Perbicaraan Nayati: Guru cerita cubaan untuk halang kereta penculik – Bernama


Perbicaraan Nayati: Guru cerita cubaan untuk halang kereta penculik

15 April 2013

KUALA LUMPUR – Seorang guru menceritakan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagaimana beliau mendengar jeritan dari mangsa culik Nayati Shamelin Moodliar, seorang kanak-kanak warga Belanda berusia 12 tahun, berdekatan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara di sini.

Jonathan Robert Daley, 38, seorang guru pendidikan jasmani di sekolah berkenaan, memberitahu bagaimana beliau cuba mengejar kereta penculik selepas melihat seorang lelaki tidak dikenali memasukkan mangsa ke dalam kereta.

“Saya mengejar kereta itu sebelum kereta itu bertukar arah ke arah saya. Saya berada di sebelah jalan apabila kereta itu menuju ke arah saya.

“Pada ketika itu, saya berada di tengah jalan dan terpaksa mengelak kerana kereta itu dipandu laju dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hendak berhenti,” katanya di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Daley, yang merupakan saksi pertama pendakwaan, berkata beliau hanya sempat menendang pintu sebelah kereta pemandu.

Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran apa yang menyebabkan beliau bertindak sedemikian, Daley berkata beliau menendang pintu kereta kerana mengetahui ada seorang kanak-kanak di dalam kereta tersebut.

Beliau berkata demikan pada perbicaraan kes tiga lelaki yang didakwa menculik Nayati di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, Brickfields di sini, kira-kira pukul 7.30 pagi, 27 April, 2012.

Tiga tertuduh tersebut Chong Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri dan dua rakannya, Foong Khar Fai, 20, seorang jurujual telefon bimbit, Lee Phak Seng, 34, seorang penggangur dan seorang lagi yang masih bebas didakwa mengikuti Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika disabit kesalahan.

Nayati dibebaskan penculiknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS, pada 7.55 pagi, 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan sekolah mangsa.

Menjawab soalan lain, Daley berkata beliau hanya mengenali identiti kanak-kanak itu selepas beliau dan beberapa guru lain melihat beberapa buku latihan mangsa yang bertaburan di atas jalan.

Guru itu berkata beliau tidak dapat mengenalpasti pemandu kereta itu kerana kejadian itu berlaku dengan pantas.

Chong diwakili peguam Rejinder Singh manakala Foong dan Lee masing-masing diwakili oleh Datuk Hanif Hashim dan K.T. Wong.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama

Kesal guru diwajib hadir – Sinar Harian


Kesal guru diwajib hadir

HAMIZAH BASIR
15 April 2013
Kesal guru diwajib hadir
Kok Seong menunjukkan surat daripada Jabatan Pelajaran yang mengarahkan guru-guru SJKC di negeri ini hadir perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri di Johor Bahru, Selasa ini.

SEREMBAN – Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong kesal berikutan hampir 400 guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini diwajibkan menghadiri perjumpaan khas dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di Johor Bahru pada Selasa ini.

Menurutnya, beliau menerima aduan daripada beberapa guru yang memaklumkan mereka ‘diwajibkan’ hadir pada perjumpaan khas itu di SJKC Foon Yew 1, Johor Bahru.

“Selepas parlimen bubar, kerajaan sekarang adalah kerajaan sementara sahaja tetapi mengapa Muhyiddin sanggup mewajibkan guru-guru turun Johor Bahru yang amat jauh untuk bertemunya.

“Cuba bayangkan bukan guru-guru di Negeri Sembilan sahaja diwajibkan hadir, saya menjangkakan seramai 4,000 guru di seluruh negara dijemput hadir perjumpaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau khuatir perjumpaan tersebut akan menjejaskan pembelajaran murid-murid berikutan waktu persekolahan.

“Hari tersebut merupakan hari bekerja dan ia akan menjejaskan pelajaran murid-murid sekolah apabila guru diminta menghadiri perjumpaan tersebut.

“Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya menggunakan Jabatan Pelajaran untuk memaksa guru-guru hadir perjumpaan tersebut yang sebenarnya hanyalah ceramah BN sahaja.

“Jabatan Pelajaran telah dijadikan alat untuk BN berkempen. Saya amat tidak bersetuju dengan tindakan BN memperalatkan Jabatan Pelajaran,” katanya.

Kok Seong berkata, pihaknya berharap Timbalan Perdana Menteri dapat memberi penjelasan secara terbuka tujuan apa perjumpaan itu dilakukan.

“Saya melihat perjumpaan ini adalah untuk BN berkempen menarik undi golongan guru-guru pada Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13),” katanya.

Pelajar tingkatan 3 maut motosikal rempuh kereta – Bernama


Pelajar tingkatan 3 maut motosikal rempuh kereta

15 April 2013

KUANTAN – Seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta di Batu 11, Jalan Kuantan-Maran dalam kemalangan kira-kira 4.20 pagi, semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata Muhammad Amri Abu Samah, 15, dari Felda Lepar Hilir 1, di sini mati di tempat kejadian akibat cedera parah di dada.

Pelajar itu yang dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Maran telah merempuh belakang sebuah kereta di hadapannya, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal maut dalam kejadian langgar lari di persimpangan lampu isyarat di Km5, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling, Jerantut.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi, Wai Thin Soong, 55, dari Sungai Jan Jerantut, mati di tempat kejadian, katanya. – Bernama

CUEPACS minta JPA beri cuti tanpa rekod untuk mengundi – Bernama


CUEPACS minta JPA beri cuti tanpa rekod untuk mengundi

Datuk Omar Osman

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta supaya menimbang memberi cuti tanpa rekod pada 5 dan 6 Mei ini kepada penjawat awam yang ingin balik ke kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, pemberian cuti itu penting untuk menggalakkan lebih ramai penjawat awam terutama yang bekerja di bandar pulang ke kampung atau kawasan mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

“Walaupun hari mengundi pada 5 Mei adalah Ahad tetapi ada beberapa negeri yang merupakan hari bekerja pada hari tersebut

“6 Mei jatuh pada hari Isnin. CUEPACS minta agar penjawat awam diberi cuti supaya mereka tidak terburu-buru untuk balik ke tempat kerja terutama bagi yang bekerja mengikut syif,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Kongres CUEPACS di sini semalam.

Menurut beliau, jika penjawat awam itu bekerja di Kuala Lumpur dan mengundi di Kelantan, mungkin ia akan menimbulkan kesusahan atau mungkin ada yang terpaksa ambil cuti sendiri.

Omar turut mencadangkan kepada JPA untuk membenarkan penjawat awam mengeluarkan 20 peratus daripada jumlah ganjaran perkhidmatan masing-masing pada usia 50 tahun.

Katanya, pengeluaran itu bagi membolehkan kira-kira 1.4 juta penjawat awam menampung perbelanjaan mereka atau menggunakan wang berkenaan untuk menyelesaikan sebarang pinjaman kewangan sebelum pencen. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_15.htm#ixzz2QW5fNHbu
Hakcipta terpelihara

LARANGAN MENGAMBIL BAHAGIAN DALAM AKTIVITI POLITIK KEPADA WARGA KPM


LARANGAN MENGAMBIL BAHAGIAN DALAM AKTIVITI POLITIK KEPADA WARGA KPM

15 April 2013

Sila rujuk:

  • Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1996: Permohonan Oleh Pegawai-Pegawai Awam Untuk Mengambil Bahagian Dalam Aktiviti Politik
  • Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9 Tahun 2010: Permohonan Mengambil Bahagian Dalam Aktivitt Politik Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 Hingga DG48 Yang Bertugas Di Institusi Pendidikan. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
  • Surat Pekeliling Perkhidmatan Kementerian Pelajaran Malaysia (SPK KPM) Bilangan 2 Tahun 2010: Garis Panduan Pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2010 (Permohonan Mengambil Bahagian dalam Aktiviti Politik Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 Hingga DG48 Yang Bertugas Di Institusi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia).

 

Muat Turun
Permohonan mengambil bahagian dlm politik
Permohonan penglibatan politik PPPS di KPM
SPK KPM Bil. 2 Tahun 2010-GP pelaksanaan permohonan penglibatan politik PPPS