Budaya manusia sakit emosi – Metro


Budaya manusia sakit emosi

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Hilmi Isa

Bagi orang ‘dulu-dulu’ apabila anak dara menginjak usia tertentu seperti 20 tahun dianggap kahwin lewat. Berbeza dengan generasi baru hari ini, pada usia tertentu di alam persekolahan dikatakan lewat jika belum melakukan hubungan seks.

Ya, hari ini ada yang mendakwa seolah-olah menjadi suatu yang mengaibkan sekiranya seorang remaja perempuan belum melakukan hubungan seks apabila mencapai tahap usia tertentu. Mereka akan diejek rakan kerana kononnya ‘tak laku’. Gurauan lucah yang menjijikkan, hatta orang berkahwin pun malu untuk memperkatakannya secara terbuka sudah menjadi mainan bibir. Si lelaki akan cuba menarik perhatian dan merangsang si perempuan dengan kata-kata lucah. Perkataan yang biasa pada pendengaran kita sebagai orang dewasa, boleh membawa maksud yang mendalam kepada mereka. Jika kita mengajar di hadapan mereka, tiba-tiba ada sesetengah perkataan yang kita gunakan akan membuatkan mereka tergelak dengan tiba-tiba. Selepas disiasat, barulah diketahui perkataan itu biasa saja di telinga kita, tetapi membawa maksud berbeza di minda mereka. Di samping itu, akan berlaku cabar-mencabar di antara lelaki dan perempuan. Si lelaki mengatakan yang dia ‘gagah’. Dia mencabar si perempuan untuk mencuba ‘kegagahannya’ atau si lelaki akan bersaing untuk mencatatkan ‘rekod’ siapa yang ‘bertahan’ lebih lama apabila melakukan seks dengan seseorang perempuan. Di kalangan remaja perempuan, mereka berlumba-lumba untuk mencatatkan rekod siapa yang tidur dengan paling ramai lelaki. Bagi remaja perempuan, mereka berterus-terusan terbabit dalam aktiviti perzinaan kerana bagi mereka tidak apa yang perlu ‘dipertahankan’ lagi setelah terlanjur kali pertama. Ada yang melakukan seks kerana berasa disayangi terutamanya apabila dipeluk dan dibelai oleh si kekasih. Kalau anda bertanya kepada mereka beberapa soalan mengenai rasional mereka melakukan seks, mereka sedar bahawa ia adalah satu kesalahan. Jika anda menyelidiki lebih mendalam, sesetengah mereka menyedari bahawa mereka hanya diperalatkan untuk kepuasan nafsu kekasih mereka semata-mata. Kalau sudah tahu diperalatkan, mengapa masih sanggup menyerahkan tubuh kepada kekasih? Itu persoalan yang datang daripada minda logik dan jawapan logik. Tentu sekali dengan menyedari diri diperalatkan membuatkan mereka berhenti daripada melakukan perbuatan berkenaan.
Namun, malangnya tidak bagi mereka kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mereka berasa disayangi. Kerjaya dan bisnes hari ini menuntut komitmen yang tinggi dari segi tenaga dan masa. Ramai ibu bapa keluar rumah sewaktu matahari belum terbit dan hanya kembali ke rumah apabila matahari sudah terbenam. Apabila sampai di rumah, hari sudah lewat dan badan sudah penat. Dalam keadaan sedemikian adakah terlintas di fikiran untuk bermesra dan berbual-bual dengan anak? Kebanyakan ibu bapa dalam keadaan keletihan, sudah tentu ingin menghilangkannya dengan rehat dan tidur. Tambahan pula keesokan harinya kerja yang tidak siap harus diselesaikan. Satu isu utama juga adalah ibu bapa yang berpangkat tinggi. Kita sedia maklum secara umumnya lebih tinggi pangkat seseorang itu, lebih besar tanggungjawab yang terpaksa dipikul. Lebih besar tanggungjawab yang terpaksa dipikul, maka lebih berat beban emosi terpaksa ditanggung. Menjadi ketua sesebuah organisasi memerlukan ketabahan tinggi. Orang bawahan mempunyai latar belakang keluarga, pendidikan dan sosial yang pelbagai. Apabila sesuatu keputusan dibuat oleh ketua, tidak semua memberikan persetujuan. Andai kata persetujuan dinyatakan dengan cara yang elok seperti perbincangan bersemuka atau mesyuarat, ia boleh diterima. Malangnya manusia yang ada hari ini terdiri daripada golongan manusia yang sakit emosi. Apabila mereka tidak bahagia, mereka akan membuatkan orang lain pun tidak bahagia. Budaya fitnah dan tikam belakang seolah-olah menjadi sebahagian budaya dalam kebanyakan organisasi. Sistem pendidikan formal kita pula kurang menekankan unsur Emotional Quotient (EQ) yang menyebabkan kita mampu melahirkan manusia hebat dari sudut akademik tetapi tempang dari sudut emosi. Ditambah pula dengan bermacam-macam kerenah pasangan yang tidak memahami dan bertolak ansur, tekanan perasaan bertambah memuncak. Secara tidak sedar, ramai ibu bapa yang tidak mampu menangani tekanan dengan baik akan melepaskan perasaan terhadap anak. Ia seolah-olah menjadi kesan berantai di mana anak yang dimarahi dan dileteri setiap hari pula akan mencari seseorang yang boleh menenangkan dan membelai perasaan mereka. Penyelesaian yang mudah di pihak anak adalah mencari rakan mahupun kekasih yang boleh membuatkan hidup mereka gembira. Kalau bernasib baik, mereka akan menemui rakan yang baik. Itu kalau bernasib baik, kerana rakan yang baik jarang ditemui hari ini.

 

Penulis adalah Perunding Psikologi Bahasa dan penulis buku Marah Tapi Sayang

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s