Remaja hilang ditemui di Kulim – Sinar Harian


Remaja hilang ditemui di Kulim

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mei 2013
Remaja hilang ditemui di Kulim
Ibu Sarmila mengucapkan terima kasih kepada Chee Heng selepas anaknya yang hilang sejak 24 April berjaya ditemui semula di Kulim.

PUCHONG – Remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang selepas dilarikan dua lelaki tidak dikenali di Puchong pada 24 April lalu berjaya ditemui semula di Kulim Kedah, malam Rabu lalu.

Difahamkan, mangsa, C Sarmila Devi ditemui sepasang suami isteri di sebuah pondok bas selepas dia ditinggalkan dua lelaki berkenaan kira-kira jam 8 malam.

Keadaan mangsa yang mencurigakan dan menangis teresak-esak menyebabkan pasangan suami isteri itu memberhentikan kereta dan bertanya apa yang berlaku sebelum membawanya pulang ke rumah.

Selasa lalu, ibu remaja perempuan berkenaan, P Vijaya Barathy, 40, membuat aduan kepada Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng berhubung kehilangan anak kedua daripada enam beradik itu.

Mangsa didakwa dilarikan sekumpulan lelaki menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna hitam ketika sedang berehat di tempat kerjayanya di sebuah pasar raya di Bukit Puchong.

Sarmila berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dia yang berada di bahagian belakang pasar raya berkenaan dirapati dua lelaki tidak dikenali.

Katanya, lelaki itu memaksanya masuk dalam kereta dan tidak sedar apa yang berlaku sehingga terjaga daripada pengsan, mendapati dia sudah berada dalam kereta. Jelasnya, lelaki itu menyuruhnya diam dan membawanyaberpusing-pusing melalui laluan lebuh raya sehinggalah ke sebuah rumah teres dua tingkat.

Di rumah teres itu, katanya terdapat seorang wanita dalam lingkungan umur 20-an yang didakwa turut mengalami nasib sepertinya.

“Selama dikurung, saya hanya diberi makan roti dan air mineral, saya juga dipukul, diikat sebelum dilepaskan di sebuah pondok bas semalam (Rabu lalu). Oleh kerana tidak tahu berbuat apa-apa saya hanya menangis sebelum sepasang suami isteri menghulurkan bantuan dan membawa saya pulang ke rumahnya.

“Selepas itu barulah saya dapat berhubung dengan emak dan dibawa pulang semula ke rumah dengan selamat,” katanya di pejabat Biro Aduan Puchong, kelmarin.

Ibu Sarmila, Vijaya berkata, dia bersyukur anaknya berjaya ditemui semula selepas hampir seminggu hilang tanpa khabar berita.

Dia mengucapkan terima kasih kepada pihak media, orang awam dan pihak polis yang memberi bantuan sehingga anaknya berjaya diselamatkan semula.

Sementara itu Chee Heng berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberi perlindungan kepada mangsa sebelum diserahkan kepada ibu bapanya semula dengan selamat.

Tiga beradik kembali sekolah – Sinar Harian


Tiga beradik kembali sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mei 2013
Tiga beradik kembali sekolah
Tanaletchumy (kiri) mendengar luahan Sharifah Nora selepas ketiga-tiga anaknya kini kembali bersekolah selepas berhenti sejak setahun lalu.

PORT DICKSON – Keperitan hidup sebuah keluarga di Kampung Gelam, yang tidak mampu menghantar tiga daripada empat anaknya ke sekolah sejak setahun lalu berakhir selepas mendapat perhatian daripada calon Barisan Nasional (BN) Dun Port Dickson, Dr P Tanaletchumy.

Tanaletchumy berkata, selepas mengetahui masalah keluarga itu, beliau terus menghubungi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam.

“Hari ini (semalam) semua urusan bersama sekolah sudah dilakukan dan Isnin depan mereka boleh bersekolah semula sementara barang keperluan seperti uniform dan kasut sekolah akan sediakan,” katanya.

Menurutnya, hatinya tersentuh dengan kesempitan hidup keluarga tersebut kerana dia juga datang daripada keluarga sederhana.

“Saya juga dibesarkan dalam keluarga yang susah tetapi saya yakin, jika tiga beradik ini mempunyai semangat kental dan ada pihak memberi sokongan, mereka mampu mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada tiga beradik tersebut, Sharifah Nora Mohd Saad, 27, berkata, dia sangat terharu dan gembira kerana anak-anaknya diberikan peluang untuk bersekolah.

“Terima kasih diucapkan kepada Dr Tana (Tanaletchumy) yang sudi membantu kami,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia sekeluarga tinggal di Palong, Jempol, namun berpindah ke Bangi pada 2011.

“Ketika itu, suami saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anak-anak masih bersekolah di asrama Rumah Titian Kasih, Titiwangsa.

“Namun atas kesempitan hidup kami tidak dapat membayar rumah yang disewa dan terpaksa menumpang di rumah emak di Setapak kira-kira sebulan sebelum mengambil keputusan berpindah ke kawasan kampung,” katanya.

Sharifah Nora berkata, pada 2012, anak-anaknya yang bersekolah di Titian Kasih keluar dari rumah kebajikan berkenaan.

“Baru-baru ini, ada juga pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat datang mengambil maklumat keluarga dan berharap bantuan akan segera diluluskan,” katanya yang sarat mengandung enam bulan.

Katanya, dia yang tidak bekerja hanya bergantung kepada pendapatan suaminya, Hanip Hassan, 45, yang bekerja sebagai penjaga tandas awam di Stesen Bas Port Dickson.

Betis lebam dipukul guru – Sinar Harian


Betis lebam dipukul guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mei 2013
Betis lebam dipukul guru
Keadaan kedua-dua belah kaki adik Mohammad yang lebam akibat dipukul gurunya.

KUALA PILAH – Seorang pelajar tingkatan lima dari sebuah kolej di Port Dickson, lebam di kedua-dua belah betisnya selepas dirotan seorang guru lelaki tanpa sebab munasabah.

Abang kepada pelajar tersebut, Muhammad Kamaruzaman, 32, berkata, insiden itu berlaku pada 22 April lalu kira-kira jam 1.30 petang di padang kolej terbabit.

Menurutnya, ketika itu, adiknya masuk ke kelas bengkel elektronik seperti biasa, namun guru terbabit meminta membantunya menyusun barang mengikut prinsip amalan  5S (Sapu, Susun, Sisih, Seragam, Sentiasa Amal).

“Setelah selesai, adik saya pulang semula ke kelas yang diajar guru sama, namun secara tiba-tiba guru tersebut memarahi adik saya kerana lambat menyiapkan kerja elektronik yang diberikan.

“Walhal, pada awalnya, guru itu meminta adik saya menolongnya membuat kerja lain (susun 5S),” katanya.

Muhammad berkata, selepas itu adiknya dipukul menggunakan buluh panjang berukuran satu meter sebanyak tiga kali di bahagian betis di kedua-dua belah kaki di hadapan 60 pelajar lain.

“Bila saya mengetahui adik dipukul, saya pergi ke kolej dan membawanya ke hospital Port Dickson. Namun sebelum itu, saya sempat berjumpa dengan pihak pengurusan kolej dan mereka hanya memaklumkan akan menyiasatnya