Tiga beradik kembali sekolah – Sinar Harian


Tiga beradik kembali sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mei 2013
Tiga beradik kembali sekolah
Tanaletchumy (kiri) mendengar luahan Sharifah Nora selepas ketiga-tiga anaknya kini kembali bersekolah selepas berhenti sejak setahun lalu.

PORT DICKSON – Keperitan hidup sebuah keluarga di Kampung Gelam, yang tidak mampu menghantar tiga daripada empat anaknya ke sekolah sejak setahun lalu berakhir selepas mendapat perhatian daripada calon Barisan Nasional (BN) Dun Port Dickson, Dr P Tanaletchumy.

Tanaletchumy berkata, selepas mengetahui masalah keluarga itu, beliau terus menghubungi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam.

“Hari ini (semalam) semua urusan bersama sekolah sudah dilakukan dan Isnin depan mereka boleh bersekolah semula sementara barang keperluan seperti uniform dan kasut sekolah akan sediakan,” katanya.

Menurutnya, hatinya tersentuh dengan kesempitan hidup keluarga tersebut kerana dia juga datang daripada keluarga sederhana.

“Saya juga dibesarkan dalam keluarga yang susah tetapi saya yakin, jika tiga beradik ini mempunyai semangat kental dan ada pihak memberi sokongan, mereka mampu mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada tiga beradik tersebut, Sharifah Nora Mohd Saad, 27, berkata, dia sangat terharu dan gembira kerana anak-anaknya diberikan peluang untuk bersekolah.

“Terima kasih diucapkan kepada Dr Tana (Tanaletchumy) yang sudi membantu kami,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia sekeluarga tinggal di Palong, Jempol, namun berpindah ke Bangi pada 2011.

“Ketika itu, suami saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anak-anak masih bersekolah di asrama Rumah Titian Kasih, Titiwangsa.

“Namun atas kesempitan hidup kami tidak dapat membayar rumah yang disewa dan terpaksa menumpang di rumah emak di Setapak kira-kira sebulan sebelum mengambil keputusan berpindah ke kawasan kampung,” katanya.

Sharifah Nora berkata, pada 2012, anak-anaknya yang bersekolah di Titian Kasih keluar dari rumah kebajikan berkenaan.

“Baru-baru ini, ada juga pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat datang mengambil maklumat keluarga dan berharap bantuan akan segera diluluskan,” katanya yang sarat mengandung enam bulan.

Katanya, dia yang tidak bekerja hanya bergantung kepada pendapatan suaminya, Hanip Hassan, 45, yang bekerja sebagai penjaga tandas awam di Stesen Bas Port Dickson.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s