGRAM PENILAIAN KHAS BAGI PELANTIKAN TETAP GRADUAN CEMERLANG IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN TAHUN 2012.

Sesi penilaian khas bagi pelantikan tetap graduan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Tahun 2012 akan dijalankan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara mulai 19 Mac 2013. Selanjutnya…

Muat naik pada 26 Mac 2013

KEPUTUSAN TEMU DUGA ANGGOTA KUMPULAN PELAKSANA DI SABAH DAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN PADA 9 HINGGA 11 JANUARI 2013 DAN 15 HINGGA 18 JANUARI 2013 – SPP


KEPUTUSAN TEMU DUGA ANGGOTA KUMPULAN PELAKSANA DI SABAH DAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN PADA 9 HINGGA 11 JANUARI 2013 DAN 15 HINGGA 18 JANUARI 2013 

Keputusan Temu Duga yang telah dijalankan bagi jawatan seperti berikut:

1. Pembantu Pengurusan Murid Gred N17;
2. Pembantu Tadbir Kewangan Gred W17; dan
3. Penyelia Asrama Gred N17.

boleh disemak di sini mulai 28 Mac 2013. Calon juga akan menerima surat rasmi pemberitahuan keputusan temu duga dari Suruhanjaya ini.

Muat naik pada 28 Mac 2013

Nelayan didakwa edar dadah, cabul kanak-kanak – Sinar Harian


Nelayan didakwa edar dadah, cabul kanak-kanak

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Nelayan didakwa edar dadah, cabul kanak-kanak
Marazki ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan bagi menghadapi tuduhan mengedar dadah sebelum ini.

KUANTAN – Seorang nelayan yang sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan mengedar 82 gram heroin sekali lagi diheret ke mahkamah itu bagi menghadapi tuduhan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, hujung tahun lalu.

Tertuduh, Marazki Mohammad, 35 dari Sungai Isap Perdana di sini didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau itu di rumahnya kira-kira jam 1.30 tengah hari, 10 Disember tahun lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari di hadapan Majistret Jeeseca Diamis.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Tertuduh ditawarkan ikat jamin RM6,000 bagaimanapun jumlah itu dikurangkan kepada RM4,500 selepas dia membuat rayuan.

Mahkamah menetapkan 18 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut dalam mahkamah yang sama.

Ditumbuk akibat bendera – Sinar Harian


Ditumbuk akibat bendera

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Ditumbuk akibat bendera
Pengikut sebuah parti politik membuat laporan berhubung dua kejadian berasingan di Balai Polis Rantau Panjang.

RANTAU PANJANG – Seorang remaja mendakwa ditumbuk pada bahagian bibir berikutan salah faham tentang bendera parti yang diletak di sepanjang jalan di Kampung Parit Air, 26 Mac lepas.

Mangsa, Muhamad Nasrullah Kamarudin, 17, berkata, dia bersama 50 yang lain telah memacak bendera sebuah parti politik di sepanjang jalan itu pada 21 Mac.

Bagaimanapun katanya, dia terserempak sekumpulan remaja bermotosikal sedang mematahkan bendera ketika menunggang motosikal sendirian di laluan berkenaan kira-kira jam 11 malam, 26 Mac lalu.

Menurutnya, selepas melihat kejadian, dia memeriksa keadaan bendera lain di kawasan tersebut dan mendapati ia turut patah serta berselerak di tepi jalan.

“Saya berpatah balik ke tempat kumpulan remaja tersebut yang mana salah seorang daripadanya saya kenali.

“Ketika itu, terdapat anggaran enam remaja dan saya bertanya kepada remaja yang saya kenali mengapa mengkhianati bendera itu.

“Namun, dia menganggap saya menuduh dia mematahkan bendera itu,” katanya.

Muhamad Nasrullah berkata, disebabkan tidak mahu bertelagah, dia menghampiri remaja berkenaan untuk bersalam.

“Secara tiba-tiba saya ditumbuk di bibir, malah dia juga cuba menyepak saya, namun sepakannya berjaya dielak.

“Bagi menyelamatkan diri, saya melarikan diri untuk memanggil rakan. Bila rakan saya sampai ke tempat kejadian, kumpulan itu telah tiada,” katanya.

Menurutnya, akibat tumbukan berkenaan, dia cedera di bibir dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Rantau Panjang, pagi semalam.

Dia menambah, tidak lama kemudian, bapa remaja itu datang dan bertanya mengapa anaknya dituduh mematahkan bendera.

“Saya cuba menjelaskan perkara sebenar, tetapi dia cuba memukul saya.

“Selepas itu, kami telah berbincang dan kes tersebut dapat diselesaikan,” katanya.

Katanya, laporan dibuat supaya pihak polis mengambil tindakan sewajarnya dan perkara ini tidak berulang.

Sementara itu, seorang lelaki dari Kok Kiyeh, Gual Sitok, Makhtar Jusoh, 59, turut membuat laporan polis di balai sama dan mendakwa bendera yang digantungnya di lorong Gual Arang Kok Kiyeh dibakar.

‘Bas haram terkecuali’ – Metro


‘Bas haram terkecuali’

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Mohd Amin Jalil

Senawang: Skim Insurans Murid Sekolah (SIMS) yang dikendalikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hanya membabitkan bas sekolah mempunyai lesen dan berdaftar dengan suruhanjaya itu manakala bas sekolah haram terkecuali daripada menerima faedah ditetapkan dalam skim itu.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, menerusi SIMS, pelajar sekolah rendah hingga menengah berpeluang mendapat perlindungan insurans membabitkan kematian akibat kemalangan sebanyak RM100,000; hilang keupayaan kekal sehingga RM100,000; bayaran perubatan sehingga RM3,000; manfaat hospital (RM100 sehari sehingga 30 hari) dan khairat kematian sebanyak RM2,500.
Katanya, skim perlindungan insurans itu yang yang dikendalikan Takaful Malaysia Berhad sudah mula berkuat kuasa 2 Januari lalu berterusan sehingga 1 Januari 2014 dan akan dilanjutkan jika mendapat peruntukan daripada kerajaan.

 

“Skim perlindungan insurans ini membabitkan murid di sekolah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan menaiki atau menggunakan bas sekolah berlesen dengan SPAD di Semenanjung dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi Sabah dan Sarawak,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Kali Ke-3, Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Daerah Seremban (PPBSDS), di sini, petang semalam..
Beliau berkata, ia meliputi kegunaan bas sekolah untuk aktiviti luar seperti rombongan, lawatan sambil belajar dan sebarang kurikulum tambahan yang disahkan oleh pihak sekolah, manakala bas sekolah tidak berdaftar dengan SPAD tidak layak menerima skim itu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Budaya manusia sakit emosi – Metro


Budaya manusia sakit emosi

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Hilmi Isa

Bagi orang ‘dulu-dulu’ apabila anak dara menginjak usia tertentu seperti 20 tahun dianggap kahwin lewat. Berbeza dengan generasi baru hari ini, pada usia tertentu di alam persekolahan dikatakan lewat jika belum melakukan hubungan seks.

Ya, hari ini ada yang mendakwa seolah-olah menjadi suatu yang mengaibkan sekiranya seorang remaja perempuan belum melakukan hubungan seks apabila mencapai tahap usia tertentu. Mereka akan diejek rakan kerana kononnya ‘tak laku’. Gurauan lucah yang menjijikkan, hatta orang berkahwin pun malu untuk memperkatakannya secara terbuka sudah menjadi mainan bibir. Si lelaki akan cuba menarik perhatian dan merangsang si perempuan dengan kata-kata lucah. Perkataan yang biasa pada pendengaran kita sebagai orang dewasa, boleh membawa maksud yang mendalam kepada mereka. Jika kita mengajar di hadapan mereka, tiba-tiba ada sesetengah perkataan yang kita gunakan akan membuatkan mereka tergelak dengan tiba-tiba. Selepas disiasat, barulah diketahui perkataan itu biasa saja di telinga kita, tetapi membawa maksud berbeza di minda mereka. Di samping itu, akan berlaku cabar-mencabar di antara lelaki dan perempuan. Si lelaki mengatakan yang dia ‘gagah’. Dia mencabar si perempuan untuk mencuba ‘kegagahannya’ atau si lelaki akan bersaing untuk mencatatkan ‘rekod’ siapa yang ‘bertahan’ lebih lama apabila melakukan seks dengan seseorang perempuan. Di kalangan remaja perempuan, mereka berlumba-lumba untuk mencatatkan rekod siapa yang tidur dengan paling ramai lelaki. Bagi remaja perempuan, mereka berterus-terusan terbabit dalam aktiviti perzinaan kerana bagi mereka tidak apa yang perlu ‘dipertahankan’ lagi setelah terlanjur kali pertama. Ada yang melakukan seks kerana berasa disayangi terutamanya apabila dipeluk dan dibelai oleh si kekasih. Kalau anda bertanya kepada mereka beberapa soalan mengenai rasional mereka melakukan seks, mereka sedar bahawa ia adalah satu kesalahan. Jika anda menyelidiki lebih mendalam, sesetengah mereka menyedari bahawa mereka hanya diperalatkan untuk kepuasan nafsu kekasih mereka semata-mata. Kalau sudah tahu diperalatkan, mengapa masih sanggup menyerahkan tubuh kepada kekasih? Itu persoalan yang datang daripada minda logik dan jawapan logik. Tentu sekali dengan menyedari diri diperalatkan membuatkan mereka berhenti daripada melakukan perbuatan berkenaan.
Namun, malangnya tidak bagi mereka kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mereka berasa disayangi. Kerjaya dan bisnes hari ini menuntut komitmen yang tinggi dari segi tenaga dan masa. Ramai ibu bapa keluar rumah sewaktu matahari belum terbit dan hanya kembali ke rumah apabila matahari sudah terbenam. Apabila sampai di rumah, hari sudah lewat dan badan sudah penat. Dalam keadaan sedemikian adakah terlintas di fikiran untuk bermesra dan berbual-bual dengan anak? Kebanyakan ibu bapa dalam keadaan keletihan, sudah tentu ingin menghilangkannya dengan rehat dan tidur. Tambahan pula keesokan harinya kerja yang tidak siap harus diselesaikan. Satu isu utama juga adalah ibu bapa yang berpangkat tinggi. Kita sedia maklum secara umumnya lebih tinggi pangkat seseorang itu, lebih besar tanggungjawab yang terpaksa dipikul. Lebih besar tanggungjawab yang terpaksa dipikul, maka lebih berat beban emosi terpaksa ditanggung. Menjadi ketua sesebuah organisasi memerlukan ketabahan tinggi. Orang bawahan mempunyai latar belakang keluarga, pendidikan dan sosial yang pelbagai. Apabila sesuatu keputusan dibuat oleh ketua, tidak semua memberikan persetujuan. Andai kata persetujuan dinyatakan dengan cara yang elok seperti perbincangan bersemuka atau mesyuarat, ia boleh diterima. Malangnya manusia yang ada hari ini terdiri daripada golongan manusia yang sakit emosi. Apabila mereka tidak bahagia, mereka akan membuatkan orang lain pun tidak bahagia. Budaya fitnah dan tikam belakang seolah-olah menjadi sebahagian budaya dalam kebanyakan organisasi. Sistem pendidikan formal kita pula kurang menekankan unsur Emotional Quotient (EQ) yang menyebabkan kita mampu melahirkan manusia hebat dari sudut akademik tetapi tempang dari sudut emosi. Ditambah pula dengan bermacam-macam kerenah pasangan yang tidak memahami dan bertolak ansur, tekanan perasaan bertambah memuncak. Secara tidak sedar, ramai ibu bapa yang tidak mampu menangani tekanan dengan baik akan melepaskan perasaan terhadap anak. Ia seolah-olah menjadi kesan berantai di mana anak yang dimarahi dan dileteri setiap hari pula akan mencari seseorang yang boleh menenangkan dan membelai perasaan mereka. Penyelesaian yang mudah di pihak anak adalah mencari rakan mahupun kekasih yang boleh membuatkan hidup mereka gembira. Kalau bernasib baik, mereka akan menemui rakan yang baik. Itu kalau bernasib baik, kerana rakan yang baik jarang ditemui hari ini.

 

Penulis adalah Perunding Psikologi Bahasa dan penulis buku Marah Tapi Sayang

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

OKU kena culik – Metro


OKU kena culik

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah: Seorang remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) parah selepas terjun dari kereta dipandu lelaki yang cuba melarikannya sejauh 12 kilometer di taman perumahan di Kuala Sungai Baru, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa, Maysharah Mohd Zahar, 14, yang menunggang motosikal Yamaha Sport bersama rakannya menuju ke rumahnya selepas selesai membeli barang di pekan Kuala Sungai Baru.

Bagaimanapun, motosikal remaja yang cacat kaki itu kehabisan minyak dan menyebabkan mereka terpaksa menolak 200 meter sebelum dihampiri kereta Proton Iswara dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun.

Sumber berkata, kereta itu berhenti dan menumpangkan mangsa yang bersetuju menaikinya kerana melihat ada seorang remaja perempuan berusia belasan tahun berada di dalamnya selain jarak rumah 500 meter.

FotoRASNAH menjaga Maysharah yang cedera.

“Lelaki itu bagaimanapun memecut kenderaan meninggalkan rakan mangsa yang mengunci motosikal dan memberitahu perlu segera menghantar anak perempuannya pergi tuisyen di sekolah di Lubok China.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29