Sekolah tidak perlu sewa van lagi – Sinar Harian


Sekolah tidak perlu sewa van lagi

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Sekolah tidak perlu sewa van lagi
Sabri (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada Ahmad sebagai gimik penyerahan di perkarangan Maahad Muhammadi Pasir Pekan.

TUMPAT – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyumbangkan sebuah van Toyota Hiace bernilai RM104,000 kepada Sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan bagi kemudahan pengangkutan 884 pelajar, di sini.

Penyerahan van tersebut disempurnakan Ketua Eksekutif PKINK, Sabri Abdullah kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, merangkap Adun Pasir Pekan.

Pengetua Maahad Muhammadi Pasir Pekan, Tarmizi Said berkata, sumbangan van ini memberi manfaat besar kepada pelajar.

“Setiap kali aktiviti kokurikulum di luar sekolah, pihak sekolah tidak perlu menyewa pengangkutan lain kerana ada pengangkutan sendiri.

“Begitu juga bagi kegunaan pelajar asrama untuk ke mana-mana destinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan van sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Pelajar, Huda Syafinaz Badri pelajar tingkatan empat berkata, dia gembira dengan sumbangan van tersebut kerana ia kemudahan yang bernilai kepada pelajar.

“Biasanya, setiap kali aktiviti luar, pihak sekolah perlu menyewa bas dan van sekolah, paling dibanggakan di van itu ada nama sekolah,” katanya.

Pelajar tingkatan enam, Siti Salsadila Ishak berkata, wajar di setiap sekolah ada pengangkutan sendiri dan sumbangan ini merealisasikan impian pelajar di sini.

“Ia aset berharga sekolah kami dan terima kasih kepada PKINK atas keprihatinan mereka menyumbangkan van kepada sekolah kami,” katanya.

Sekolah Arab Saudi anjur tilawah al-Quran antara sekolah – Bernama


Sekolah Arab Saudi anjur tilawah al-Quran antara sekolah

2 April 2013

KUALA LUMPUR – Sekolah Arab Saudi akan menganjurkan tilawah al-Quran dan hafazan selama lima hari mulai 15 April ini di premis sekolah berkenaan di Jalan Hulu Kelang, Ampang di sini.

Pengetua sekolah, Mazen Saleh Nosier berkata, edisi keenam acara itu terbuka kepada pelajar semua sekolah awam dan swasta tempatan selain Sekolah Arab Saudi.

Beliau berkata, hadiah utama RM4,000 ditawarkan kepada johan manakala pemenang kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM3,000 dan RM2,000.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di www.ssmy.com.my atau tajsaudi5@gmail.com atau telefon 013-3144052.- Bernama

Tidak sempat beli ‘top-up’ – Sinar Harian


Tidak sempat beli ‘top-up’

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Tidak sempat beli ‘top-up’
MUHAMMAD FAREZ

GUNUNG SEMANGGOL – Keghairahan seorang remaja pergi ke kedai untuk membeli kad tambah nilai prabayar atau  ‘top-up’  tidak berpanjang apabila maut dirempuh sebuah kereta berhampiran rumahnya dalam kejadian sekitar jam 8.15 pagi di Jalan Kerian, di sini, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Farez Musa, 14, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave difahamkan dilanggar dari bahagian tepi oleh sebuah kereta jenis Honda Hybrid ketika menyeberangi jalan untuk memasuki satu simpang di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa difahamkan melambung sejauh beberapa meter dari tempat kejadian setelah motosikalnya dirempuh kenderaan yang dipercayai dipandu laju.

“Kesan rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di  kepala akibat terhentak pada permukaan jalan selain patah tangan kiri.

“Mangsa difahamkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya sewaktu dihubungi media, di sini semalam.

Mat Fauzi berkata, mayat mangsa dituntut ahli keluarga sejurus dihantar ke Hospital Parit Buntar.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Musa Amran, 53, ketika ditemui berkata, dia pada mulanya tidak dapat menerima hakikat kehilangan anaknya itu, lebih-lebih lagi mereka sekeluarga hendak pergi bertandang ke majlis perkahwinan bapa saudaranya, di sini.

Jelasnya, dia tidak menyangka permintaan mangsa untuk keluar sebentar ke kedai merupakan petanda anaknya akan pergi buat selama-lamanya.

“Arwah merupakan seorang pelajar yang rajin dan dilantik sebagai pengawas sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

“Arwah yang merupakan anak keempat daripada lima beradik merupakan seorang yang sangat pandai, periang dan rajin. Kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga,” katanya.

Guru Trauma Akibat Pencerobohan Pengganas Di Lahad Datu Pulih – Puad – Bernama


Guru Trauma Akibat Pencerobohan Pengganas Di Lahad Datu Pulih – Puad

POKOK SENA: Guru yang mengalami trauma akibat kejadian pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah diyakini telah pulih dan dapat menjalankan tugas seperti biasa.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kementerian juga menghantar lima kaunselor yang pakar untuk melatih guru di sekolah yang terlibat dengan kejadian pencerobohan tersebut sebagai kaunselor, selain membantu guru yang trauma dengan insiden itu.

“Memang ada kes guru tidak datang mengajar kerana trauma, namun keadaan telah pulih dan mereka kembali bertugas seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pemantapan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah Parlimen Pokok Sena di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena di sini, Isnin.

Turut hadir Ketua Umno bahagian Pokok Sena Datuk Ahmad Lebai Sudin dan setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail.

Menurut Mohd Puad, guru yang tinggal di Semporna dan terpaksa menaiki bot ke Pulau Bumbum untuk mengajar, juga tidak perlu bimbang kerana mereka ditemani anggota keselamatan.

Mengenai penempatan baharu sekolah di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM), beliau berkata kementerian akan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Katanya dua buah sekolah di Lahad Datu yang masih ditutup kerana kerosakkan teruk akibat terkena tembakan dalam kejadian itu, ialah Sekolah Kebangsaan (SK)Lok Buani dan SK Tanjung Labian.

“Kedua-dua sekolah rendah ini perlu dibaiki sebelum boleh dibuka semula,” katanya.

Murid kedua-dua sekolah itu ditempatkan di beberapa lokasi termasuk di Dewan Kampung Cenderawasih, Dewan Kampung Embara Budi, Dewan Kampung Fajar Harapan dan Kampung Kembara Sakti.

Katanya murid dari Kampung Cenderawasih menumpang belajar di SK Cenderawasih, murid dari Kampung Embara Budi ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Embara Budi manakala murid dari Kampung Fajar Harapan dan Kampung Embara Sakti menumpang di SK Cenderawasih. -BERNAMA

Bincang tambah baik pendidikan Cina – Metro


Bincang tambah baik pendidikan Cina

 0  1 Google +0  0  0

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melihat cadangan mengiktiraf Sijil Kelayakan Bersepadu (Gabungan Sekolah Menengah Cina) atau UEC bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ini dimaklumkan Perdana Menteri ketika mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di pejabatnya di sini, semalam.

Pengerusinya Dr Yap Tian Sin ketika membacakan kenyataan bersama dikeluarkan Perdana Menteri dan Dong Zong berkata, pertemuan diadakan bagi membincang dan bertukar idea untuk penambahbaikan pendidikan Cina di negara ini.

“Perjumpaan itu menyentuh isu pengiktirafan UEC yang ada hubung kait dengan permohonan memasuki IPTA. Kami juga berbincang mengenai pelajar sekolah aliran Cina yang perlu sekurang-kurangnya kredit bagi Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama UEC sebagai syarat permohonan ke IPTA.
“Kami juga berbincang mengenai pengiktirafan subjek Bahasa Malaysia dalam UEC,” katanya. ketika ditemui media di luar bangunan Perdana Putra di sini.
Dr Yap turut mengakui ia kenyataan bersama pertama dikeluarkan kedua-dua pihak dalam tempoh lebih 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Dibaham buaya – Metro


Dibaham buaya

 1473  4 Google +1  0  0

Oleh Alias Abd Rani

Asajaya: “Kami seolah-olah dilibas sesuatu dan pada masa sama kelibat Hiswandi hilang,” kata Mohd Iwan Majid, 14, rakan kepada Mohamad Hiswadi Dollia yang dikhuatiri dibaham buaya ketika memancing di Sungai Samarahan, dekat sini, kelmarin.

Mohamad Hiswandi, 15, yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muara Tuang dilaporkan hilang selepas tidak muncul di permukaan air ketika membersihkan tubuh sebaik selesai memancing bersama seorang lagi rakan, Mohd Yusuf Nuri, 15, jam 12.30 tengah hari.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Iwan berkata, seperti biasa mereka ke sungai terletak satu kilometer dari rumahnya itu untuk memancing pada jam 11 pagi sebelum membuat keputusan pulang sebelum azan Zuhur.

“Saya dan Hiswandi turun ke sungai membersihkan diri, manakala Mohd Yusuf menunggu di tebing dan ketika berenang, Hiswandi berada di sebelah saya sebelum tiba-tiba kaki kanan saya tersentuh objek bersisik.

FotoDOLLIA sugul menunggu berita nasib anaknya.

“Tidak lama kemudian, Hiswandi yang menyelam terus hilang dan pada masa sama saya melihat seekor buaya melibas ekor lalu terkena kaki saya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

SK Tanjung Labian, SK Lok Buani, FELDA Sahabat dibuka Isnin – Bernama


SK Tanjung Labian, SK Lok Buani, FELDA Sahabat dibuka Isnin

2013/04/02 – 16:27:42 PMCetakEmel Kawan
LAHAD DATU: Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan SK Lok Buani, FELDA Sahabat, dekat sini yang ditutup hampir sebulan berikutan pencerobohan militan Sulu, akan dibuka semula untuk sesi persekolahan mulai Isnin.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud, berkata keputusan itu dibuat selepas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memaklumkan bahawa keadaan dan tahap keselamatan di kawasan itu kembali pulih dan semakin baik.

Kementerian akan mengadakan pelbagai program khas untuk memastikan pelajar di kedua-dua sekolah itu tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka ekoran sekolah tersebut ditutup hampir sebulan, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Kedua-dua sekolah itu mempunyai 30 guru dan 600 murid.

Beliau berkata, antara program yang akan dilaksanakan ialah kelas tambahan untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolan Rendah (UPSR) dan sesi kaunseling untuk guru yang trauma dengan insiden pencerobohan itu.

Pihaknya juga akan mengusahakan bantuan seperti pakaian sekolah, buku dan alat tulis untuk murid yang terjejas, katanya.

Abdul Ghafar berkata, pihaknya juga akan menilai jumlah kerosakkan harta benda sekolah, serta harta benda peribadi milik guru yang hilang di kuarters guru susulan daripada insiden pencerobohan itu.
“Guru-guru diminta senaraikan kerugian yang dialami untuk dinilai pejabat pelajaran daerah,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan atas kejayaan mereka mempertingkatkan keselamatan di kawasan itu.

– BERNAMA

Najib ucap tahniah kepada penerima Biasiswa Nasional 2013 – Bernama


Najib ucap tahniah kepada penerima Biasiswa Nasional 2013

2013/04/02 – 16:55:24 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada 50 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang menerima Biasiswa Nasional 2013.

Beliau turut menasihati pelajar berkenaan supaya tidak melupakan peranan yang disumbangkan ibu bapa dan guru sehingga mereka mencapai kejayaan itu.

“Tahniah kepada 50 pelajar cemerlang SPM tahun lalu yang menerima Biasiswa Nasional. Jangan lupa usaha ibu bapa dan guru yang memainkan peranan penting,” katanya dalam tweet terbaru beliau hari ini.

Pelajar cemerlang itu menerima biasiswa tersebut yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di ibu negara, semalam.

Melalui program Biasiswa Nasional, penerima akan ditaja dari peringkat persediaan hingga peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang pilihan mereka yang diiktiraf kerajaan di dalam dan luar negara.

Program itu diperkenalkan pada tahun 2010 dengan 30 pelajar cemerlang SPM 2009 menerima biasiswa tersebut, tetapi ditambah menjadi 50 orang mulai 2012 ekoran peningkatan ketara pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 2011.

– BERNAMA

Abang jual gambar bogel adik – Utusan


Abang jual gambar bogel adik

Oleh AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 April – Seorang pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah sekolah di Ipoh, Perak, hidup dalam keadaan tertekan setelah abang kandungnya bertindak menjual gambar bogelnya kepada pemilik laman web lucah.

Lebih malang, dia kini ‘dikurung’ oleh keluarganya kerana enggan perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa dengan alasan tidak mahu mengganggu abangnya yang berusia 20 tahun itu.

Pengerusi Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong berkata, bagaimanapun dengan bantuan ibu saudaranya, mangsa berjaya melaporkan perkara itu kepada pihaknya.

“Gadis itu memberitahu gambar bogelnya dirakamkan secara rahsia oleh abangnya sejak beberapa tahun lalu ketika dia sedang mandi.

“Dia hanya mengetahui perkara itu apabila abangnya yang kini berada di Eropah telah mengirim gambar tersebut kepadanya melalui laman sosial Facebook dan mengakui sudah menjual gambar-gambar itu kepada pemilik laman web lucah di Eropah bagi mendapatkan wang,” katanya dalam sidang akhbar di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.

Menurut Michael, mangsa turut mendakwa yang abangnya itu sering membuat gangguan seksual sejak dia berusia sembilan tahun dan pernah cuba memperkosanya dua tahun lalu.

Beliau berkata, mangsa bersama abangnya itu tinggal dengan nenek mereka sejak ibu bapa mereka bercerai ketika masing-masing berusia lima dan dua tahun.

“Sejak itu mereka tidur sebilik, bagaimanapun ketika sudah meningkat remaja abangnya sering melakukan gangguan seksual kepada adik perempuannya itu,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130402/je_05/Abang-jual-gambar-bogel-adik#ixzz2PJNI1PFk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cari remaja lemas, jumpa bangkai buaya – Utusan


Cari remaja lemas, jumpa bangkai buaya

SAMARAHAN 1 April – Misteri kehilangan seorang remaja sewaktu memancing bersama dua orang sepupunya di Sungai Batang Samarahan di Kampung Niup di sini kira-kira pukul 12.45 tengahari semalam masih belum terungkai.

Mangsa, Mohd. Iswandi Dollia, 15, disyaki dibaham buaya dan ia diperkuatkan dengan penemuan bangkai haiwan ganas itu kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian sejam selepas dia dilaporkan hilang.

Bangkai buaya sepanjang 3.8 meter itu ditemui terapung oleh beberapa penduduk kampung dan 16 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Bapa mangsa, Dollia Boh, 43, berkata penduduk kampung terbabit mengesyaki buaya berkenaan telah membaham anaknya berdasarkan keadaan perutnya yang kembung dan agak besar.

“Bagaimanapun apabila perut buaya dibelah, mereka tidak menemui sebarang anggota badan manusia,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.

Mohd. Iswandi dilaporkan hilang sewaktu menyelam untuk melepaskan mata kail yang tersangkut di dasar sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Sewaktu kejadian, mangsa memancing bersama dua orang sepupunya iaitu Mohd Iwan Majid dan Yusof Nuri, masing-masing 15 tahun.

Menceritakan kejadian itu, Mohd. Iwan berkata, dia dan mangsa terjun ke dalam sungai selepas mata kail yang digunakan mereka tersangkut manakala Yusof menunggu di tebing sungai.

“Kira-kira seminit kemudian saya naik semula ke permukaan air dan mendapati Mohd. Iswandi masih tidak timbul-timbul manakala air sungai ketika itu berkocak-kocak.

“Pada mulanya kami menyangka dia ingin bergurau tetapi selepas lima minit kami mulai bimbang dan mula menjerit-jerit memanggil namanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Iwan berkata dia kemudiannya berlari mencari orang kampung untuk memaklumkan kejadian itu manakala Yusof menunggu di tebing sungai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Lee Thai Lein berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pukul 1 petang semalam dan buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Katanya, sehingga pukul 4.30 petang ini, mayat mangsa masih belum ditemui.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130402/dn_14/Cari-remaja-lemas-jumpa-bangkai-buaya#ixzz2PJLCMmAS
© Utusan Melayu (M) Bhd