Dua anak dipukul guru – Sinar Harian


Dua anak dipukul guru

AZLINA OTHMAN
8 April 2013
Dua anak dipukul guru
Hamzah menunjukkan dua laporan polis yang dibuat dan gambar muka anaknya, Muhammad Hafiz Hisham yang didakwa ditampar guru.

KULAIJAYA – Seorang bapa mendakwa dua anaknya berusia 10 dan 12 tahun yang bersekolah di sebuah sekolah rendah di daerah ini dipukul guru masing-masing tanpa alasan yang munasabah.

Bapa berkenaan menyuarakan kekesalan terhadap tindakan guru-guru terbabit yang didakwa memukul pada bahagian muka dan kepala anak-anaknya dalam kejadian berasingan.

Pengawal keselamatan, Hamzah Abdul Hamid, 47, berkata, kejadian pertama dikesan berlaku sekitar dua bulan lalu apabila anaknya, Siti Nuraishah, 12, enggan ke sekolah selepas didakwa dikasari gurunya.

“Saya mengetahui hal ini seminggu selepas kejadian. Siti Nuraishah tidak mahu ke sekolah kerana dipukul pada bahagian kepala menggunakan rotan di hadapan rakan lain selepas tidak dapat menjawab soalan Matematik.

“Saya kemudiannya datang ke sekolah untuk merujuk perkara itu kerana Siti Nuraishah tidak mahu ke sekolah
seperti ketakutan malah malu akibat dipukul.

“Ketika cuba mendapatkan penjelasan, guru besar sekolah hanya memaklumkan akan menyiasat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Hamzah berkata, dia ada membawa Siti Nuraishah membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Bandar Tenggara dan diarahkan ke Hospital Kulai dan hasilnya terdapat kesan bengkak pada bahagian kepala.

“Keesokannya, saya merujuk perkara ini kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kulaijaya bersama laporan kesihatan anak dan mereka beritahu akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Kemudian, belum pun reda kisah si kakak, Hamzah mendakwa anak lelakinya, Muhammad Hafiz Hisham, 10, pula ditampar
pada bahagian muka hingga meninggalkan sedikit kesan calar dengan alasan tidak membawa buku, baru-baru ini.

“Saya terkejut apabila nampak muka Muhammad Hafiz Hisham merah dan ada kesan calar seperti ditampar.

Anak saya mengaku tidak membawa buku dan mahu berkongsi dengan kembarnya Muhammad Hafiz Hashim di dalam kelas.

“Saya khuatir kerana anak saya menghidap penyakit saluran jantung sempit kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

Saya merujuk perkara itu ke sekolah, tapi alasan yang sama diberikan iaitu siasatan akan dilakukan,” katanya.

Dia yang tidak berpuas hati dengan situasi itu mahu dua guru terbabit tampil memohon maaf atas kekasaran dilakukan.

Katanya, dia tidak tidak marah tindakan yang diambil jika benar mahu menghukum kerana anak-anaknya melakukan kesalahan.

“Tetapi, jika mahu mengajar pelajar, gunalah cara yang betul dan tidak menimbulkan kebencian pelajar terhadap guru.
Janganlah sampai dipukul pada bahagian muka atau kepala.

“Sebagai bapa, saya kesal dengan kejadian yang berlaku. Saya anggap perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia merupakan masalah kecil,” katanya.

Terdahulu, Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tenggara, dekat sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Md Hasidin Zaini berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan dan sekiranya guru terlibat didapati bersalah, tindakan selanjutnya mengikut prosedur ditetapkan akan diambil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s