Gaji mati kakitangan awam tinggal sejarah – KSN
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata kini tiada lagi gaji maksimum untuk penjawat awam selepas kerajaan memperkenal pergerakan gaji khas tiga peratus setiap tahun.
“Kalau gaji sudah sampai mata akhir, setiap tahun akan dapat kenaikan tiga peratus sampai pencen. Dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, gaji penjawat awam juga akan meningkat mengikut kadar pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Guru Muda 1Malaysia Daerah Muar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota di sini hari ini.
Beliau berkata, ini adalah penambahbaikan kerana sebelum ini penjawat awam yang sudah sampai ke tahap gaji maksimum hanya boleh menikmati pertambahan gaji apabila dinaikkan pangkat.
“Sedangkan dalam sistem piramid, tidak banyak jawatan untuk kenaikan pangkat,” katanya.
Berita baik itu adalah antara inisiatif Sistem Saraan Transformatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 11 Mac lalu, yang turut menghadiahkan penjawat awam satu kenaikan gaji tahunan pada 1 Julai ini. – BERNAMA