16 Remaja Lelaki Terlibat 271 Kes Curi Motosikal Ditahan – Bernama


16 Remaja Lelaki Terlibat 271 Kes Curi Motosikal Ditahan

ALOR SETAR:Polis menahan 16 remaja lelaki berumur 14 hingga 18 tahun yang masih belajar dipercayai terlibat dalam 271 kes kecurian motosikal kawasan Kota Setar sejak Januari hingga Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata remaja tersebut melakukan aktiviti jenayah secara berasingan, dalam kumpulan kecil dan diberkas dalam Ops Lejang.

Katanya polis turut merampas enam motosikal dan 37 rangka motosikal daripada remaja tersebut yang menyasarkan motosikal jenis Honda EX-5, Honda Wave dan Yamaha LC.

“Mereka akan mengintai motosikal yang diletakkan di pusat membeli-belah dankawasan sunyi termasuk di dalam kawasan rumah dan mencurinya apabila berpeluang.

“Komponennya dileraikan dan dijual. Mereka juga guna komponen itu untuk ubahsuai motosikal mereka bagi tujuan merempit. Rangkanya pula dibuang ke dalamsungai di sekitar daerah ini,” kata Adzaman pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya Ops Lejang dilancarkan di seluruh negeri sepanjang tahun bertujuanmembanteras kecurian motosikal bagi mengurangkan kejadian jenayah.

Beliau berkata dari Januari hingga Mac tahun ini polis menerima 309 laporan kecurian dan telah dapat menyelesaikan 38 kes.

“Saya ingin menasihatkan pemilik motosikal supaya menggunakan kunci tambahan bagi menyukarkan dan mencegah kecurian,” katanya dan menambah semua remaja yangdiberkas disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencurikenderaan bermotor.-BERNAMA

Polis cari pelajar samseng belasah rakan sekolah – Utusan


Polis cari pelajar samseng belasah rakan sekolah

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

GAMBAR diambil daripada klip video di Internet yang merakamkan beberapa pelajar sedang membelasah seorang pelajar lain, yang dipercayai berlaku di dalam sebuah kelas. – UTUSAN

KUALA LUMPUR 10 April – Polis sedang mengesan pelajar-pelajar sekolah menengah yang berseronok membelasah seorang pelajar lain dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Pulau Pinang.

Kejadian tidak berperikemanusiaan itu dirakamkan oleh salah seorang pelajar samseng itu dan video itu tersebar di Internet.

Polis Diraja Malaysia, menerusi laman Facebook rasminya, hari ini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu-individu yang terlibat di dalam klip video tersebut supaya melaporkannya di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Pihak sekolah, mangsa atau keluarga yang terlibat juga diseru tampil untuk membuat laporan di balai polis terdekat,” menurut kenyataan polis dalam laman Facebook itu.

Video berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan seorang remaja yang masih memakai pakaian sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain, dipercayai rakan sekolahnya di dalam sebuah kelas.

Mangsa itu dilihat tidak melawan apabila seorang remaja yang memakai baju T berwarna kelabu menyerangnya bertubi-tubi – menumbuk, menendang dan menyiku mangsa ala Tomoi.

Kejadian itu turut disertai oleh dua lagi remaja lain yang turut sama membelasah mangsa. Salah seorang daripada mereka berbadan gempal.

Mangsa turut dipukul menggunakan objek keras dan pesta pembantaian itu hanya berhenti apabila seorang daripada anggota kumpulan itu meminta agar perbuatan itu dihentikan.

Dipercayai pembantaian itu disaksikan oleh lebih daripada lima orang dan kebanyakan mereka hanya tertawa melihat mangsa dijadikan punching bag bagi kumpulan samseng itu. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130410/je_01/Polis-cari-pelajar-samseng-belasah-rakan-sekolah#ixzz2Q3hRhGHC
© Utusan Melayu (M) Bhd

100 hari Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia membanggakan – TPM – Utusan


100 hari Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia membanggakan – TPM

KUALA LUMPUR 10 APRIL – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelaksanaan 100 hari Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) membuahkan hasil yang dapat dibanggakan dalam menjayakan Pelan Transformasi Pendidikan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, semua pihak jangan lalai dan leka dengan kejayaan itu kerana perjalanan transformasi ini masih panjang dan mencabar.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi enam inisiatif awal daripada 100 inisiatif yang menjadi keutamaan PPPM untuk dilaksanakan pada tahun ini.

Enam inisiatif itu ialah:

1- Pelancaran 1Agenda KPM

2- Penubuhan Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan (PADU) dan PADU Corporation.

3- Pelancaran dan pengagihan sarana ibu bapa

4- Pengujian guru bahasa Inggeris melalui Cambridge Placement Test.

5- Pelaksanaan program rintis program transformasi daerah

6- Penyediaan video e-guru

– UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130410/dn_17/100-hari-Pelan-Pembangunan-Pendidikan-Malaysia-membanggakan—TPM#ixzz2Q3gnyAh1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pekerja kedai 24 jam dilarikan, dirogol 5 lelaki – Sinar Harian


Pekerja kedai 24 jam dilarikan, dirogol 5 lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2013
Pekerja kedai 24 jam dilarikan, dirogol 5 lelaki
Dikehendaki polis bagi membantu siasatan.

SHAH ALAM – Seorang pekerja kedai 24 jam mengalami detik hitam dilarikan dan dirogol bergilir-gilir oleh lima lelaki di sebuah hotel di Bandar Puteri Puchong, Puchong, baru-baru ini.

Mangsa, berusia 19 tahun, sebelum itu dalam perjalanan ke tempat kerja, kira-kira jam 7.45 pagi, 31 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, mangsa berjalan kaki kemudiannya didatangi dua lelaki.

“Mangsa ditarik ke dalam kereta dan terus dilarikan. Di dalam kereta itu ada tiga lagi lelaki. Dia dibawa ke sebuah hotel, dirogol bergilir-gilir dan ditinggalkan bersendirian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Mohd Adnan berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa, polis menahan tiga lelaki berusia 17, 18 dan 24 tahun di kawasan Puchong dalam operasi khas berakhir Jumaat lalu.

Menurutnya, dua lagi lelaki sedang dikesan iaitu, B Teiventhirraupillai, 26, dan seorang mekanik dikenali Ramu, berusia lingkungan 20-an.

Orang ramai yang tahu di mana dua lelaki itu berada diminta hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Haziratul Qiffiah Hasim di talian 017-7087501 bagi bantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki sedang dikesan bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan dua kumpulan yang menyebabkan kematian di SS3, Serdang Raya, Seri Kembangan, pada 23 November 2011.

Mohd Adnan berkata, dalam kejadian tersebut tiga lelaki ditikam di mana salah seorangnya maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

Katanya, polis menahan enam lelaki berusia 31 hingga 64 tahun selepas kejadian itu.

Mohd Adnan berkata, lelaki yang dikesan dikenali Lim Mun Vei atau Tai Seow, 38, yang beralamat terakhir di No D30A Jalan Kuyow, Sri Kembangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat ketiga-tiga lelaki terbabit diminta menghubungi talian 019-3388288 bagi membantu siasatan.

Pukul pelajar: 3 pelajar SM Seberang Jaya dibuang sekolah – Bernama


Pukul pelajar: 3 pelajar SM Seberang Jaya dibuang sekolah

10 April 2013

BUTTERWORTH – Tiga pelajar Sekolah Menengah Seberang Jaya di sini dikenakan tindakan buang sekolah setelah didapati bersalah memukul seorang pelajar lain di sekolah berkenaan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata tiga pelajar terbabit dikatakan berang dengan tindakan mangsa, yang juga ketua tingkatan, yang mahu membuat laporan kepada guru kerana mereka membawa telefon bimbit ke sekolah.

Katanya dalam kejadian pada 4 Mac lepas, tiga pelajar terbabit bertindak merancang bersama beberapa pelajar lain dan membelasah mangsa di sekolah.

Kejadian itu dirakam dan tersebar luas dalam laman Youtube sejak beberapa hari lepas dan mendapat komen negatif daripada orang ramai.

“Susulan kejadian itu pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah menjalankan siasatan serta membuat keputusan membuang tiga pelajar terbabit sejak 8 Mac lepas kerana melanggar peraturan sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pelajar berkenaan masih diberi peluang merayu untuk meneruskan semula persekolahan dan mereka perlu melalui beberapa prosedur termasuk membuat aku janji sebelum diterima meneruskan semula persekolahan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian terbabit.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa pihaknya sudah membuka kertas siasatan berkaitan kejadian itu menurut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh. – Bernama

KATA ALU-ALUAN TAN SRI KPPM UNTUK MAJALAH SEKOLAH SESI 2013


KATA ALU-ALUAN TAN SRI KPPM UNTUK MAJALAH SEKOLAH SESI 2013

10 April 2013

As-Salam dan Salam Sejahtera,

 

Berikut dilampirkan Kata Alu-Aluan Tan Sri KPPM untuk Majalah Sekolah Sesi 2013

 

Muat Turun
Kata Alu-Aluan Bagi Sekolah Kebangsaan (SK)
Kata Alu-Aluan Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil/Cina (SJKT/C)
Kata Alu-Aluan Bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Kata Alu-Aluan Bagi Sekolah Menengah Teknik & Vokasional (SMKTV)