Kereta bertembung, guru hamil parah – Berita Harian


Kereta bertembung, guru hamil parah

2013/03/30 – 00:12:25 AMCetakEmel Kawan
Chukai: Guru sarat mengandung cedera parah, manakala seorang lelaki kritikal dalam kemalangan membabitkan dua kereta PROTON Satria Neo di Kilometer 131, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Meraga Beris, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Tengku Nor Akmaliana Tengku Zainuddin, 26, patah paha kanan dan ibu jari kiri serta kandungannya mengalami pendarahan.

Suaminya, Nasrulah Abd Rahman, 26, yang juga guru dari FELDA Kerteh 4, Dungun cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kemaman.

Seorang lagi pemandu, Hafiz Zaharuddin, 23, dari Kampung Pak Sabah, Dungun dilaporkan kritikal akibat cedera parah di kepala dan pendarahan dalaman.

Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Kereta dipandu Hafiz dari arah Kemaman ke Dungun dipercayai hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu Tengku Nor Akmaliana.

Anak cedera terkena peluru pistol bapa – Bernama


Anak cedera terkena peluru pistol bapa

2013/03/30 – 15:56:26 PMCetakEmel Kawan
MIRI: Seorang kanak-kanak cedera dibahu akibat terkena peluru dari pistol bapanya di flat Kem Batalion 12, Pasukan Gerakan Am di sini semalam.

Peluru tersebut menembusi bahu kanan kanak-kanak lelaki berusia lapan itu dan keadaannya dilapor stabil di Hospital Miri.

Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Mun Kok Keong berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 iaitu menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata tanpa alasan yang sah dan menambah siasatan dalaman juga akan dilakukan.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila bapa mangsa yang juga bertugas sebagai pemandu baru sahaja pulang dari Kuching selepas menyertai operasi di Lahad Datu.

Bapa mangsa singgah sebentar flat itu untuk menghantar barang-barangnya.

“Siasatan awal mendapati ketika bapa mangsa sedang melompat turun dari lorinya, pistol yang terselit di pinggangnya tersangkut di lori dan menyebabkan terlepas tembakan ke arah mangsa yang sedang berada berhampiran,” katanya.

Mun berkata, kanak-kanak tersebut lalu dihantar bapanya ke hospital. – BERNAMA

Pakar pendidikan temui jawapan pelajar lelaki lemah dalam SPM – Utusan


Pakar pendidikan temui jawapan pelajar lelaki lemah dalam SPM

KUALA LUMPUR 29 Mac – Prestasi pelajar lelaki dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang semakin menurun sejak 15 tahun lalu dipercayai berpunca daripada bentuk soalan peperiksaan itu yang memihak kepada pelajar perempuan.

Profesor di Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Dr. Siti Rahayah Arifin berkata, kajian pihaknya mendapati, soalan SPM ketika ini lebih menjurus kepada kemahiran menulis, teks dan linguistik sekali gus memberi kelebihan kepada pelajar perempuan.

Sebaliknya, kata beliau, pelajar lelaki lebih menguasai soalan berkaitan angka, grafik, visual, logik, matematik dan penaakulan aras tinggi iaitu elemen yang tidak ditekankan dalam SPM.

Sehubungan itu, tambahnya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menggantikan pendekatan Teori Ujian Klasik (CTT) dalam peperiksaan SPM ketika ini dengan teori yang dibangunkannya, Teori Tret Pendam (IRT).

“Menerusi IRT itu, soalan peperiksaan SPM akan direka berdasarkan kemampuan dan kemahiran pelajar lelaki dan perempuan mengambil kira perbezaan pengetahuan kedua-dua golongan berkenaan,” katanya ketika berucap dalam program Syarahan Perdana Profesor Ke Arah Kesaksamaan Penilaian dan Pendidikan di sini hari ini.

Program di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut dihadiri Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan dan Pengarah Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Madya Dr. Noriah Mohd. Ishak.

Sementara itu, peserta forum, Nita Salina Abu Bakar, 35, berkata, modul pembelajaran sekarang perlu diubah supaya tidak hanya tertumpu kepada akademik tetapi turut mengetengahkan aspek kemahiran.

Katanya, perkara itu bagi memastikan kemampuan pelajar tidak hanya diukur daripada keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama seperti SPM sebaliknya dinilai berdasarkan kemahiran dimiliki.

“Corak peperiksaan yang berat sebelah memberi peluang kepada pelajar perempuan mendapat keputusan lebih baik berbanding pelajar lelaki dan ini sudah semestinya tidak adil kepada pelajar lelaki,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130330/dn_21/Pakar-pendidikan-temui-jawapan-pelajar-lelaki-lemah-dalam-SPM#ixzz2P2TKui6V
© Utusan Melayu (M) Bhd

NUTP minta tangguh pelaksanaan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris – Utusan


NUTP minta tangguh pelaksanaan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris

GENTING HIGHLANDS 29 Mac – Pelaksanaan syarat wajib lulus subjek Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu dilaksanakan dalam tempoh 12 tahun akan datang berbanding cadangan awal pada 2016.

Cadangan itu antara hasil pembentangan Kajian Pertengahan Penggal 200 Perwakilan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) seluruh negara di sini hari ini.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, NUTP menyokong penuh syarat baharu tersebut namun mengharapkan Kementerian Pelajaran tidak melaksanakannya segera bagi memberi tumpuan dari segi persiapan guru dan murid ke arah kejayaan pelaksanaan itu.

“Tempoh 12 tahun sehingga 2025 itu bagi memberi ruang dan masa kepada persediaan kemudahan di sekolah, latihan dan bimbingan kepada guru kemahiran tinggi termasuk persediaan dalam kalangan pelajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan pembentangan kajian itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini memberitahu, subjek Bahasa Inggeris berkemungkinan besar dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi SPM bermula 2016.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130330/dn_10/NUTP-minta-tangguh-pelaksanaan-syarat-wajib-lulus-Bahasa-Inggeris#ixzz2P2TFACon
© Utusan Melayu (M) Bhd

3 beradik terhidu racun rumput – Utusan


3 beradik terhidu racun rumput

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Nuramanini MAT HALUWI, Muhammad Aiman

KOTA BHARU 29 Mac – Tiga beradik berdepan detik cemas selepas terhidu serbuk racun rumput dan serangga yang berwarna ungu berkilat ketika sedang bermain masak-masak di Kampung Berangan, Tumpat di sini petang semalam.

Keadaan tersebut menyebabkan ketiga-tiga beradik berkenaan Muhammad Aiman Mat Haluwi, 7; Muhammad Arsyad, 6, dan Nuramanini, 5, yang terhidu bahan berkenaan mengalami muntah-muntah dan pening.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Difahamkan, ketika kejadian ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan, Mat Haluwi Yusof, 49, yang bekerja sebagai buruh dan Siti Fatimah Yaacob, 36, peniaga kedai runcit tiada di rumah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Supritendan Sharifuddin Yusof berkata, ketika kejadian ketiga-tiga beradik berkenaan dipercayai terhidu serbuk racun dari jenis faradon ketika sedang bermain masak-masak.

Menurutnya, kejadian yang menimpa ketiga-tiga beradik itu disedari oleh ibunya Siti Fatimah Yaacob, 36, selepas melihat anaknya berada di dalam keadaan lemah dan terbaring serta muntah-muntah di ruang tamu kira-kira pukul 6 petang.

“Sebaik sahaja pulang dari bekerja, bapa mangsa menghantar ketiga-tiga anak mereka itu ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan. Kira-kira pukul 7.30 malam pihak hospital telah merujuk kes berkenaan ke HPRZ II untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil rawatan yang dijalankan, pegawai perubatan hospital berkenaan memberitahu mangsa berada dalam keadaan stabil dan mempunyai kesan racun di dalam badan akibat terhidu bahan tersebut,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Tambahnya, racun berkenaan disimpan di sebuah stor belakang rumah mangsa dalam keadaan terdedah dan bapanya merupakan petani sambilan.

Sharifuddin memberitahu, racun berkenaan digunakan untuk membunuh rumput dan serangga dan semasa kejadian bahan berkenaan di simpan dalam beg plastik lusuh.

“Hasil temu bual dengan kanak-

kanak berkenaan mengatakan mereka bermain masak-masak dengan pasir berwarna ungu kilat dan kita syak bahan tersebut adalah faradon,” ujarnya.

Sementara itu, abang mangsa Amirul Mat Haluwi, 19, berkata ketiga-tiga adiknya itu terhidu bahan berkenaan selepas dipercayai bermain masak-masak berhampiran rumah padi yang terletak di belakang rumahnya.

“Racun berkenaan sudah lama dan plastiknya pecah. Jadi ketiga-tiga adik saya kemudian mengambil bahan tersebut yang dianggap sebagai pasir dan kemudian dijadikan sebagai permainan.

“Ketiga-tiga adik saya kemudiannya pening dan muntah-muntah, tidak lama kemudian mereka bertiga dibawa ke hospital,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130330/je_04/3-beradik-terhidu-racun-rumput#ixzz2P2SBzsEC
© Utusan Melayu (M) Bhd