Remaja maut dilanggar lori – Sinar Harian


Remaja maut dilanggar lori

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
5 April 2013
Remaja maut dilanggar lori
Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan semasa menunggu hasil keputusan bedah siasat.

ALOR SETAR – Niat seorang remaja perempuan untuk menghantar adik bongsunya ke sekolah tidak kesampaian apabila maut dilanggar sebuah lori muatan berat di Kampung Syed Ahmad, Pendang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, mangsa, Nor Hasnita Abu Hasan, 18, dari Risda Bukit Perak, Pendang, dilanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan ketika cubaan mengelak sebatang pokok tumbang atas jalan.

Nor Hasnita yang menunggang motosikal Honda Wave Dash dari arah Sik menghala ke Sungai Tiang meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara adik bongsunya, Mohd Afiq Izani Abu Hasan, 13, yang membonceng motosikal berkenaan mengalami kecederaan ringan.

Menurut sumber, akibat rempuhan kuat itu, Mohd Afiq yang lengkap berpakaian sekolah tercampak 10 meter ke belakang dari tempat kejadian.

Ibu mangsa, Rosni Zainul, 52, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan atau tanda-tanda dia akan pergi buat selamanya.

“Hari-hari dia hantar adik. Pukul 6.40 pagi macam tu dia dah keluar rumah. Dia tak berubah apa, cuma adik yang berubah. Dia lambai tangan sambil menyebut ‘bye bye’ kat mak.. dah pi jauh pun lambai lagi.

“Lepas tu, dia teringin nak minum teh ais pagi-pagi lagi. Kalau tak, sebelum ni tak pernah minta,” katanya.

Rosni berkata, anaknya itu juga mempunyai impian dan cita-cita tinggi untuk mengikut jejak langkah kakak sulungnya, Haniza Abu Hasan, 22, yang telah melanjutkan pelajaran di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Selangor.

“Dia cerita nak ambil kursus melancong. Hari-hari dia berangan nak pi luar negara kalau boleh. Mak cik selalu gurau macam tu la dengan dia,” katanya.

Mangsa yang mendapat keputusan agak baik  4A, 3B dan 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini juga akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak pada awal bulan Jun nanti.

Menurutnya, mayat mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Syed Ahmad, semalam.

Murid tahun satu lemas susulan pasir jerlus – Bernama


Murid tahun satu lemas susulan pasir jerlus

5 April 2013

SETIU – Seorang murid tahun satu yang dihanyutkan air sungai susulan kejadian pasir jerlus di sungai Kampung Padang Muar di sini petang semalam, ditemui mati lemas hari ini.

Mayat murid Sekolah Kebangsaan Sungai Tong, Nor Aina Nabila Abdullah ditemui terdampar kira-kira 200 meter dari tempat kejadian pada pukul 9.25 pagi tadi oleh kumpulan mencari dan menyelamat.

Perkara itu disahkan Penolong Kanan Penguasa Bomba negeri Mohd Rozairi Abd Rahim ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, nenek mangsa Gayah Mat Sin, 56, berkata kejadian berlaku pukul 6.30 petang semalam ketika dia bersama seorang anaknya yang berusia 18 tahun, Nor Aina serta dua anak jiran mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mandi di sungai berkenaan.

“Saya ternampak timbunan pasir yang cantik dan ingin melihat dari dekat. Kami kemudian berjalan berpimpin tangan menyusuri sungai apabila dasar sungai tiba-tiba jerlus dan kami mula tenggelam.

“Kami berusaha naik ke tebing tetapi entah macam mana Nabila terperangkap dan dalam sekelip mata dihanyutkan air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Gayah, beliau tidak menyangka gurauan cucunya yang berpura-pura lemas ketika mandi sebelum kejadian menjadi kenyataan. – Bernama

Pelajar wanita 15 tahun antara ditahan edar dadah – Bernama


Pelajar wanita 15 tahun antara ditahan edar dadah

5 April 2013

PETALING JAYA – Enam individu termasuk dua wanita ditahan sementara sepucuk pistol bersama 631 gram dadah dianggarkan bernilai RM65,000 dirampas di Taman Medan di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, polis pada mulanya menahan seorang lelaki berumur 24 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah, di dalam sebuah kereta di Taman Medan Baru pada pukul 10 malam Rabu lepas.

“Polis merampas satu paket plastik dipercayai dadah jenis heroin seberat 470 gram dan pistol jenama Ruger P85 MK II beserta kelongsong peluru yang berisi lima butir peluru hidup di tepi kotak gear dalam kereta itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Arjunaidi berkata lelaki itu yang memiliki enam rekod jenayah melibatkan samun ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Beliau berkata, sejurus penahanan pertama, polis memberkas tiga lagi lelaki dan dua wanita tempatan, seorang daripadanya pelajar perempuan berumur 15 tahun di sebuah kedai yang dipercayai dijadikan lokasi pengedaran dadah di Taman Medan Baru.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 500 biji pil yang disyaki dadah jenis Eramin 5 seberat 150 gram dan 19 paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu seberat 11 gram,” katanya.

Arjunaidi berkata siasatan masih dibuat untuk mengetahui sama ada pelajar yang ditahan itu terlibat dalam pengedaran dadah. Kesemua suspek direman mulai semalam hingga Isnin.- Bernama

Murid lemas tergelincir ke dalam sungai – Bernama


Murid lemas tergelincir ke dalam sungai

5 April 2013

KEMAMAN – Seorang murid Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor di sini ditemui lemas setelah terjatuh ke dalam sungai di Kampung Batu 14, di sini hari ini.

Siti Nor Asiah Nik Jaafar, 12, dilaporkan tergelincir ke dalam sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya kira-kira 2.30 petang.

Ketika itu dia dikatakan sedang bermain-main di tepi sungai sebelum dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam berkata neneknya yang bersamanya yang tersedar dengan kejadian itu telah menjerit meminta tolong.

Beliau berkata bapa mangsa yang berada tidak jauh dari itu meluru ke tempat tersebut dan melihat anaknya sedang terkapai-kapai.

“Bapanya terus terjun ke dalam sungai tetapi anaknya telah hilang dibawa arus,”  katanya ketika dihubungi.

Che Suza berkata mayat mangsa kemudiannya ditemui kira-kira 500 meter dari tempat kejadian pada pukul pukul 3.50 petang oleh pihak bomba dan penyelamat. – Bernama

PENUTUPAN SEMENTARA APLIKASI SEMAKAN TAWARAN TEMU DUGA PISMP AMBILAN JUN 2013 BAGI PELAJAR CEMERLANG SPM TAHUN 2012


PENUTUPAN SEMENTARA APLIKASI SEMAKAN TAWARAN TEMU DUGA PISMP AMBILAN JUN 2013 BAGI PELAJAR CEMERLANG SPM TAHUN 2012

05 April 2013
Adalah dimaklumkan bahawa APLIKASI SEMAKAN TAWARAN TEMU DUGA PISMP AMBILAN JUN 2013 BAGI PELAJAR CEMERLANG SPM TAHUN 2012 akan ditutup sementara bermula jam 5 petang (5/4/2013) sehingga 5 pagi (6/4/2013) untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Segala kesulitan amatlah dikesali.

 

Diterbitkan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat

PENUTUPAN SEMENTARA BEBERAPA APLIKASI PENTING BAGI MENJALANKAN KERJA-KERJA PENYENGGARAAN


PENUTUPAN SEMENTARA BEBERAPA APLIKASI PENTING BAGI MENJALANKAN KERJA-KERJA PENYENGGARAAN

05 April 2013

Adalah dimaklumkan bahawa beberapa aplikasi penting antaranya adalah eOperasi, sistem pertukaran guru, sistem pertukaran bukan guru, ePangkat dan Sistem Semakan dan Pembayaran Balik Secara Online akan ditutup sementara bermula jam 5 petang (5/4/2013) sehingga 5 pagi (6/4/2013) untuk kerja-kerja penyenggaraan. Segala kesulitan amatlah dikesali.

Remaja maut, adik parah nahas motosikal, lori – Utusan


Remaja maut, adik parah nahas motosikal, lori

ALOR SETAR 4 April – Seorang remaja perempuan terbunuh manakala adik lelakinya parah selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah lori tanah gara-gara cuba mengelak sebatang pokok getah yang tumbang di Jalan Syed Ahmad, Bukit Perak, Pendang di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa, Nor Hasnita Abu Hasan, 18, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd. Afiz Izani Abu Hasan, 13, patah kaki kanan selepas tercampak kira-kira dua meter.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang, Mohd. Izzuddin Inusmeah berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal dinaiki dua beradik itu cuba mengelak daripada melanggar sebatang pokok getah yang tumbang di laluan mereka.

Bagaimanapun, katanya, motosikal mangsa memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tanah.

“Mayat Nor Hasnita ditemukan di hadapan lori manakala motosikalnya terperosok di bawah lori berkenaan,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Difahamkan, pemandu lori yang merempuh motosikal mangsa ditahan polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, ibu mangsa, Rosni Zainul, 52, ketika ditemui berkata, dia rebah sebaik sahaja mendengar berita mengenai kemalangan yang menimpa dua anaknya itu.

“Nor Hasnita hanya mendiamkan diri pagi ini sebelum keluar rumah tetapi adiknya yang membonceng di belakang melambai tangan sehingga jauh meninggalkan kami.

“Selalu sebelum mereka keluar dari rumah saya akan pesan supaya bawa motosikal dengan berhati-hati. Tak sangka mereka terlibat dalam kemalangan hari ini,” katanya.

Rosni berkata, Nor Hasnita sedang menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan setelah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Katanya, jenazah Nor Hasnita dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Syed Ahmad di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130405/je_02/Remaja–maut-adik-parah–nahas-motosikal-lori#ixzz2Pa3GztHL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selepas 22 tahun, guru Kemas johan qariah tilawah al-Quran Kelantan – Utusan


Selepas 22 tahun, guru Kemas johan qariah tilawah al-Quran Kelantan

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

RADZIAH Ibrahim (dua dari kiri) muncul johan qariah Tilawah Al-Quran Negeri Kelantan Kali ke-56 di Kota Bharu malam tadi. Beliau adalah johan qariah yang pertama selepas 22 tahun peserta wanita dilarang oleh kerajaan Pas Kelantan daripada menyertai tilawah di negeri itu. – UTUSAN/ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 5 April – Seorang guru al-Quran Kemas, Radziah Ibrahim, mencipta sejarah menjadi qariah pertama dari Kelantan dalam tempoh 22 tahun ini, dan akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan Mei ini selepas dinobatkan sebagai johan qariah Tilawah al-Quran Negeri Kelantan Ke-56 malam tadi.

Sebelum tempoh itu, kerajaan Pas Kelantan melarang wanita menyertai tilawah al-Quran di negeri itu.

Radziah, 50, yang mewakili daerah Bachok menduduki tempat pertama dengan markah 76.65 peratus, manakala naib johan pula disandang Munirah Kasim, 46, dari Tanah Merah dengan markah 76.32 peratus dan tempat ketiga Che Minah Awang, 59, dari Kota Bharu mendapat markah 75.49 peratus.

Sementara johan qari pula disandang Zulkifli Haron, 54, dari Pasir Mas dengan markah 80.49 peratus; naib johan Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukri, 29, dari Pasir Puteh dengan markah 79.83 peratus dan tempat ketiga Mohd. Nazri Daud, 33, Tumpat dengan 78.99 peratus.

Johan kedua-dua kategori membawa pulang sebuah motosikal Modenas tajaan Mydin Holdings, wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan. Manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing memperoleh wang tunai RM4,000 dan RM3,000, piala iringan serta sijil penyertaan.

Upacara pengurniaan hadiah kepada pemenang telah disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada majlis di Dewan Utama, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji di sini malam ini. Turut berangkat adalah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Seramai 21 peserta iaitu 11 qariah dan 10 qari menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-56 yang berlangsung sejak 1 April lalu.

Radziah ketika ditemui berkata, beliau sangat bersyukur kerana sudah menanti begitu lama peluang untuk mewakili negeri sendiri di peringkat kebangsaan sejak berkecimpung dalam bidang ini dari usia muda lagi.

Beliau yang pernah ‘dilamar’ mewakili negeri Pahang pada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan tahun 2003 berkata, inilah masanya untuk qariah Kelantan bangkit kembali setelah peluang mereka ditutup begitu lama.

“Saya pernah berpeluang bertanding mewakili daerah dua kali di peringkat negeri sebelum larangan kepada qariah, selepas itu keadaan menjadi suram dan akibatnya qariah tidak lagi bersemangat untuk terus menumpukan belajar taranum,” katanya.

Johan qari, Zulkifli pula berkata, beliau gembira kerana akhirnya qariah dibenarkan untuk bertanding semula dan mendapat peluang yang sama dengan lelaki dan percaya perkembangan ini sudah tentu akan memberi motivasi kepada pelapis baru terutama di peringkat sekolah. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130405/dn_02/Selepas-22-tahun-guru-Kemas-johan-qariah-tilawah-al-Quran-Kelantan#ixzz2Pa2Dq5gH
© Utusan Melayu (M) Bhd