Pelajar terlibat dadah kritikal
10 Mei 2013

Sebahagian daripada guru bimbingan kaunseling dari seluruh negara di seminar pendidikan pencegahan dadah (PPDa)–Petronas, kelmarin.
SEREMBAN – Seramai 320 pelajar atau 2.63 peratus daripada 12,184 pelajar disahkan positif dadah hasil ujian air kencing yang dijalankan menerusi program Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, ujian tersebut dibuat secara rawak di 499 sekolah seluruh negara, dengan kerjasama Jabatan Pelajaran negeri dari Februari hingga Mac lalu.
Beliau berkata, manakala sepanjang tahun lalu pula, daripada 42,867 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun yang menjalani ujian air kencing, seramai 1,042 atau 2.47 peratus disahkan positif dadah.
Justeru, menurutnya, guru terlatih sebagai jurulatih sahabat PPDa- Petronas perlu bertindak sebagai ejen dan penggerak utama di peringkat sekolah bagi merealisasikan hasrat kerajaan ‘Negara Bebas Dadah 2015’.
“Setakat ini, daripada pelaksanaan Program Sahabat PPDa-Petronas, seramai 46,193 murid dan 4,007 guru telah menjalankan tugas sebagai ejen perubahan.
“Strategi menyasarkan guru dengan dibantu murid sebagai ejen perubahan adalah satu pendekatan tepat kerana kumpulan ini berada dekat dengan masyarakat di sekolah,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Pengarah
Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Mazlan Mohamad pada seminar pendidikan pencegahan dadah (PPPDa) – Petronas di sini, kelmarin.