Penjawat awam, cikgu dicekup – Sinar Harian


Penjawat awam, cikgu dicekup

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2013
Penjawat awam, cikgu dicekup
Rumah didiami wanita terbabit menjadi tempat mereka memadu kasih.

ALOR GAJAH – Seorang penjawat awam bersama pasangannya seorang tenaga pengajar dicekup berdua-duaan di sebuah rumah di pekan ini, dekat sini, pagi semalam.

Difahamkan, penjawat awam berusia 30 tahun yang bertugas di negeri sebelah utara dipercayai datang ke daerah ini untuk bertemu kekasih hatinya berusia 29 tahun yang mengajar di sebuah sekolah, dekat sini.

Difahamkan, pasangan terbabit dipercayai mengambil kesempatan memadu kasih di dalam rumah itu ketika rakan serumahnya keluar berhujung minggu.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani berkata, kira-kira 3.20 pagi, seramai 20 anggota Jaim, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) dan polis menyerbu rumah berkenaan selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, sebaik tiba di perkarangan, rumah didapati bergelap dan mereka terpaksa menunggu hampir 15 minit selain berkali-kali memberi salam tetapi tidak bersahut.

“Penguat kuasa Jaim kemudian bertindak memanjat pagar rumah berkenaan dan mengetuk pintu utama rumah itu.

“Pasangan wanita terbabit kemudiannya keluar berbaju tidur dan membuka pintu,” katanya.

Rahimin berkata, pemeriksaan menyeluruh di bahagian bawah rumah dua tingkat itu tidak menemui sesiapa sebelum anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan di tingkat atas.

“Di tingkat atas, anggota menemui seorang lelaki berpakaian lengkap sedang menyorok di bahagian siling rumah.

“Lelaki itu pada mulanya enggan memberi kerjasama ketika diminta keluar dari persembunyiannya untuk diperiksa dan mereka terpaksa menunggu 15 minit sehingga lelaki itu turun,” katanya.

Katanya, pasangan berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Alor Gajah untuk diambil keterangan sebelum dibawa ke pejabat Jaim untuk tindakan lanjut.

Dirogol kerana percaya teman lelaki – Sinar Harian


Dirogol kerana percaya teman lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2013
Ahmad Ma zlan
Ahmad Ma zlan

MARANG – Tindakan mengikut teman lelaki bermalam di sebuah rumah membawa padah apabila seorang gadis berusia 13 tahun, dipercayai ‘diratah’ sebelum tampil membuat laporan polis di sini, kelmarin.

Laporan dibuat kerana gadis itu bimbang dirinya hamil.

Terdahulu, Jumaat lalu, suspek yang berusia 18 tahun dan dikenali mangsa, difahamkan menghubungi mangsa kira-kira jam 6 petang untuk menjemputnya keluar bersiar-siar dengan menaiki motosikal ke Kuala Terengganu.

Selepas itu, suspek kemudiannya mengajak mangsa pulang semula ke daerah ini namun tidak menghantarnya pulang, sebaliknya dibawa ke rumah rakannya di sebuah kampung, di sini.

Tanpa sebarang keraguan dan percayakan suspek, mangsa menuruti permintaan itu namun rupa-rupanya ia membawa padah kerana ia hanyalah taktik suspek untuk bermadu kasih dengan gadis malang itu di rumah berkenaan pada waktu malam.

Mangsa dipercayai tidur di bilik berasingan sebelum suspek memasuki biliknya pada waktu malam dan dikatakan melakukan perbuatan terlarang sebelum mangsa dihantar oleh rakan suspek ke sebuah stesen minyak pada Sabtu petang.

Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Marang.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai rogol kerana mangsa masih di bawah umur dan bertindak atas laporan itu, polis segera mengesan suspek dan berjaya menahannya untuk membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

Dasar pendidikan negara akan terus dipertahan – Bernama


Dasar pendidikan negara akan terus dipertahan

23 April 2013
Dasar pendidikan negara akan terus dipertahan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani plak pada majlis perasmian Kolej Komuniti Seberang Jaya di Permatang Pauh. – Foto Bernama

BUTTERWORTH – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan berganjak daripada mempertahankan Dasar Pendidikan Negara selagi masyarakat perlu kepada kemudahan pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata komitmen berterusan kerajaan sejak dari dulu itu adalah semata-mata untuk memastikan setiap warga Malaysia tidak terlepas daripada memperoleh peluang untuk terdidik dengan ilmu pengetahuan yang berguna.

Menteri Pelajaran itu berkata dalam arus dunia yang makin mencabar, kerajaan sedar tidak ada yang lebih tinggi untuk seseorang itu dihormati selain ketinggian ilmu pengetahuan yang diperoleh.

“Maka, sejak dahulu lagi kita dapat lihat setiap perdana menteri memberi tumpuan khusus pada bidang pendidikan, tujuannya adalah untuk meningkatkan darjat rakyat dengan  membekalkan ilmu pengetahuan kepada mereka tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

“Komitmen kerajaan BN menyediakan segala keperluan supaya setiap warga menjadi anak-anak yang terdidik dengan ilmu pengetahuan perlu dihargai kerana kita sedar tuntutan kepada masyarakat berilmu adalah lebih hebat di masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Murni, Sungai Dua di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow.

Timbalan Perdana Menteri berkata sedar negara kini berada di ambang pembangunan luar biasa dan akan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi tujuh tahun lagi, kerajaan BN memperuntukkan RM36 bilion kepada sektor pendidkan sebagai usaha menyediakan modal insan yang cemerlang bagi memenuhi tuntutan sebuah negara maju.

Katanya lebih 10,000 sekolah juga telah dibina dengan keupayaan menampung 5.4 juta pelajar, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada 465,000 guru yang sedang berkhidmat di seluruh negara ketika ini.

“Jadi, dalam tempoh untuk sampai ke tahun 2020 dan bagi memastikan usaha serta agenda yang dirancang dan sedang dilaksanakan berjalan lancar kita perlu mempertahankan kerajaan sedia ada,” katanya dan disambut laungan kerajaan BN oleh tetamu yang memenuhi tiga khemah panjang yang disediakan.

Muhyiddin berkata dalam usaha memenuhi seluruh kehendak masyarakat, termasuk di Sabah dan Sarawak tentu ada sedikit kelemahan di pihak kerajaan tetapi ia telah ditampung dengan pelbagai manfaat yang diperoleh serta dinikmati rakyat kini.

Beliau berkata aspek pendidikan yang baik, keamanan terjaga dan keharmonian kaum yang terbela di bawah kerajaan BN tidak harus diganti dengan mencuba sesuatu yang baharu yang belum tentu sepertimana yang diinginkan.

“Bila semua sudah baik dan berjalan lancar, kenapa perlu ditukar, kita juga dapat lihat gelombang biru berada di mana-mana di Pulau Pinang dan arus itu dijangka terus meningkat dan yakin akan terus memuncak pada (hari pengundian) 5 Mei depan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan pembangunan dan infrastruktur SMK Desa Murni adalah amat  luar biasa yang perlu dilihat penduduk setempat sebagai sumbangan besar kerajaan pusat kepada mereka.

Dibina dengan kos RM18.2 juta pada pertengahan tahun 2007, SMK Desa Murni yang terletak kira-kira 10km dari bandar Kepala Batas merupakan antara bangunan sekolah yang tertinggi di negara ini.

Mula beroperasi pada Ogos 2010, sekolah itu mempunyai satu blok sembilan tingkat, satu blok tujuh tingkat dan satu blok tiga tingkat yang dilengkapi kemudahan lif. – Bernama

Gas beracun: 55 pelajar dikejarkan ke hospital – Bernama


Gas beracun: 55 pelajar dikejarkan ke hospital

 

ALOR SETAR 23 April – Seramai 55 orang pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Seri Pantai di Kuala Kedah dekat sini dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kerana disyaki terhidu gas beracun pagi tadi.

Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, mereka terdiri daripada 50 pelajar perempuan dan lima pelajar lelaki.

“Pelajar-pelajar yang dihantar ke hospital oleh ambulans dan ibu bapa sendiri masih ditahan di wad kerana pihak kami masih tidak mengetahui punca sebenar. Jadi kami akan pantau keadaan mereka dahulu sebelum boleh benarkan mereka pulang.

“Pelajar-pelajar ini menunjukkan simptom-simptom seperti sesak nafas dan muntah-muntah tetapi semuanya berada dalam keadaan yang stabil,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Nazri Zakaria berkata, bilik gerakan bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.38 pagi dan anggota bomba dari Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130423/dn_13/Gas-beracun-55-pelajar-dikejarkan-ke-hospital#ixzz2RI5rWuuB
© Utusan Melayu (M) Bhd

PENGUMUMAN KEPUTUSAN CALON BERJAYA KE PROGRAM MATRIKULASI KPM SESI 2013/2014


PENGUMUMAN KEPUTUSAN CALON BERJAYA KE PROGRAM MATRIKULASI KPM SESI 2013/2014

23 April 2013

 

 

Bahagian Matrikulasi KPM akan mengumumkan keputusan calon yang berjaya pada 25 April 2013.

 

Hanya pelajar SPM 2012 yang telah membuat permohonan sebelum tarikh tutup pada 10 Oktober 2012 boleh menyemak keputusan di laman sesawang seperti berikut:

http://www.moe.gov.my

 

Sehubungan itu bagi calon yang berjaya dan ditawarkan ke Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia sesi 2013/2014, calon dikehendaki mencetak sendiri perkara berikut untuk dibawa bersama semasa mendaftar di kolej :

  1. Surat tawaran
  2. Panduan pendaftaran
  3. Dokumen peribadi pelajar
  4. Borang perjanjian pelajar (dua salinan)

 

Tarikh pendaftaran:

  1. Kolej Matrikulasi Labuan – 19 Mei 2013
  2. Kolej Matrikulasi Sarawak – 26 Mei 2013
  3. Kolej-kolej matrikulasi seluruh semenanjung -27 Mei 2013

 

Bagi calon yang tidak berjaya, rayuan boleh terus dibuat melalui internet di laman sesawang http://www.moe.gov.my mulai 25 April 2013 hingga 9 Mei 2013. Rayuan yang dibuat selepas tarikh tutup (9 Mei 2013) tidak akan dipertimbangkan.

 

Talian bantuan Bahagian Matrikulasi 03-8884 4036/4040/4100/4083  boleh dihubungi dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang (hari bekerja sahaja).

SEMAKAN TAWARAN DAN RAYUAN KE TINGKATAN ENAM SESI 2013/2014


SEMAKAN TAWARAN DAN RAYUAN KE TINGKATAN ENAM SESI 2013/2014

23 April 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Tawaran dan Rayuan Ke Tingkatan Enam Sesi 2013/2014 boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia bermula 24 April 2013 (Rabu).

Sekian, terima kasih