RM1.79 juta untuk 9 sekolah
9 April 2013

Mohd Puad (dua, kiri) menyampaikan sijil kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan PMR bagi sekolah agama daerah Batu Pahat.
BATU PAHAT – Kerajaan memperuntukkan RM1.79 juta kepada sembilan sekolah di Batu Pahat bagi menambah baik prasarana dan infrastruktur sedia ada.
Antara kemudahan yang bakal diterima semua sekolah berkenaan menerusi peruntukan itu adalah dewan terbuka dan asrama pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, lapan sekolah agama iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Busiah, SMA Jawahir Al Ulum, Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Budi, SK Seri Rengit, SK Seri Merlong, SK Merlong, SK Ser Perpat dan SK Rengit menerima bantuan sebanyak RM200,000.
Manakala Sekolah Agama Bersepadu Bukit Pasir menerima sebanyak RM190,000.
“Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada peruntukan kerajaan pusat kepada semua sekolah termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi memperbaiki kemudahan yang ada.
“Menerusi bantuan yang diterima, setiap sekolah boleh membaiki atau menaik taraf bangunan kelas, asrama atau kantin kerana ia penting untuk keselesaan murid ketika berada di sekolah.
“Bagi negeri ini, kementerian mengucapkan terima kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana membenarkan kesemua sekolah menjadi sekolah bantuan kerajaan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada SMA Jawahir Al Ulum, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Mohd Puad turut menyampaikan penghargaan kepada pelajar aliran agama di Batu Pahat.
Sementara itu, Pengetua SMA Jawahir Al Ulum, Salihin Mohd Salih berkata, pihaknya akan menggunakan bantuan tersebut bagi menaik taraf asrama yang menempatkan kira-kira 260 pelajar.
Katanya, pengurusan sekolah memikirkan kerja naik taraf itu sebagai perkara paling penting kerana keselesaan prasarana itu, selain kelas yang mampu memberi manfaat kepada pelajar.
“Pembaikan fizikal yang dijalankan dijangka dapat menambah keselesaan 260 daripada 340 pelajar di sekolah ini. Baki pelajar yang tidak menginap di asrama tinggal berdekatan di kawasan Senggarang.
“Pembaikan yang akan dilakukan merupakan masalah yang ingin diselesaikan pihak sekolah sebelum ini, tetapi kami menghadapi masalah kewangan. Oleh itu saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.
“Saya berharap dengan penambahbaikan ini akan membuatkan setiap pelajar akan rasa selesa serta mampu mengikuti sesi pembelajaran dengan baik seterusnya keputusan yang diberikan juga adalah terbaik,” katanya.