HARI GURU 2013 : Satu catatan
Saidina Ali R.A pernah berkata “Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka ia adalah tuan kepadaku:” Betapa besar beliau meletakkan darjat seorang yang bergelar guru dalam kehidupan. Tokoh sarjana tersohor dan terkemuka di dunia Islam kini, Yussof Al-Qaradhawi juga menyatakan “Untuk meramalkan masa depan sesebuah negara Lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya generasi mudanya berakhlak dan berhemah tinggi tentu negara yang terbentuk akan menjadi aman makmur. Begitulah jika sebaliknya. Maka buruklah yang akan terjadi” Oleh yang demikian untuk melihat maju atau mundur sesebuah negara bergantung kepada generasi mudanya. Dalam konteks ini, pendidikan dilihat sebagai wahana terbaik dalam melahirkan generasi yang dinamik, progresif, cemerlang, berakhlak dan berhemah tinggi.
Ramai yang mungkin tidak mengetahui kenapa 16 Mei menjadi tarikh yang dipilih untuk meraikan sambutan Hari Guru di Malaysia. Sejarahnya bermula dengan mengambil sempena tarikh rasmi Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu atau Federal Legislative Council menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran atau dikenali pada waktu itu sebagai Report of the Education Committee. Dokumen ini yang juga turut dikenali sebagai Laporan Razak dibentangkan secara rasmi pada 16 Mei 1956 dan dimaktubkan sebagai Dasar Pelajaran Kebangsaan pada ketika itu. Mengambil sempena tarikh inilah Hari Guru disambut secara rasmi setiap tahun di seluruh Malaysia. Semua guru di Malaysia pasti mengingati tarikh keramat ini kecuali segelintir yang bersikap tidak acuh kerana berada dalam pengaruh pendidikan berbeza dari pendidikan arus perdana.
Tema Hari Guru tahun ini memang menepati konsep Transformasi kerajaan. 1Aspirasi 1Agenda. Secara ringkas 1 Aspirasi menjurus kearah mempastikan tanggungjawab semua guru untuk melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional. Manakala 1 Agenda pula mempastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 mencapai matlamat dengan jayanya dengan berpaksikan Falsafah pendidikan negara itu sendiri. Penekanan ini khususnya memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.
.
Dalam menjana tranformasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), tugas guru bukan sekadar menjadi mudarris (pendidik), tetapi guru juga sebagai mua’llim (penyampai yang benar), sebagai murabbi (pengasuh dan pendidik anak-anak dengan kasih sayang), sebagai muaddib (pembentuk adab dan akhlak anak-anak), dan sebagai mursyid (pembimbing ke arah kebenaran).
Penglibatan guru, ibubapa, pemimpin-pemimpin dan masyarakat secara agresif mampu mengubah sistem pendidikan negara kearah kecemerlangan dan kemenjadian murid seperti yang diharapkan. Terdapat lebih 400 ribu guru berkhidmat di sekolah rendah, menengah, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan pejabat-pejabat pendidikan serta lebih 5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk kolej Vokasional di seluruh negara.
Terlalu banyak boleh dibincangkan berkaitan guru. Samada berkaitan dasar, kebajikan, perkembangan kerjaya, pengurusan pengajaran dan pembelajaran, akademik pelajar, peranan dalam masyarakat, daya intelektual, moral, pembangunan insaniah pelajar, kepimpinan dan sebut apa perkara pun guru sentiasa boleh dikaitkan. Hakikatnya guru mempunyai peranan dalam banyak perkara khususnya dalam pembangunan kehidupan seorang kanak-kanak sehingga melepasi remaja. Pengaruh guru sangat besar kepada kumpulan umur begini kerana selain ibubapa dan keluarga di rumah, rakan sebaya, guru adalah orang yang sering mereka temui dan membina kepercayaan melalui hubungan secara langsung dalam bilik-bilik darjah dan aktiviti luar.
Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan perhimpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) di Kota Kinabalu pada 23 Februari lalu berkata “Dalam tempoh tujuh tahun, kami mahu membentuk minda muda yang berpendidikan tinggi, yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan diperlukan untuk membantu pembangunan negara dalam pelbagai sektor. “Untuk berjaya pada masa depan, kita mesti berusaha untuk mencapai kecemerlangan dan tanggungjawab untuk membawa kita di sana terletak di tangan guru,” katanya. Pergerakan GM1M adalah cetusan idea beliau sendiri yang mensasarkan kumpulan guru 21-35 tahun sebagai ahlinya yang merangkumi 49.5% dari keseluruhan jumlah kumpulan guru di Malaysia. Menurut Tan Sri Muhyiddin ilham mewujudkan pergerakan ini adalah secara khusus untuk menghubungkan secara lebih dekat kumpulan guru berkenaan dan Kementerian Pelajaran untuk menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Kumpulan guru ini dengan perkhidmatan yang lebih lama adalah signifikan kepada kejayaan aspirasi kerajaan untuk menghasilkan kualiti pendidikan bertaraf dunia dan modal insan gemilang yang kompetetif menggalas cabaran globalisasi.
Globalisasi bermaksud merentasi sempadan dan media. Mengikut Profesor Michael Gibbons (2003) Setiausaha Agong Persatuan Universiti Komanwel menyatakan globalisasi dalam pendidikan merupakan proses berterusan dalam perindustrian pendidikan yang telah berlaku lama dahulu. Mengikut beliau globalisasi pendidikan adalah proses perubahan untuk amalan pelaksanaan pengajaran yang berkualiti. Fungsi utama globalisasi pendidikan ialah menghasilkan sumber-sumber yang diperlukan untuk pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Ia merupakan proses berterusan untuk meningkatkan tahap kemahiran dan pengalaman individu. ‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ pula bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan, iaitu menekankan pembangunan tenaga manusia, kepesatan pertumbuhan ekonomi, membaiki taraf dan kualiti kebajikan sosial, pemodenan dan reformasi sosial masyarakat, kecemerlangan budaya fikir dan intelektual, pembangunan teknologi dan sains serta kejayaan meningkatkan kadar celik huruf (litearsi) yang tinggi di kalangan masyarakat. Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu komitmen dan usaha Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara supaya ia dapat ditingkatkan kepada satu standard yang tinggi dan mampu menyaingi negara maju yang lain. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam berbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan perlu berkembang dan mengalami perubahan anjakan paradigma yang dapat merintiskan alaf baru dalam segala aspek. Ianya juga merupakan satu langkah penting bagi mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan di peringkat antarabangsa.
Dalam merealisasikan hasrat mengungguli pendidikan bertaraf dunia. Banyak faktor yang turut mempengaruhi kejayaannya. Dari aspek guru, mereka mesti sentiasa mempunyai kreativiti dan bersifat inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran. Kita sering membaca huraian peranan dan harapan kepada halatuju pembangunan modal insan yang banyak diletakkan asas pembentukannya kepada guru sebagai pembentuk kepada acuan insan yang hendak dilahirkan. Perkara ini tidaklah semudah dituliskan kerana ia memerlukan kesungguhan dan komitmen keseluruhan jentera guru di negara ini. Dalam setandan pisag pasti ada juga yang kurang bermutu. Maka sebarang kekurangan dalan aspek-aspek kemahiran dan kepakaran dalam bidang mereka harus segera ditangani demi memenuhi tuntutan pendidikan itu sendiri. Misalnya inisiatif kerajaan yang mewajibkan Peperiksaan Cambridge Profeciency Test kepada guru-guru Bahasa Inggeris di seluruh sekolah rendah dan menengang serta Kolej Vokasional dan Matrikulasi. Guru-guru mesti mencapai Band tertentu sebagai kayu pengukur kepakaran yang diharapkan. Guru-guru yang mendapat markah di bawah tahap mahir akan diberikan kursus khas. Kecuali Matrikulasi pihak sekolah sudah pun melaksanakan kursus-kursus peningkatan kemahiran guru Bahasa Inggeris. Inisiatif ini sangat baik dalam usaha membentuk pasukan pendidik yang menepati hasrat dasar kerajaan dalam pendidikan itu sendiri. Sekalipun melibatkan kos yang tinggi saya rasa ada baiknya ujian khas ini dipanjangkan juga kepada matapelajaran lain dalam usaha memantapkan kepakaran dalam bidang masing-masing, Mekanisme tertentu boleh dirangka untuk subjek-subjek berbeza. Melalui ujian guru-guru akan terdorong untuk meningkatkan taraf kepakaran masing-masing. Jika tidak ramai yang sudah rasa berada di zon selesa tanpa usaha untuk meningkatkan kemahiran diri.
Peningkatan pengetahuan ilmu seperti menguasai maklumat, fakta, prinsip, konsep, kepercayaan, kebiasaan, sikap dan kemahiran mampu dijadikan asas kukuh dalam pembangunan negara. Apabila dasar pembangunan insan dan negara telah diterapkan dalam sistem pendidikan, maka mampu meningkatkan kemahiran dan mengubah nasib seseorang individu. Perubahan ini akan menjana peningkatan taraf hidup dan sosial masyarakat. Peningkatan ini akan memberi impak positif terhadap ekonomi negara khususnya dalam peningkatan guna tenaga yang akhirnya meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Proses pembangunan insan dan negara telah mengalami perubahan demi perubahan mengikut zaman dalam usaha untuk memartabatkan sistem pendidikan sebagai agen ke arah pembangunan masyarakat. Oleh itu, pendidikan yang berorientasikan falasafah untuk melahirkan insan yang berjiwa besar dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek akan menentukan hala tuju pembangunan negara di masa hadapan. Justeru, di dalam menguruskan pembangunan insan untuk membentuk masyarakat madani bagi kelangsungan sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang, kita seharusnya bangkit dari mimpi indah dan sedar bahawa sudah tiada masa untuk kita terus beretorika, bertegang leher dan berkering tekak memperdebatkan sesuatu isu tanpa pengaplikasian resolusi untuk menjadi realiti. Ingatlah, jatuh bangunnya generasi mendatang adalah impak terbesar dari generasi yang beraksi dimasa ini.
Cabaran yang dihadapi oleh institusi formal atau sukarela ialah bergerak seiring perubahan. Teknologi komunikasi maklumat (ICT), misalnya berlaku amat pantas dan tidak ada yang dapat menghalang berlaku proses globalisasi yang memberi kesan besar kepada cara hidup, kaedah penyampaian, cara berkomunikasi, budaya dan nilai hidup manusia keseluruhan yang tidak mendapat kesan langsung atau tidak daripadanya. Ini termasuk dalam proses pembelajaran dan pembelajaran formal atau tidak, malah juga pembelajaran kendiri. Hakikatnya tidak ada siapa pun yang harus menafikan keperluan ini, malah cuba hidup terasing daripada gelombang yang berlaku. Semua ini harus dilihat dalam konteks keperluan meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam pengajian tinggi demi memastikan mereka yang lahir daripada sistem yang ada benar-benar menguasai ilmu dan memiliki keupayaan untuk memenuhi matlamat pendidikan tinggi dan falsafah yang ditetapkan. Persekolahan sehingga ke peringkat pengajian tinggi adalah sebahagian daripada proses sosialisasi tidak harus dilihat terasing daripada kehidupan, misalnya internet dan teknologi komunikasi maklumat dapat dimanfaatkan dalam proses penyampaian ilmu secara terbuka tetapi terkawal. Apatah lagi dalam konteks kebebasan akademia dan menggalakkan pemikiran terbuka dan komunikasi yang berakauntabiliti.
Daya saing bidang pendidikan banyak bergantung kepada tahap kualiti kurikulum pengajiannya. Oleh kerana itu, kita dapati banyak inisiatif penyelidikan dilakukan oleh pakar pendidikan tertumpu dalam pembangunan aspek ini pada masa kini. Ia bagi menjamin pendidikan benar-benar dapat memenuhi peranan asasinya sebagai wadah atau saluran terpenting pembangunan manusia, seterusnya memastikan generasi yang dibangunkan dapat bersaing secara yakin di pentas dunia baru yang serba mencabar pada masa depan. Kepesatan perubahan dan pencapaian dalam kehidupan manusia hari ini terutama dari ilmu, maklumat, kemahiran dan kemudahan, akan menjadikan bentuk-bentuk pekerjaan pada masa depan juga berubah sepenuhnya.Ini adalah antara asas yang mendorong pakar pendidikan hari ini memberikan tumpuan khusus dalam merencana program pembangunan kurikulum pendidikan yang mengandungi kualiti daya saing yang tinggi bagi memastikan generasi pelajar hari ini mampu berdepan dengan perubahan pekerjaan dan kehidupan yang serba mencabar dan tidak menentu pada masadepan.Dalam kata lain, kurikulum pendidikan harus sentiasa bersifat responsif terhadap perubahan dan dinamik dari segi pengamalannya. Kurikulum pendidikan dan pembelajaran yang bersifat beku atau jumud akan berdepan dengan persoalan relevensi atau kesesuaiannya dalam menyumbangkelahiran generasi berdaya saing mendepani cabaran perubahan. Dalam dekad-dekad mendatang, dunia akan terdedah dengan pelbagai penciptaan baru dan ia akan mempengaruhi gaya hidup manusia dan cara mereka melakukan pekerjaan. Realiti perubahan ini bukan suatu yang terlalu sukar untuk kita fahami. Lihat saja kesan yang sudah disumbangkan oleh kemajuan di bidang komunikasi dan media terhadap kehidupan kita hari ini. Pembangunan teknologi baru di bidang ini sudah mengubah cara manusia memperoleh maklumat, berhubungdanberhibur. Konsep televisyen, misalnya sudah berubah sepenuhnya sekiranya dibandingkan sejak dua tahun yang lalu. Manifestasinya tidak lagi statik, tetapi kini bercorak digital dan mudah alih. Teknologi komunikasi yang canggih ini juga mempengaruhi corak manusia berurusan dalam bidang kewangan, perubatan, perdagangan dan lain-lain lagi. Bidang pendidikan juga tentu tidak kebal daripada menerima kesan perubahan dunia ini. Untuk itu, ia perlu bersiap siaga secara lebih efektif bagi mendepaninya. Apakah bentuk persediaan yang perlu dilakukan bidang pendidikan bagi mendepani realiti perubahan ini? Bagi pakar pendidikan, pembangunan kurikulum pendidikan yang bersifat inovatif adalah antara aspek teras yang mesti diutamakan kini. Ia adalah jalan keluar yang akan memastikan generasi yang dibangunkanhariinitidakketinggalanoleharusderasperubahanmasadepan. Inovasi kurikulum pendidikan ini harus menyeluruh mencakupi kandungan ilmu yang harus diketahui pelajar serta kaedah atau teknik pembelajaran setiap bidang pengajian. Program inovasi ini juga harus menggabungjalinkan seluruh ruang, persekitaran dan teknologi pembelajaran bagi memberikan kesan tertinggi terhadap pencapaian pendidikan. Dalam beberapa penemuan berkenaan model kurikulum pendidikan berinovasi, pakar pendidikan mengesyorkan aspek membabitkan pembelajaran ilmu bercorak merentas disiplin, pengukuhan daya kepemimpinan, penghargaan kepelbagaian budaya dan pembinaan generasi berwatak global perlu diperluaskan pelaksanaannya serta harus menjadi teras penting pembangunannya. Bagi tujuan itu, pembangunan teknik pembelajaran berasaskan pemikiran kritis, ketrampilan meneroka keluasan dan kekayaan sumber ilmu serta kemahiran bekerja secara berpasukan hendaklah diterapkan dalam proses pembelajaran.
Tugas sebagai seorang guru tidak semudah yang disangkakan. Banyak tanggungjawab yang digalas oleh guru semasa di sekolah samada berkaitan dengan akademik atau tidak. Guru boleh dianggap “ibu” dan “bapa” kepada para pelajar, guru bertanggungjawab terhadap keselamatan, disiplin dan pencapaian akademik pelajar. Dalam kesibukan mengajar, mereka juga menjadi kaunselor menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang berada di bawah pengawasan mereka selain menjalankan kerja “perkeranian” seperti mengisi kad maklumat pelajar, mengisi borang pinjaman buku teks, mengisi kad kesihatan dan sebagainya. Tugas guru yang semakin bertambah boleh dikaitkan dengan faktor kurangnya kefahaman guru terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam melaksanakan tugasnya. Apabila tanggungjawab yang digalas oleh seseorang guru bertambah, maka fokus terhadap proses pengajaran turut terjejas. Oleh yang demikian, sesetengah guru kurang membuat persediaan yang secukupnya sebelum memulakan sesi pembelajaran dan pengajaran. Kurangnya persediaan yang rapi akan menyebabkan guru tersebut hanya sekadar menyampaikan ilmu sahaja tanpa cuba memasukkan elemen yang berkaitan dengan kehendak Falsafah itu sendiri. Sebab itu kerajaan sekarang sudah berada dalam fasa akhir untuk memberi penyelesaian terhadap masalah beban tugas guru yang menghalan mereka dari melakukan tugas hakiki sebenar mereka iaitu MENGAJAR. Perkara ini sebenarnya sudah dipraktikkan di Kolej Matrikulasi yang lebih mengkhusus dari segi skop tugas. Memang agak sukar dilaksanakan di sekolah kerana sistem dan situasi yang tidak sama. Namun demikian melalui pelantikan pembantu guru untuk tugas-tugas perkeranian guru akan lebih memberi ruang kepada guru membuat perancangan mengajar yang lebih dinamik.
Bercakap berkaitan guru tidak akan ada penghujungnya namun dalam kesempatan sedikit ini Masyarakat perlu menyedari bahawa guru-guru sekarang berhadapan dengan cabaran yang sangat jauh berbeza dari zaman dulu. Kini guru perlu menguasai ilmu yang tinggi kerana pelajar-pelajar juga lebih banyak bersedia dan memperolehi ilmu dari pelbagai sumber. Selain itu cabaran dalam menangani masalah disiplin dan psikologi juga sudah berbeza. Jika dulu mudah saja merotan pelajar atau memberi denda seperti di foto ini namun sekarang denda seperti ini sudah jelas menyalahi etika keguruan itu sendiri selain bukan bentuk hukuman yang dibenarkan. Tidak dapat dinafikan kawalan disiplin perlu terus keras demi mengelakkan pelajar-pelajar mudah terjerumus dengan perkara yang lebih merosakkan atau sehingga mengabaikan pelajarannya sendiri. Memang kalau ikut hati kepada sebahagian guru tidak akan peduli kerana bukan anak atau keluarga mereka namun naluri jiwa seorang guru macmanapun mulut marah berkata-kata di hatinya yang penyayang tetap tidak mahu anak didiknya tidak berjaya. Guru-guru sekalipun kadangkala terlepas kata dan tingkah laku seperti juga sang ibubapa mereka sentiasa sayang kepada murid-muridnya Cuma cara menunjukkan rasa sayang tidak sama antara setiap individu.
Jika anda ada pengalaman semasa bersekolah yang unik silalah berkongsi. SELAMAT HARI GURU kepada semua guru dan yang pernah jadi melalui alam persekolahan.