Remaja lelaki humban motosikal sebelum cabut lari – Sinar Harian


Remaja lelaki humban motosikal sebelum cabut lari

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 April 2013
Remaja lelaki humban motosikal sebelum cabut lari
Motosikal suspek disita berikutan tiada cukai jalan.

KULIM – Gara-gara takut ditahan polis, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun sanggup meninggalkan motosikalnya ditepi jalan sebelum melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran jerat Cina di sini kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, ketika ditahan suspek dilihat sedang menunggang berseorangan dengan motosikal jenis Honda dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, unit MPV ketika itu membuat rondaan mencegah jenayah menahan suspek dan membuat pemeriksaan.

“Suspek memberhentikan motosikal di bahu jalan setelah diarahkan berbuat demikian oleh anggota unit MPV. Sebaik saja polis menghampiri suspek dan meminta supaya menunjukkan lesen memandu dan kad pengenalan, suspek bertindak agresif dengan mencampakkan motosikalnya sebelum melarikan diri.

“Orang ramai dan ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) yang berada di tempat kejadian kemudiannya mencari suspek dan ternampak suspek menyembunyikan diri di sebuah restoran nasi kandar.

“Suspek kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut manakala motosikalnya disita kerana tidak mempunyai cukai jalan,” katanya.

Ismail menasihatkan mana-mana pemilik motosikal supaya jangan sesekali membenarkan pelajar bawah umur atau mereka yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal. Ini adalah kerana sekiranya suspek ditahan, polis turut mengeluarkan saman terhadap pemilik motosikal.

Katanya, polis terpaksa bertindak lebih serius dalam menangani masalah penunggang motosikal yang tidak mengendahkan undang-undang jalan raya ditetapkan. Sehingga penghujung Mac 2013, lebih 15 kemalangan maut dilaporkan berlaku dan pelajar sekolah merupakan mangsa paling ramai terlibat.

Tuisyen Percuma Edunation Secara Online Beri Manfaat Kepada Pelajar – Bernama


Tuisyen Percuma Edunation Secara Online Beri Manfaat Kepada Pelajar

KUALA LUMPUR: Edunation Sdn Bhd, organisasi sukarela swasta, melancarkan revolusi pendidikan dikenali “Edunation’, untuk memberi peluang kepada pelajar Malaysia untuk akses kepada pembelajaran percuma secara online, khususnya kepada pelajar miskin dan di kawasan luar bandar.

Pengasas Edunation, Edmond Yap berkata Edunation berobjektif mengubah cara pelajar belajar, dengan mendorong mereka menentukan cara mereka belajar daripada hanya bergantung kepada apa yang diajar di sekolah.

“Berjuta-juta pelajar sedang berdepan kesukaran dalam pembelajaran di sekolah-sekolah ketika ini dan ramai yang memerlukan tuisyen untuk lulus. Malangnya banyak ibu bapa tidak mampu membayar tuisyen untuk anak mereka.

“Jadi dengan menyenaraikan semua sukatan pelajaran sekolah di Malaysia secara online, percuma untuk digunakan, kami cuba memperkasakan setiap pelajar di Malaysia, sama ada kaya atau miskin, untuk cemerlang di sekolah,” katanya pada pelancaran program itu di sini pada Isnin.

Beliau berkata program itu juga menyediakan latihan dan ujian secara online kepada pelajar untuk membolehkan mereka berlatih membuat kefahaman mengenai subjek yang diajar. “Pelajar boleh melihat, belajar dan mengulang kaji sebanyak bab yang mereka inginkan, mereka boleh berlatih membuat kefahaman mengikut kesesuaian mereka dan juga berbual dengan sesiapa sahaja di Malaysia, ibu bapa, guru, sukarelawan dan rakan pelajar untuk mencari jawapan,” kata Yap.

Program itu hasil usahasama Khan Academy dan Brickfields Asia Collage dan program itu termasuk pengajaran melalui video secara online bagi matematik, sains, ekonomi, perakaunan dan bahasa seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Terdapat 40 tutor terbabit dalam program itu dan turut mendapat sokongan selebriti Malaysia seperti vokalis Alleycats Datuk David Arumugam dan model Amber Chia.-BERNAMA

Guru Trauma Akibat Pencerobohan Pengganas Di Lahad Datu Pulih – Puad – Bernama


Guru Trauma Akibat Pencerobohan Pengganas Di Lahad Datu Pulih – Puad

POKOK SENA: Guru yang mengalami trauma akibat kejadian pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah diyakini telah pulih dan dapat menjalankan tugas seperti biasa.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kementerian juga menghantar lima kaunselor yang pakar untuk melatih guru di sekolah yang terlibat dengan kejadian pencerobohan tersebut sebagai kaunselor, selain membantu guru yang trauma dengan insiden itu.

“Memang ada kes guru tidak datang mengajar kerana trauma, namun keadaan telah pulih dan mereka kembali bertugas seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pemantapan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah Parlimen Pokok Sena di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena di sini, Isnin.

Turut hadir Ketua Umno bahagian Pokok Sena Datuk Ahmad Lebai Sudin dan setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail.

Menurut Mohd Puad, guru yang tinggal di Semporna dan terpaksa menaiki bot ke Pulau Bumbum untuk mengajar, juga tidak perlu bimbang kerana mereka ditemani anggota keselamatan.

Mengenai penempatan baharu sekolah di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM), beliau berkata kementerian akan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Katanya dua buah sekolah di Lahad Datu yang masih ditutup kerana kerosakkan teruk akibat terkena tembakan dalam kejadian itu, ialah Sekolah Kebangsaan (SK)Lok Buani dan SK Tanjung Labian.

“Kedua-dua sekolah rendah ini perlu dibaiki sebelum boleh dibuka semula,” katanya.

Murid kedua-dua sekolah itu ditempatkan di beberapa lokasi termasuk di Dewan Kampung Cenderawasih, Dewan Kampung Embara Budi, Dewan Kampung Fajar Harapan dan Kampung Kembara Sakti.

Katanya murid dari Kampung Cenderawasih menumpang belajar di SK Cenderawasih, murid dari Kampung Embara Budi ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Embara Budi manakala murid dari Kampung Fajar Harapan dan Kampung Embara Sakti menumpang di SK Cenderawasih. -BERNAMA

Ibu bapa mengeluh tiada tempat menunggu – Kosmo


Ibu bapa mengeluh tiada tempat menunggu

KEADAAN sesak di hadapan SJKT Saraswathi, Sungai Buloh akibat dipenuhi kenderaan yang diletakkan pengguna komuter.

 

SUNGAI BULOH – Ibu bapa murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Saraswathi di sini terpaksa berhadapan masalah ketiadaan tempat menurun dan mengambil anak mereka di pekarangan sekolah apabila kawasan tersebut didakwa dikuasai pengguna tren komuter Keretapi Tanah Melayu sejak enam bulan lalu.

Selain mereka, pemandu bas sekolah turut mengadu terpaksa mengambil risiko menurunkan murid di hadapan sekolah dalam keadaan sesak selain terpaksa menunggu lebih sejam mengambil mereka selepas waktu persekolahan.

Suri rumah dari Desa Aman di sini, K. Chandra, 33, mendakwa, tindakan pengguna komuter meletakkan kenderaan mereka di kawasan pekarangan sekolah untuk mengelak bayaran di tapak komuter serta projek pembangunan Transit Aliran Massa menyusahkan mereka.

“Kami saban hari mengambil risiko menghantar dan mengambil anak kami selain terpaksa mengharungi kesesakan sebelum dan selepas waktu sekolah.

“Tindakan pemandu lori simen dan pasir yang meletakkan kenderaan berat di sini bagi mengelak pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan memburukkan lagi keadaan,” dakwanya ketika ditemui semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2PDyzb7V4
Hakcipta terpelihara

Tak bosan belajar 6 jam – Metro


Tak bosan belajar 6 jam

 5  0 Google +0  0  0

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad, Aniza Zainudin dan Nurul Husna Mahmud

Shah Alam: Perisian penuh animasi serta gambar bergerak membuatkan sesi pembelajaran atas talian iTR1M tidak membosankan bagi pelajar peringkat menengah hingga ada yang mampu menelaah sehingga enam jam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24(2) Shah Alam, Nur Amalina Jamali, 17, berkata, tuisyen berkenaan cukup menarik bersama elemen animasi dan gambar bergerak.
“Selain saya, ibu, Khawaniza Muharam, 47, serta adik, Nur Farisha, 15, turut tertarik dengan program berkenaan kerana ia begitu interaktif. Malah nota diberikan padat serta jalan penyelesaian mudah difahami membuatkan sesi pembelajaran tidak membosankan,” katanya memperoleh keputusan 11A dalam SPM baru-baru ini.

 

Khawaniza berkata, keseluruhan modul diberikan sangat membantu selain tiada caj dikenakan untuk servis tuisyen atas talian.
Katanya, biarpun terpaksa menyediakan kemudahan seperti komputer serta Internet, kosnya lebih rendah berbanding menghantar anak tuisyen di luar.
“Di luar satu subjek saja RM75 dan kalau ambil lebih enam subjek sudah berapa belanja perlu dikeluarkan. Malah anak berada di depan mata boleh dipantau serta bahan dipaparkan mengikut sukatan tentu saja membantu mengurangkan kos pendidikan yang perlu ditanggung ibu bapa. Saya berharap kelak adiknya pula berpeluang mengikuti program sama,” katanya.

 

Pelajar lain, Chin Siok Lai, 17, berkata, dengan adanya tuisyen berkenaan waktu belajarnya lebih fleksibel tanpa perlu mengganggu urusan ibu bapa seharian.
“Program ini membantu saya mengulang kaji semua pelajaran. lebih menarik, saya boleh mengatur waktu belajar sendiri tanpa menyusahkan ibu bapa menghantar ke pusat tuisyen,” katanya.

 

“Kemudahan seperti komputer serta Internet sedia ada di rumah memudahkan untuk mengakses laman itu bila-bila masa saja. Sebagai pelengkap, kami boleh berbincang dengan guru mahupun rakan lain di Facebook jika ada kekeliruan mengenai apa-apa subjek,” katanya.
iTRIM dilaksanakan dalam dua bentuk iaitu secara tuisyen konvensional dan secara atas talian amat berfaedah dalam membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Rawang, Nur Mariha Baharuddin berkata, peruntukan kelas tambahan iTR1M dua hingga empat jam seminggu bagi subjek Sains membantu mengenali masalah pelajar.
“Dalam waktu sekolah sukar memberi tumpuan kepada pelajar lemah. Apabila iTR1M bermula, pelajar lemah yang tidak mampu mengikuti kelas intensif berbayar di luar boleh manfaatkan peluang itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Keluarga risau anak perempuan lari ikut kenalan Facebook – Utusan


Keluarga risau anak perempuan lari ikut kenalan Facebook

ALOR SETAR 31 Mac – Seorang bapa bimbang perkara buruk berlaku terhadap anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi, dipercayai lari mengikut teman lelaki yang dikenali setahun lalu melalui laman sosial Facebook.

Kehilangan See Yuan Ping, 17, dari Taman Kota Jaya, Kota Sarang Semut di sini, disedari adik lelakinya, See Wei Loon, 15, kira-kira pukul 5.30 pagi semalam, setelah dia mendapati kakaknya itu tiada dalam bilik tidur.

Bapa gadis itu, See Eng Hua, 46, berkata, Yuan Ping yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muadzam Shah di sini, telah berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Ooi Kit Yee, 21, melalui Facebook.

Beliau berkata, sepanjang mereka berkawan sejak setahun lalu, lelaki terbabit pernah datang ke rumahnya sebanyak dua kali.

“Saya memarahi anak saya dan mahu dia tumpukan perhatian kepada pelajaran dahulu, jangan asyik melayari internet tetapi tak sangka dia bertindak lari dari rumah mengikut lelaki tersebut.

“Saya keluar bekerja pukul 9 malam tadi dan anak lelaki telefon beritahu kakaknya tiada di bilik tidur.

“Kami cuba cari Yuan Ping di sekitar bandar raya ini dengan bantuan Ahli Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan mendapati anak saya serta lelaki tersebut telah menaiki bas pergi ke Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di Bangunan MCA di sini hari ini.

Eng Hua bimbang perkara buruk menimpa anak gadisnya itu kerana lelaki terbabit tidak bekerja.

Katanya, kehilangan Yuan Ping telah dilaporkan kepada polis dan berharap orang ramai yang melihat anaknya itu segera menghubunginya di talian 010-5369490 atau CRSM Alor Setar (010-5652011).

Sementara itu, isterinya, Yeow Geek Sean turut merayu agar anak mereka itu segera pulang ke pangkuan keluarga kerana mereka bimbangkan keselamatannya.

“Saya rindukan dia, dia pergi tanpa tinggalkan apa-apa nota. Saya harap dia pulang segera dan teruskan persekolahan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130401/dn_17/Keluarga-risau-anak-perempuan-lari-ikut-kenalan-Facebook#ixzz2PDlmTcn0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Remaja perempuan 16 tahun ditangkap berkhalwat – Utusan


Remaja perempuan 16 tahun ditangkap berkhalwat

LEDANG 31 Mac – Keghairahan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun meraikan ulang tahun perkenalan pertama bersama teman lelakinya dengan bermalam di sebuah hotel bajet di bandar Tangkak di sini, membawa padah apabila mereka dicekup kerana didakwa berkhalwat awal pagi ini.

Pasangan kekasih remaja itu dicekup semasa sedang tidur tanpa berpakaian dipercayai selepas mengadakan hubungan seks oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari Pejabat Jabatan Agama Daerah Ledang (PADL) pada pukul 3.10 pagi.

Semasa ditanya pemberita yang turut serta dalam operasi serbuan itu, pelajar perempuan berasal dari Bukit Kepong, Muar itu mengaku menipu ibunya semata-mata mahu bertemu teman lelakinya yang berusia 18 tahun dengan memberi alasan mahu bermalam di rumah rakannya di bandar tersebut.

“Saya beritahu ibu yang menghantar saya ke sebuah restoran makanan segera di bandar ini dengan alasan ingin berjumpa dan bermalam di rumah teman sekolah.

“Sebenarnya saya berjumpa teman lelaki berasal dari Seri Menanti, Muar di restoran berkenaan sebelum bermalam di hotel bajet untuk meraikan ulang tahun perkenalan kami,” ujarnya.

Remaja tersebut yang merupakan antara pelajar cemerlang di sekolahnya berkata, mereka berkenalan sejak setahun lalu dan mengakui datang ke hotel itu setiap kali berjumpa sebelum mengadakan hubungan seks.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, serbuan dilakukan oleh penguat kuasa adalah berdasarkan aduan orang awam serta rutin operasi jabatan berkenaan.

“Penguat kuasa menunggu kira-kira lima minit sebelum remaja perempuan yang hanya bertuala membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan. Pemeriksaan lanjut dalam bilik menemui seorang remaja lelaki tanpa pakaian sedang tidur atas katil.

“Pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri,” katanya.

Sulaiman berkata, kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk laporan dan Pejabat Agama bagi siasatan lanjut sebelum dijamin keluarga masing-masing.

Katanya, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 27(1)ab, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130401/dn_11/Remaja-perempuan-16-tahun-ditangkap-berkhalwat#ixzz2PDlKGJMS
© Utusan Melayu (M) Bhd

IKLAN KEKOSONGAN GURU DI SEKOLAH INTEGRITI DAN SEKOLAH HENRY GURNEY


IKLAN KEKOSONGAN GURU DI SEKOLAH INTEGRITI DAN SEKOLAH HENRY GURNEY

01 April 2013

Permohonan adalah dipelawa daripada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkelayakan untuk mengisi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41, DG44(KUP) dan DG48 (KUP) di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney seperti lokasi berikut :-

  • Sekolah Integriti Kajang
  • Sekolah Integriti Muar
  • Sekolah Integriti Kluang
  • Sekolah Integriti Kota Kinabalu
  • SHG Melaka
  • SHG Keningau

 

Sila klik di sini dan di sini untuk maklumat lanjut.

 

Cara Memohon

  • Permohonan hendaklah dibuat menggunakan borang permohonan berikut :-
  • Semua permohonan hendaklah disertakan salinan sijil/dokumen sokongan yang telah disahkan serta sekeping gambar berukuran passport (tidak dikembalikan) dan dihantar melalui Pengetua/Guru Besar kepada:

PENGARAH
BAHAGIAN PENDIDIKAN KHAS

ARAS 2, BLOK E2, KOMPLEKS E,

PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

62604 PUTRAJAYA 

  • Sila tuliskan OPSYEN MATA PELAJARAN di sebelah atas kiri sampul surat permohonan.
  • Tarikh tutup permohonan ialah pada 30 April 2013 .

 

CATATAN: Hanya calon-calon yang layak sahaja selepas tapisan akan ditempatkan ke Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney berkenaan. Calon-calon yang tidak menerima jawapan selepas Tiga (3) bulan dari tarikh iklan ditutup hendaklah menganggap permohonan mereka tidak berjaya.