Pelajar kecewa dituduh terbabit kes buli – Bernama


Pelajar kecewa dituduh terbabit kes buli

2013/04/13 – 17:13:40 PMCetakEmel Kawan
BUTTERWORTH: Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah Sekolah Menengah di sini kecewa kerana dituduh membuli seorang pelajar lain, bulan lalu.

Luqman Al Hakim Ahmad, 15, menafikan bahawa dia terbabit dengan kes itu dan suadh membuat laporan polis sebaik mengetahui gambarnya dimuat naik di laman sosial dan dianggap sebagai suspek utama kejadian itu.

Dia turut merasa trauma untuk keluar rumah, katanya.

“Saya pelik apabila ibu bertanya sama ada saya terbabit dengan kejadian buli di sekolah. Ibu beritahu sepupu saya ada datang ke rumah dan maklumkan bahawa gambar saya dimuat naik di blog kerana membuli seorang pelajar.

“Saya terus periksa telefon bimbit saya dan terkejut melihat banyak nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin telefon saya. Kemudian saya semak akaun Facebook, Twitter dan Instagram saya yang semuanya penuh dengan komen dari orang yang saya tak kenal.

“Mereka tuduh saya macam-macam, saya jadi takut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anak bongsu dari lima beradik itu kemudiannya bertindak menutup sementara akaun lama sosialnya kerana tertekan dengan tohmahan orang ramai yang tidak tahu keadaan sebenar.
“Saya juga tidak boleh tidur lena, susah untuk beri tumpuan ketika belajar dan takut untuk keluar rumah kerana bimbang dicederakan,” katanya.

Baru-baru ini tersiar sebuah klip video di Facebook dan Youtube yang memperlihatkan seorang pelajar lelaki dibelasah bertubi-tubi oleh seorang pelajar yang kemudiannya turut disertai dua pelajar lain.

Jabatan Pelajaran Negeri berkata ketiga-tiga pelajar terbabit sudah dikenakan tindakan dibuang sekolah sementara mangsa dilapor tidak mengalami kecederaan serius.

Luqman Al Hakim yang mengenali ketiga-tiga pelajar terbabit berkata ketika kejadian dia berada di dalam kelas yang berlainan dan hanya mengetahui insiden itu seminggu selepas kejadian.

“Saya hairan kenapa saya dikaitkan dalam kejadian itu, mungkin mereka ingat saya yang terbabit sebab wajah saya mirip salah seorang daripada pelajar berkenaan, kemudian gambar saya disebar di Internet,” katanya. – BERNAMA

Potensi penjawat awam terus dipertingkat untuk kemajuan negara: Najib – Bernama


Potensi penjawat awam terus dipertingkat untuk kemajuan negara: Najib

2013/04/13 – 20:37:17 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini berjanji untuk terus meningkatkan potensi, kemampuan dan kapasiti semua penjawat awam bagi memastikan kemajuan negara.

Perdana Menteri menerusi entri terbaru di Facebook berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengiktiraf dan menghargai peranan perkhidmatan awam sebagai peneraju perubahan Malaysia.

Komitmen untuk terus memartabatkan penjawat awam di negara ini dimuatkan dalam aku janji BN yang dilancar oleh Najib 6 April lalu.

Menurut Manifesto BN bertemakan ‘Menepati Janji Membawa Harapan’ itu, BN akan memperkenalkan Skim Gaji Transformatif untuk penjawat awam.

Ini termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji dilakukan.

Sementara itu, Najib menerusi Twitternya berkata, masa depan pegawai dan penjawat awam yang berkhidmat secara kontrak juga dijamin kerajaan.

BN dalam manifestonya berjanji akan melanjutkan tempoh kontrak pegawai dan menyerap kakitangan yang cekap ke dalam perkhidmatan tetap. – BERNAMA

TPM umum bantuan RM31 juta untuk sekolah mubaligh di Sarawak – Berita Harian


TPM umum bantuan RM31 juta untuk sekolah mubaligh di Sarawak

2013/04/13 – 17:35:25 PMCetakEmel Kawan
KUCHING: Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi mengumumkan bantuan RM31 juta untuk sekolah mubaligh di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, berkata wang berkenaan adalah bagi kegunaan pengurusan dan mempertingkatkan kemudahan sekolah, termasuk yang berada di luar bandar.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bersama Guru dan Lembaga Pengelola Mubaligh seluruh Sarawak di Sekolah Kebangsaan Garland, di sini petang ini.

Sejumlah 128 sekolah mubaligh menerima bantuan yang disampaikan kepada setiap wakil bahagian.

Kerajaan susun semula pendidikan vokasional menjelang 2020: Muhyiddin – Berita Harian


Kerajaan susun semula pendidikan vokasional menjelang 2020: Muhyiddin

2013/04/13 – 12:48:54 PMCetakEmel Kawan
KLANG: Usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) menyusun semula pendidikan vokasional negara diharap dapat mengangkat martabat pendidikan vokasional negara ke arah negara maju, menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa ini pendidikan vokasional di negara ini masih lagi di tahap yang rendah berbanding dengan negara maju serta negara jiran, Indonesia dan Thailand.

Katanya, kadar purata pendaftaran pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas hanya 10 peratus di Malaysia berbanding dengan 44 peratus bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Muhyiddin mahu lebih banyak tempat disediakan di Kolej Vokasional – Bernama


Muhyiddin mahu lebih banyak tempat disediakan di Kolej Vokasional

2013/04/13 – 13:17:32 PMCetakEmel Kawan
KLANG: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mahu langkah segera diambil bagi menyediakan lebih banyak tempat untuk menampung permintaan kemasukan pelajar ke Kolej Vokasional yang kian meningkat.

“Ia berikutan, 117,000 permohonan memasuki kolej berkenaan diterima bagi sesi pengambilan tahun ini tetapi kapasiti yang mampu ditampung hanya lebih 21,000 orang sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kolej Vokasional 1Malaysia 2013 di sini.

Selain membina lebih banyak lagi kolej vokasional bagi menampung permintaan kemasukan pelajar, beliau berkata kerjasama dengan kolej swasta juga mungkin boleh dilaksanakan bagi tujuan itu.

Muhyiddin berkata, permintaan yang sangat menggalakkan ini adalah hasil usaha Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional kementerian dan Kolej Vokasional (KV) yang banyak melakukan promosi melalui media arus perdana, program jelajah KV, taklimat penataran transformasi pendidikan vokasional, program konsolidasi serta Persidangan Kebangsaan Pendidikan Vokasional.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajian di Kolej Vokasional kini adalah berbentuk sistem semester selama empat tahun pengajian yang membolehkan graduan KV dianugerahkan Diploma Vokasional Malaysia. – BERNAMA

Samun sebelum pergi sekolah – Sinar Harian


Samun sebelum pergi sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 April 2013
Samun sebelum pergi sekolah
Salehhudin (tengah) menunjukkan besi digunakan ahli Geng Miswan untuk menyamun mangsa.

BANDA HILIR – Dua pelajar sekolah menengah berusia 13 dan 14 tahun antara yang ditahan setelah dipercayai melakukan kegiatan samun sebelum pergi ke sekolah seawal jam 3 pagi di sekitar daerah ini.

Pelajar lelaki dan perempuan itu yang menyasarkan penghantar surat khabar ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di dua lokasi berasingan, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kedua-dua mereka antara 11 ahli kumpulan yang ditangkap dalam dua serbuan berasingan di Taman Alai Perdana dan Taman Melaka Raya antara jam 4 petang dan 7 malam.

Menurutnya, kumpulan yang didalangi lelaki berusia 18 tahun dikenali sebagai Miswan itu turut menyasarkan warga emas yang sedang bersenam dan melakukan jenayah dalam tempoh tiga jam.

“Seramai 11 ahli Geng Miswan berusia antara 13 hingga 21 tahun berjaya ditangkap pasukan khas yang ditubuhkan ekoran 16 laporan kejadian samun membabitkan warga emas dan penghantar surat khabar (vendor) diterima.

“Suspek terdiri daripada tujuh lelaki berusia 13 hingga 21 tahun dan empat perempuan berusia antara 14 hingga 17 tahun dicekup di sebuah rumah sewa di Alai serta seorang lelaki di Melaka Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah yang turut dihadiri Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho dan Pegawai Risikan/Operasi, Asisten Superintendan Koh Teck Chew.

Salehhudin berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas tiga motosikal jenis Honda EX5 termasuk dua motosikal yang dilaporkan hilang di Plaza Mahkota dan Telok Mas.

“Dua topi keledar, tujuh telefon bimbit pelbagai jenis dan sebatang besi dipercayai digunakan sebagai senjata ketika melakukan samun turut dirampas dalam serbuan itu.

“Ujian saringan urin yang dilakukan mendapati enam suspek berusia 19 hingga 21 tahun positif dadah jenis methamphetamine malah hasil semakan seorang suspek yang berusia 19 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, Geng Miswan dipercayai bergiat aktif dalam jenayah samun sejak awal tahun ini melakukan jenayah seawal jam tiga pagi sebelum matahari terbit di sekitar Banda Hilir, Tengkera, Melaka Tengah dan Malim.

“Penjenayah yang bersenjatakan batang besi ini bertindak agresif dengan menendang motosikal hingga mangsa terjatuh,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman empat hari sejak 10 April lalu bagi membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 395/379 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata dan Seksyen 379A kanun sama atas kesalahan mencuri motosikal.

Ibu kesal sikap doktor – Sinar Harian


Ibu kesal sikap doktor

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 April 2013
Ibu kesal sikap doktor
Tindakan doktor bertugas yang tidak mengendahkan aduan pesakit menyebabkan bahagian betis remaja itu melecur teruk. Gambar kecil: Kesan melecur.

MARAN -Lain yang ingin dirawat, sakit lain pula yang dapat. Demikian nasib seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang menderita sakit kulit akibat melecur selepas mendapatkan rawatan patah kaki di sebuah hospital berdekatan.

Ibu kepada remaja berkenaan, Norhayati Manaf, 48, berkata, kaki anaknya itu patah akibat terlibat dalam kemalangan ketika keluar membeli roti canai bersama seorang jiran sebelum dirempuh sebuah kereta di depan gerai makanan terbabit, dekat bandar ini, kira-kira jam 11 malam pada 28 Mac lalu.

Menurutnya, pada jam 4 pagi, kaki anaknya disimen sementara bagi membolehkan pembedahan kecil dilakukan berikutan dua tulang kaki sebelah kiri didapati patah.

“Selepas beberapa minit, anak saya mengadu kakinya sangat panas dan kemudian meraung sebab tak tahan sakit.

“Saya beritahu doktor tapi dia cakap, itu perkara biasa. Katanya, memang akan rasa panas kalau kena simen. Jadi, apa yang boleh saya buat hanya tenangkan anak saya yang meraung sakit hingga keesokan hari,” katanya.

Norhayati berkata, bahagian betis kaki anaknya itu disedari melecur ketika jururawat bertugas membuka balutan simen bagi membolehkan kaki yang patah itu digantung semasa berbaring.

Menurutnya, dia tidak menyangka kesakitan akibat panas yang dirasai anaknya itu bukan perkara biasa sehingga bahagian tersebut melecur seakan kulit terbakar.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku dan doktor bertugas sepatutnya lebih peka dengan aduan pesakit. Jangan anggap semua perkara biasa kerana dua kali saya beritahu doktor bahawa kaki anak saya panas tetapi tak diendahkan.

“Saya harap perkara ini tak berulang kepada pesakit lain. Sekarang anak saya terpaksa tanggung sakit untuk sembuhkan kesan melecur yang bernanah dan berair,” katanya

Pelajar koma dirempuh motosikal – Sinar Harian


Pelajar koma dirempuh motosikal

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 April 2013
Pelajar koma dirempuh motosikal
Keadaan Mohd Khirul Fazil yang masih koma selepas kemalangan itu.

ALOR GAJAH – Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah, parah selepas dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian langgar lari di Jalan kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa, Mohd Khirul Fazil Jasferi, 13, sedang melintas jalan dirempuh motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang seorang lelaki awal 20-an.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa teragak-agak melintas jalan dan berhenti di garisan tengah selepas melihat sebuah motosikal ditunggang laju dari arah Brisu ke Masjid Tanah.

“Ketika itu, mangsa bersama sepupunya, Mohd Habrie Abu Bakar, 15, namun sudah berada di seberang jalan dan mangsa cuba melintas kerana bimbang tertinggal bas sekolah.

“Setibanya di garisan tengah, sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan merempuh mangsa menyebabkannya tercampak beberapa meter dari lokasi kejadian.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu bertindak menghubungi ibu mangsa sebelum membawanya ke klinik berdekatan,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

11 anggota Geng Miswan aktif samun vendor akhbar dicekup


11 anggota Geng Miswan aktif samun vendor akhbar dicekup

Oleh FADZLY IZAB

MELAKA 12 April – Polis menumpaskan kumpulan perompak dikenali sebagai Geng Miswan yang menjadikan vendor surat khabar sebagai mangsa samun setelah memberkas 11 anggota penjenayah itu termasuk dua pelajar di Taman Alai Perdana dan Taman Melaka Raya di sini, Selasa lalu.

Kesemua suspek berusia 13 hingga 21 tahun termasuk dua pelajar sekolah menengah itu ditahan kira-kira pada pukul 4 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas untuk menumpaskan kumpulan penjenayah itu berikutan peningkatan kes samun melibatkan vendor di daerah itu sejak awal tahun.

Beliau berkata, polis menerima 16 laporan kes samun sejak Januari lalu dengan modus operandi penjenayah ialah menyamun seawal 3 pagi di sekitar Banda Hilir, Tengkera, Melaka Tengah dan Malim. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130412/je_14/11-anggota-Geng-Miswan-aktif-samun-vendor-akhbar-dicekup#ixzz2QJUjzf32
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bapa rayu salur maklumat anak lelaki gagal dikesan – Bernama


Bapa rayu salur maklumat anak lelaki gagal dikesan

KUALA LUMPUR 12 April – Seorang bapa merayu orang ramai supaya menyalurkan maklumat berhubung anak lelakinya, Muhammad Yunus Yazaljala, 9, yang gagal dikesan sejak Rabu lepas.

Yazaljala Muhamad Noor, 53, berkata, anaknya yang keluar bermain bersama adik lelakinya, Muhammad Yaakub, 5, berhampiran kawasan perumahan di Bandar Tasik Puteri Rawang, menghilangkan diri sejak pukul 5.30 petang, dua hari lepas.

“Pada hari kejadian, adiknya pulang ke rumah seorang diri dan memberitahu isteri saya bahawa Yunus menaiki sebuah kereta,” katanya.

Yazaljala berkata, dakwaan anak bongsunya dikukuhkan lagi apabila keesokannya, kakaknya yang pulang dari sekolah memberitahu rakan Yunus ternampak dia menaiki sebuah kereta yang dipandu orang tidak dikenali di kawasan perumahan itu.

“Yunus anak keempat daripada lima beradik itu mempunyai ramai kawan. Mula-mula kami sangka dia akan pulang ke rumah, namun tidak balik dan tidak menghubungi kami sampai sekarang,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, Yunus berpakaian kemeja T berwarna hitam dan seluar jeans berwarna biru pada hari tersebut.

Yazaljala telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tasik Puteri Rawang, pada kira-kira 3.30 petang Khamis mengenai kehilangan anaknya itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berjumpa Yunus boleh menghubungi talian 019-6053591 atau menghubungi balai polis berhampiran. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130413/je_12/Bapa-rayu-salur-maklumat-anak-lelaki-gagal-dikesan#ixzz2QJTbZvPe
© Utusan Melayu (M) Bhd