IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH DI PROGRAM INSTITUSI BARU (PIB) SMPKV MERBOK, SUNGAI PETANI KEDAH


IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH DI PROGRAM INSTITUSI BARU (PIB) SMPKV MERBOK, SUNGAI PETANI KEDAH

12 April 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia membuka permohonan bagi mengisi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Di Program Institusi Baru (PIB) SMPKV Merbok, Sungai Petani Kedah, Darul Aman yang akan beroperasi pada Jun 2014, Maklumat lanjut sila rujuk lampiran di bawah :-

 

  • Tarikh tutup permohonan ialah pada 17 MEI 2013

SEMAKAN TAWARAN KEMASUKAN MURID KE TINGKATAN ENAM SESI 2013/2014


SEMAKAN TAWARAN KEMASUKAN MURID KE TINGKATAN ENAM SESI 2013/2014

12 April 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Tawaran Kemasukan Murid ke Tingkatan Enam sesi 2013/2014 akan dibuka bermula 24 April 2013 (Rabu). Semakan boleh dibuat melalui Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Anak dakwa dicabul bapa – Sinar Harian


Anak dakwa dicabul bapa

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2013

BESUT – Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dicabul bapa kandungnya ketika tidur di ruang tamu rumahnya di sebuah taman perumahan di sini, pada 3 April lalu.

Difahamkan dalam kejadian jam 2 pagi, mangsa berumur 15 tahun sedang tidur di ruang tamu rumah dan terjaga dari tidur apabila mendapati bapanya sedang memegang payu daranya.

Mangsa yang terkejut terus memarahi bapanya menyebabkan suspek tidak meneruskan perbuatannya dan beredar dari situ.

Namun difahamkan, keinginan suspek tidak terhenti pada pagi itu sebaliknya dia mengulangi perbuatan sama sebanyak dua kali pada keesokan harinya.

Suspek dikatakan melakukan perbuatan kedua ketika mangsa ingin ke sekolah pada jam kira-kira 6.30 pagi dan kali ketiga apabila anaknya pulang dari sekolah kira-kira jam 3.30 petang hari yang sama.

Mangsa yang takut dengan perbuatan bapanya dikatakan berbincang dengan guru sekolah sebelum membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja tidak lama selepas itu.

Menyedari mangsa membuat polis dan bimbang ditangkap, suspek menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, suspek ditahan pada jam 2 petang, Selalu lalu untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Bapa rayu salur maklumat kehilangan anak lelaki – Bernama


Bapa rayu salur maklumat kehilangan anak lelaki

12 April 2013

KUALA LUMPUR – Seorang bapa merayu orang ramai supaya menyalurkan maklumat berhubung anak lelakinya, Muhammad Yunus Yazaljala, 9, yang gagal dikesan sejak Rabu lepas.

Yazaljala Muhamad Noor, 53, berkata anaknya yang keluar bermain bersama adik lelakinya, Muhammad Yaakub, 5, berhampiran kawasan perumahannya di Bandar Tasik Puteri Rawang, menghilangkan diri sejak pukul 5.30 petang, dua hari lepas.

“Pada hari kejadian, adiknya pulang ke rumah seorang diri dan memberitahu isteri saya bahawa Yunus menaiki sebuah kereta.

Yazaljala berkata dakwaan anak bongsunya dikukuhkan lagi apabila keesokannya kakaknya yang pulang dari sekolah berkata rakan Yunus ternampak dia menaiki sebuah kereta yang dipandu orang tidak dikenali di kawasan perumahan itu.

“Yunus anak keempat daripada lima beradik itu mempunyai ramai kawan, dan mula-mula kami sangka dia akan pulang ke rumah, namun tidak balik dan tidak menghubungi kami sampai sekarang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, Yunus berpakaian kemeja T berwarna hitam dan seluar jeans berwarna biru pada hari tersebut.

Berikutan itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tasik Puteri Rawang, pada kira-kira 3.30 petang Khamis mengenai kehilangan anaknya itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berjumpa Yunus boleh menghubungi talian 019-6053591 atau menghubungi balai polis berhampiran. – Bernama

Seri Pacific raikan kanak-kanak istimewa – Kosmo


Seri Pacific raikan kanak-kanak istimewa

PELAJAR istimewa dari SK Kampung Nyior di Dungun, Terengganu gembira dan terhibur dengan majlis makan malam yang dianjurkan oleh Hotel Seri Pacific.

 

HOTEL Seri Pacific Kuala Lumpur baru-baru ini menyambut kehadiran 18 kanak-kanak istimewa dari sekolah kebajikan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Nyior, Paka, Dungun, Terengganu.

Merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat hotel, pihak pengurusan yang terlibat mahu menyediakan satu pengalaman makan malam di hotel lima bintang kepada kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa dan guru-guru.

Selain dihidangkan makanan seperti ayam madu panggang, daging gulai kawah, ikan merah asam manis dan sup ayam berempah, kanak-kanak yang berusia antara lima hingga 16 tahun itu juga diraikan dengan persembahan tarian, silap mata dan hiburan.

Kanak-kanak tersebut yang dalam satu lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur kelihatan teruja dan seronok dengan sesi makan malam yang disediakan oleh pihak Hotel Seri Pacific.

“Kami sangat berpuas hati dan gembira apabila dapat memberi layanan istimewa kepada mereka,” kata Pengarah Pemasaran dan Jualan, Zakariya Muda.

Bagi wakil guru, Faridah Zainal, 34 pula, keistimewaan dan peluang yang diberikan kepada kanak-kanak tersebut dilihat sebagai satu pendedahan sihat di samping memberikan pelbagai pengalaman yang sangat bermakna.

“Saya suka KLCC dan mahu datang lagi pada masa hadapan,” kata seorang kanak-kanak, Lee Jia Wen, 16.

Suraya Omar, 35, ibu kepada Sufaizal Fauzi, 10, berharap agar keseronokan seperti itu diteruskan lagi pada masa hadapan khususnya kepada kanak-kanak istimewa seperti anaknya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm#ixzz2QFH6ElXd
Hakcipta terpelihara

SJKC, SJKT tidak dipinggir – Metro


SJKC, SJKT tidak dipinggir

 0  0 Google +0  0  0

Pagoh: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu ada pihak yang salah faham dan mengatakan kerajaan menganaktirikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) kerana sudah banyak usaha dilakukan bagi memastikan mutu pembelajarannya sama dengan sekolah kebangsaan lain.

Beliau berkata, SKJC dan SKJT dimasukkan ke dalam arus perdana pendidikan utama negara dan akan menerima peruntukan tetap setiap tahun untuk memastikan standard pembelajarannya sama dengan sekolah bantuan penuh kerajaan.
Beliau berkata, menerusi manifesto diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, bidang pendidikan antara sektor mendapat tumpuan khas daripada kerajaan.

 

“Kerajaan menggariskan banyak perkara untuk menambah baik bidang pendidikan di negara ini antaranya memperkasakan lagi penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kepada pelajar di sekolah.
“Malah, kita akan merangka mata pelajaran Bahasa Melayu yang lebih sesuai bagi disesuaikan dengan pembelajaran pelajar di SKJC dan SJKT,” katanya media selepas merasmikan bangunan baru SJKT Ladang Lanadron, di sini, semalam.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

RM1,000, iPad untuk 13 pelajar Orang Asli cemerlang – Metro


RM1,000, iPad untuk 13 pelajar Orang Asli cemerlang

 0  0 Google +0  0  0

Pekan: Kerajaan melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad memberi cenderahati wang tunai RM1,000 dan sebuah iPad kepada semua 13 pelajar Orang Asli di Pahang yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.

Sumbangan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Orang Asli dan Pelancaran Bekalan Elektrik Luar Bandar Kampung Orang Asli Gumum di sini, semalam. Najib dalam ucapannya berkata, antara sebab kehadiran beliau ke Kampung Gumum adalah kerana mahu bertemu sendiri seorang daripada anak Orang Asli di kampung berkenaan yang mendapat keputusan 8A dalam SPM iaitu, Juliana Zaszira Ismail, 18.
“Kejayaan Juliana boleh dijadikan contoh dan diketengahkan atau ikon masyarakat Orang Asli seluruh negara.

 

“Ini juga bukti melalui peluang disediakan kerajaan, anak Orang Asli boleh berjaya seperti kaum lain,” katanya yang sempat meluangkan masa 15 minit beramah mesra dengan Juliana dan keluarganya di rumah mereka.
Sementara itu, Juliana ketika ditemui berkata dia tidak menyangka keputusan cemerlang diperoleh dalam SPM membuatkan Perdana Menteri sanggup datang ke rumahnya untuk bertemu dengan mereka sekeluarga.
“Saya rasa gembira kerana selama ini hanya dapat melihat beliau dari jauh atau di televisyen saja, tapi hari ini (semalam) kami dapat bertemu muka.

 

“Dengan penghormatan diberikan Perdana Menteri ini, saya harap dapat menguatkan lagi semangat untuk terus cemerlang dalam pelajaran, sekali gus memajukan diri dan keluarga serta masyarakat Orang Asli,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Juliana berkata dia mahu menjadi peguam atau pendidik dan sudah membuat permohonan melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 

Bagi bapanya, Ismail Muhammad, 50, kejayaan anak kelima daripada tujuh beradik itu diharap dapat diteruskan kerana Juliana kini menjadi antara ikon masyarakat Orang Asli di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12