Selepas 22 tahun, guru Kemas johan qariah tilawah al-Quran Kelantan – Utusan


Selepas 22 tahun, guru Kemas johan qariah tilawah al-Quran Kelantan

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

RADZIAH Ibrahim (dua dari kiri) muncul johan qariah Tilawah Al-Quran Negeri Kelantan Kali ke-56 di Kota Bharu malam tadi. Beliau adalah johan qariah yang pertama selepas 22 tahun peserta wanita dilarang oleh kerajaan Pas Kelantan daripada menyertai tilawah di negeri itu. – UTUSAN/ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 5 April – Seorang guru al-Quran Kemas, Radziah Ibrahim, mencipta sejarah menjadi qariah pertama dari Kelantan dalam tempoh 22 tahun ini, dan akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan Mei ini selepas dinobatkan sebagai johan qariah Tilawah al-Quran Negeri Kelantan Ke-56 malam tadi.

Sebelum tempoh itu, kerajaan Pas Kelantan melarang wanita menyertai tilawah al-Quran di negeri itu.

Radziah, 50, yang mewakili daerah Bachok menduduki tempat pertama dengan markah 76.65 peratus, manakala naib johan pula disandang Munirah Kasim, 46, dari Tanah Merah dengan markah 76.32 peratus dan tempat ketiga Che Minah Awang, 59, dari Kota Bharu mendapat markah 75.49 peratus.

Sementara johan qari pula disandang Zulkifli Haron, 54, dari Pasir Mas dengan markah 80.49 peratus; naib johan Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukri, 29, dari Pasir Puteh dengan markah 79.83 peratus dan tempat ketiga Mohd. Nazri Daud, 33, Tumpat dengan 78.99 peratus.

Johan kedua-dua kategori membawa pulang sebuah motosikal Modenas tajaan Mydin Holdings, wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan. Manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing memperoleh wang tunai RM4,000 dan RM3,000, piala iringan serta sijil penyertaan.

Upacara pengurniaan hadiah kepada pemenang telah disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada majlis di Dewan Utama, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji di sini malam ini. Turut berangkat adalah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Seramai 21 peserta iaitu 11 qariah dan 10 qari menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-56 yang berlangsung sejak 1 April lalu.

Radziah ketika ditemui berkata, beliau sangat bersyukur kerana sudah menanti begitu lama peluang untuk mewakili negeri sendiri di peringkat kebangsaan sejak berkecimpung dalam bidang ini dari usia muda lagi.

Beliau yang pernah ‘dilamar’ mewakili negeri Pahang pada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan tahun 2003 berkata, inilah masanya untuk qariah Kelantan bangkit kembali setelah peluang mereka ditutup begitu lama.

“Saya pernah berpeluang bertanding mewakili daerah dua kali di peringkat negeri sebelum larangan kepada qariah, selepas itu keadaan menjadi suram dan akibatnya qariah tidak lagi bersemangat untuk terus menumpukan belajar taranum,” katanya.

Johan qari, Zulkifli pula berkata, beliau gembira kerana akhirnya qariah dibenarkan untuk bertanding semula dan mendapat peluang yang sama dengan lelaki dan percaya perkembangan ini sudah tentu akan memberi motivasi kepada pelapis baru terutama di peringkat sekolah. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130405/dn_02/Selepas-22-tahun-guru-Kemas-johan-qariah-tilawah-al-Quran-Kelantan#ixzz2Pa2Dq5gH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s