Pendidik bantah pindah guru – Sinar Harian


Pendidik bantah pindah guru

NORSHIKIN MOHD SALLEH
31 Mac 2013
Pendidik bantah pindah guru
Normala (depan, lima kanan) bersama-sama ahli Pendidik yang membantah kes pertukaran guru berkumpul di luar pejabat Jabatan Pelajaran Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) kesal dan dukacita tindakan yang dikenakan ke atas tiga guru di negeri ini yang dikatakan diarah berpindah ke daerah lain tanpa alasan atau mengikut prosedur yang ditetapkan.

Presidennya, Normala Sudirman berkata, tindakan menukarkan tiga guru terbabit disifatkan zalim dan pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa kes dan isu ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

“Ketiga-tiga warga pendidik yang cemerlang dalam perkhidmatan  itu diarah bertukar secara mengejut di tiga daerah berasingan di negeri ini tanpa alasan.

“Atas dasar ini, satu memorandum membantah pertukaran guru terlibat ditandatangani lebih 2,000 orang terdiri dari warga pendidik sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan yang berlaku,” katanya yang berkumpul di luar pejabat Jabatan Pelajaran Johor Bahru.

Normala berkata, tindakan menukar seseorang guru akan menyebabkan murid  menjadi mangsa.

Dia menggesa jabatan itu mengembalikan martabat profesion perguruan dan tidak membiarkan  maruah dan martabat guru dipermainkan.

“Prosedur pertukaran warga pendidik dalam perkhidmatan perguruan perlu dipatuhi supaya imej jabatan terus dihormati di mata masyarakat,” tegasnya.

Pihaknya kini sedang mengkaji beberapa kes dari sudut guaman dan perundangan terhadap isu yang melibatkan kebajikan dan hak warga pendidik dalam persada pendidikan negara.

“Saya menyeru  warga pendidik bangkit mempertahankan hak dan maruah mereka dari menjadi alat salah guna kuasa yang merugikan pendidikan negara,” katanya.

Gadis Lari Dari Rumah Ikut Kenalan Facebook – mStar


Gadis Lari Dari Rumah Ikut Kenalan Facebook

Oleh HAN KAR KAY

ALOR SETAR: Seorang gadis berusia 17 tahun hilang sejak Sabtu dipercayai melarikan diri dari rumah bersama kenalan lelaki yang dikenalinya di Facebook.

See Yuan Ping dari Kota Sarang Semut dipercayai melarikan diri dri rumahnya di Taman Kota Jaya di antara tengah malam dan 5.30 pagi pada Sabtu.

Ibu bapanya, See Eng Hua dan Yeow Geek Sean, masing-masing berusia 46 tahun merayu agar dia pulang dengan selamat.

Difahamkan Yuan Ping menaiki bas ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.30 pagi Sabtu dengan seorang penganggur yang dikenali sebagai Ooi Kit Yee, 21.

Yuan Ping gagal dihubungi oleh kedua-dua ibu bapanya kerana telefon bimbitnya telah dimatikan.

Badan Penulis Buku-Buku Ilmu Di Kalangan Pendidik Akan Ditubuhkan – Bernama


Badan Penulis Buku-Buku Ilmu Di Kalangan Pendidik Akan Ditubuhkan

GEORGE TOWN: Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) akan menubuhkan satu badan penulis buku-buku ilmu di kalangan pendidik bagi memperbanyakkan jumlah buku ilmu dalam koleksi penerbitan buku di negara ini.

Penasihat PPBMM, Prof Emeritus Abdullah Hassan berkata bilangan penulis buku ilmu dalam negara perlu diperbanyakkan setanding negara-negara luar agar bagi melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu hasil pembacaan bahan-bahan penerbitan seperti itu mulai sekarang.

Katanya, negara sudah terlalu banyak menghasilkan penulis dalam bidang novel, cereka, cerpen dan drama yang berbentuk kreatif tetapi masih kekurangan dalam menghasilkan penulis buku-buku ilmu untuk menambah pengetahuan rakyat.

“Kebanyakan buku ilmu yang diterbitkan adalah hasil terjemahan penulis barat yang kebanyakan ilmunya berpandukan idea dan pengetahuan barat,” katanya ketika menutup mesyuarat agung PPBMM yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Sabtu.

Justeru, katanya, satu usul telah diluluskan sebulat suara supaya PPBMM menubuhkan badan penulis buku ilmu di kalangan pendidik termasuk dari kalangan pensyarah dan pelajar universiti, institusi pendidikan perguruan dan guru sekolah yang kemudian boleh digunapakai sebagai bahan rujukan kepada pelajar dan murid di institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah.

Bercakap kepada Bernama selepas itu, Abdullah berkata dalam mesyuarat itu PPBMM meluluskan sebulat suara usul menjalin kerjasama persefahaman dengan universiti luar negara terutamanya dari Jepun, Korea Selatan, Jerman dan China dalam bidang bahasa mulai tahun ini.

Katanya, dengan usaha itu Bahasa Melayu boleh diperluaskan ke peringkat antarabangsa selain membuka peluang kepada anggota PPBMM mempelajari bahasa asing.

Sementara itu, Prof Madya Dr Hashim Othman dari USM mengekalkan jawatannya sebagai Presiden PPBMM bagi sesi 2013-2015. BERNAMA

Kanak-kanak lapan tahun cedera terkena serpihan peluru – Kosmo


Kanak-kanak lapan tahun cedera terkena serpihan peluru

MIRI – Seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas terkena serpihan peluru daripada sepucuk pistol milik ayahnya yang juga seorang anggota polis di Flat Batalion 12, Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, kanak-kanak berusia lapan tahun itu cedera di bahu kanan selepas senjata api yang terselit di pinggang anggota polis yang berpangkat koperal berkenaan tersangkut di bahagian penutup badan lori lalu meletup.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, sebelum kejadian, anggota polis berusia 40 tahun itu ditugaskan untuk menghantar barang-barang milik rakan sekerja yang berpindah tugas ke Ibu Pejabat PGA Sarawak di Kuching.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm#ixzz2P7h29q7A
Hakcipta terpelihara

Remaja terjun kereta elak dirogol terima 7 jahitan – Utusan


Remaja terjun kereta elak dirogol terima 7 jahitan

ALOR GAJAH 30 Mac – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menerima tujuh jahitan di kepala setelah dia nekad terjun dari sebuah kereta bagi mengelak dirogol, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, mangsa bersama seorang rakan lelaki berusia 17 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Perdana Jernih, Kuala Sungai Baru menaiki sebuah motosikal.

Menurutnya, motosikal yang dinaiki kedua-dua remaja itu bagaimanapun kehabisan minyak menyebabkan mereka terpaksa berhenti di tepi jalan sementara menunggu bantuan bapa remaja lelaki itu.

“Semasa sedang menunggu, sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna jingga berhenti dan pemandunya menawarkan bantuan untuk menghantar mangsa pulang ke rumah.

“Mangsa kemudian bersetuju menumpang kereta itu kerana mendapati ada seorang remaja perempuan turut berada dalam kenderaan tersebut yang didakwa suspek sebagai anaknya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Umar Ali berkata, rakan lelaki mangsa pula tidak menaiki kereta tersebut kerana menunggu kehadiran bapanya yang akan datang membawa petrol untuk motosikalnya.

Katanya, setelah beredar, pemandu kereta itu tidak menghantar mangsa terus pulang ke rumah dengan memberi alasan sudah terlambat menghantar anaknya ke sekolah.

“Setelah menghantar anaknya ke sekolah, suspek memandu ke arah Linggi dan enggan menghantar mangsa pulang, malah mula bercakap perkara lucah menyebabkan mangsa bimbang,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 12 kilometer selepas itu, mangsa nekad terjun dari kenderaan berkenaan setelah cubaannya membuka pintu kereta tersebut gagal kerana berkunci.

Berikutan tindakan beraninya itu, beliau berkata, mangsa cedera di kepala dan terpaksa menerima tujuh jahitan, selain lebam dan luka di badan.

Tambahnya, polis yang menerima laporan mengenai kes itu telah menahan suspek pada pukul 5 petang hari yang sama di sekitar Kuala Sungai Baru.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan seseorang dengan niat hendak mengurung dengan sulit dan dengan salah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130331/je_04/Remaja-terjun-kereta-elak-dirogol-terima-7-jahitan#ixzz2P7acCqT3
© Utusan Melayu (M) Bhd

PELAKSANAAN SKIM INSURANS MURID SEKOLAH (SIMS) DI BAWAH SURUHANJAYA PENGANGKUTAN


PELAKSANAAN SKIM INSURANS MURID SEKOLAH (SIMS) DI BAWAH SURUHANJAYA PENGANGKUTAN

28 March 2013

Pelaksanaan Skim Insurans Murid Sekolah (SIMS) adalah program Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Program ini memberi skim perlindungan insurans kepada murid sekolah yang menggunakan bas/van sekolah yang berlesen dengan SPAD di seluruh Semenanjung Malaysia dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi Sabah dan Sarawak mulai 02 Januari 2013 sehingga 01 Januari 2014. Sila rujuk panduan lengkap pelaksanaan SIMS(SPAD), senarai skop perlindungan, amaun manfaat dan borang serta kaedah membuat tuntutan adalah seperti dilampirkan.

 

Muat Turun
Borang Tuntutan SIMS
Panduan Skim Insuran Murid Sekolah
Surat Makluman SPADS

TEMA HARI GURU 2013 : GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA


TEMA HARI GURU 2013 : GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA

29 March 2013

Salam Satu Malaysia,

Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selaku Urus Setia Pemilihan Tema Hari Guru 2013
telah menerima persetujuan dan pengesahan dari Pejabat YAB Menteri Pelajaran berhubung Tema Hari Guru 2013. Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan tema yang telah dipersetujui oleh  YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran adalah:

GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA

 

hari guru 2013


HURAIAN TEMA HARI GURU 2013

 GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA

HURAIAN 1ASPIRASI:

Semua Guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan,kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.
1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025 iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupukperpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.

HURAIAN 1AGENDA:

Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013-2025.  Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsasah Pendidikan Negara.