Guru didik generasi intelek, berakhlak – Berita Harian


Guru didik generasi intelek, berakhlak

2013/05/17 – 05:03:42 AMCetakEmel Kawan
Islam mengajar umatnya memandang tinggi jasa dan pengorbanan guru yang sangat besar baktinya dalam membangun serta mendidik generasi berpendidikan dan berakhlak mulia. Sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun bertujuan meraikan pendidik yang bertungkus-lumus mencurahkan ilmu pengetahuan kepada anak didik mereka.

Mereka lakukan demi melahirkan generasi berilmu pengetahuan dalam membina sebuah negara yang maju dan makmur. Sesungguhnya ilmu pengetahuan sangat penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, Allah SWT mewajibkan kita menuntut ilmu.

Rasulullah SAW bersabda: Menuntut ilmu adalah satu kefarduan ke atas setiap muslim. (Riwayat Ibn Majah)

Peranan guru

Guru memainkan peranan penting menyebarkan ilmu pengetahuan. Daripada hasil usaha merekalah, lahirnya bangsa yang berilmu dan berpengetahuan luas, tugas mereka tidak terbatas hanya mengajar di bilik darjah, malah mempunyai tanggungjawab dalam membentuk akhlak masyarakat.

Yakinlah tanpa ilmu pengetahuan, hidup manusia pasti dalam kegelapan kerana ilmu itu cahaya menerangi kehidupan. Bayangkanlah tanpa ilmu, kehidupan manusia tidak akan maju dan tanpanya juga manusia tidak dapat membezakan antara kebenaran dengan kebatilan.

Paling penting, dengan ilmu sahajalah seseorang itu akan terselamat daripada tipu daya syaitan. Firman Allah SWT: Allah memberikan hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sungguh ia telah berikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya. (Surah al-Baqarah, ayat 269)
Tugas guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak didiknya, malah lebih penting ialah membina negara bangsa yang menitikberatkan semangat patriotik, jati diri dan perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.

Rasulullah SAW terkenal sebagai negarawan bersemangat patriotisme yang sentiasa menyeru umatnya cintakan negara. Rasulullah SAW sendiri sebagai pemimpin umat dan ketua negara telah memberi penekanan khusus dalam membimbing umatnya.

Baginda menggesa mereka berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara. Inilah contoh pimpinan sebenar kerana bimbingan ini akan menentukan mereka menjadi manusia berguna, bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidupnya menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara kerana inilah jalan hidup dituntut Allah.

Sudah pasti dalam membina negara bangsa ia berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih kepada negara serta pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan dalil jelas daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, ulama bersepakat mengatakan taat kepada pemerintah adalah fardu, manakala menderhaka satu dosa besar.

Cerminan masa depan negara

Justeru, semangat membina negara bangsa khususnya kepada pelajar adalah cerminan masa depan sesebuah negara. Jika mereka tidak dididik dan diasuh dengan betul, pastinya sesebuah negara itu akan menempah kehancuran.

Ingatlah bahawa amanah dan peranan guru bukan hanya sekadar mengajar, malah turun berperanan untuk melahirkan pelajar yang hebat inteleknya, mempunyai jati diri dan semangat patriotik yang jitu. Itulah antara perkara yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Cikgu, anda terlalu istimewa… – Sinar Harian


Cikgu, anda terlalu istimewa…

MUHAMAD MAT YAKIM
17 Mei 2013

SELAIN emak ayah, cikgu antara insan yang paling dekat dengan kita. Sepandai-pandai seorang menteri pun, yang mengajarnya kenal ABC  adalah cikgu walaupun cikgu itu sendiri  tidak sampai  jadi menteri . Siapa pun kita, tidak ada yang terlepas daripada jasa cikgu.

Tetapi dalam usia kita hari ini, sejauh mana kita masih mengingat cikgu-cikgu kita? Pernah kita sedia masa untuk ziarah mereka? Atau hubungi untuk bertanya khabar sekali sekala.

Sekadar mengucap “terima kasih” setiap 16 Mei pun sudah cukup untuk buat mereka berbesar hati.

Dalam usia ini, saya masih ingat nama semua cikgu saya. Bukan setakat nama, ada juga cerita-cerita yang masih tidak luput dari memori hampir 40 tahun ini.

Misalnya dalam usia enam tahun pada 1977, saya pernah beritahu emak “nak kahwin dengan Cikgu Fauziah” kerana tertarik dengan kecantikan cikgu tadika saya.  Harap anak-anak tidaklah mewarisi ‘bakat’ saya yang bercambah awal itu!

Masuk SK Mahang, hidup terasa lebih mempesonakan apabila melihat cikgu ‘amoi’ yang cantk terutama yang memakai skirt, pemandangan yang sangat luar biasa bagi anak kampung seperti saya pada zaman itu. Ada satu kisah daripada pengalaman ini yang masih kami bualkan setiap kali bertemu dengan rakan-rakan sekolah hingga sekarang.

Antara cikgu yang rapat dengan saya zaman sekolah rendah Cikgu K Murugiah, guru kelas darjah lima saya pada 1982. Dia banyak mengajar saya  mengenai keyakinan diri.

Tidak lupa juga Cikgu Robaie, Ustaz Md Zain, Philomena Chin, Goh Keat Bin, Yeap Hong Im, Ali Jinnah Shariff dan HM Malakar. Masih tidak ku lupa akan ‘goriab’ (cubitan perut hingga terangkat kaki) oleh Cikgu Md Hakim Pirun yang cukup glamour dengan Volkswagen kuningnya.

Masuk sekolah menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, makin bertambah senarai pemiutang budi. Mereka antaranya Cikgu Om Ibrahim, Cikgu Hussin yang  saya tidak lupa misai  ala
Hitlernya, Cikgu Mohd Nor Azni  yang buka  saya ruang belajar jadi wartawan, Cikgu Hafiz Hussain pengasas Warta Kolej untuk saya dan kawan-kawan mengasah bakat selain Ustaz Othman Noh, penasihat majalah Darulaman semasa saya jadi ketua pengarang..

Paling istimewa Cikgu Kassim Saad, pengetua KSAH yang kami Kolejian sudah anggap seperti ayah sendiri, hingga sekarang.

Tidak lupa juga cikgu di kelas sebelah semasa saya di tingkatan enam, Cikgu Rogayah yang selalu mengusik “mengapa awak selalu tersilap kelas?” setiap kali terserempak saya di kelasnya. Masakan tidak kerana buah hati saya (yang sekarang isteri) ada di kelas itu!

Termasuk dalam kumpulan yang dihormati ini, Cikgu Jayamohan, guru biologi saya. Kata-katanya yang masih terpahat kukuh ialah “cikgu sendiri ada bulu yang banyak sekali …” sambil menunjukkan lengannya yang berbulu lebat.

Cikgu Jaya juga warden asrama kami. Suatu hari, di dewan makan, dia menegur mereka yang tergamak curi lauk rakan: “Ingatlah pada kawan-kawan yang lapar, mahu makan tiba-tiba dilihat seikan sudah hilang, seayam juga sudah hilang …”

Manakala mendapati ada sampah di  dorm ketika pemeriksaan pagi, dia pasti bertanya: “Di mana orang-orang penyapu?”

Demikianlah. Maaf, saya bukan mahu mengaibkan cikgu yang saya hormati ini tetapi mahu menunjukkan betapa saya masih ingat pada memori zaman sekolah yang sangat indah itu.

Ya, mengingati guru-guru kita, biasanya yang paling diingat adalah cikgu garang yang pernah menghukum kita. Dan bagi si cikgu garang, mereka juga tidak mudah lupa kepada si nakal yang kerap mereka hukum.

Pada zaman sekolah, saya termasuk dalam kumpulan itu (minta dijauhi anak-anak daripada mewarisi bakat yang ini juga). Setiap kali terkantoi, cikgu yang saya paling takut ialah Cikgu Omar Abdul (Allahyarham, Al Fatihah untuknya).

Dalam satu kes, dia bertanya kepada saya dan kawan-kawan, “Hangpa ndak aku yang handle kes hangpa atau cikgu lain?”

Dengan berterus terang, kami menjawab: “Kami ndak cikgu lain, cikgu!”

Masuk tingkatan enam, saya dilantik pengawas. Ketika membetulkan tali leher di dalam bilik pengawas pada hari pertama bertugas, guru disiplin, Cikgu Zainon Shafie yang sebelum itu entah berapa
kali pernah tangkap saya atas pelbagai kes menyapa: “Hang bertobat dah Mat?”

“Dah tobat cikgu!” Itu pada 1989.

Hanya baru beberapa bulan lepas, kawan baik saya, ketua pengawas masa itu, Amran Ahmad dedah rahsia: “Aku rekemen cikgu lantik hang (jadi pengawas) tujuannya untuk pulihkan hang. Hang
akhirnya insaf jugak!”

Itulah. Siapa pun kita, akhirnya kita jadi orang juga. Apa lagi kalau bukan kerana didikan dan kesabaran cikgu-cikgu kita. Selamat hari guru!

Guru dinasihat komited – Sinar Harian


Guru dinasihat komited

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Mei 2013
Guru dinasihat komited
Mohd Rosdi bersama guru SK Pos Senderut dan tetamu yang hadir, kelmarin.

LIPIS – Guru di sekolah Orang Asli diminta memainkan peranan lebih berkesan di samping memberi perhatian khusus dalam membantu murid Orang Asli supaya tidak tercicir.

Timbalan Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP), Mohd Rosdi Ismail berkata, guru perlu mencari kaedah bersesuaian dengan kebolehan murid dan bersabar ketika mengajar.

“Guru juga perlu kreatif bagi merangsang  minat murid untuk belajar selain berusaha memujuk mereka datang ke sekolah.

“Guru di sekolah Orang Asli dinasihatkan lebih komited mengajar dan tidak terlalu cepat membuat andaian bahawa tahap pencapaian akademik murid Orang Asli tidak dapat dipertingkatkan lagi,” katanya pada Program Outreach Linus Tegar Pemulihan Khas Pahang 2013 di Sekolah Kebangsaan Pos Senderut di sini, kelmarin.

Beliau berkata, guru harus mengamalkan budaya penyayang dan mesra kerana masalah keciciran murid adalah masalah utama yang boleh membantutkan usaha meningkatkan tahap pendidikan mereka.

“Nama pun sekolah untuk anak Orang Asli, sudah tentulah kaedah pengajaran dan pembelajarannya jauh lebih unik serta memerlukan kepekaan tinggi.

“Oleh kerana jiwa anak Orang Asli ini begitu sensitif, guru perlu mengambil pendekatan pujuk, layan dan lebih peramah untuk menyenangkan penerimaan,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Maut di hari guru – Sinar Harian


Maut di hari guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Mei 2013
Lim Boey Kim
Lim Boey Kim

GEORGETOWN – Sambutan hari guru kali ini tidak bermakna buat seorang guru tuisyen, Lim Boey Kim, 43, yang ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah pangsapuri di Island Glade, Jalan Masjid Negeri, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa dikatakan baru pulang dari Hospital Pulau Pinang selepas melawat mayat ibunya yang meninggal dunia akibat sakit tua.

Menurut sumber, mangsa difahamkan terus berlegar-legar di kawasan koridor sebaik tiba di rumahnya dan perubahan sikapnya itu disedari oleh saudaranya.

Beliau berkata, ahli keluarga lain tidak sempat menyelamatkan mangsa kerana kejadian berlaku dengan pantas.

“Mangsa yang masih bujang itu dikatakan rapat dengan ibunya dan murung sebaik mendapat berita kematian ibunya. Mungkin dia tidak dapat menerima pemergian ibunya pagi tadi (semalam).

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di seluruh badan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian berkenaan.

Gan berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan  kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Mayat mangsa dihantar ke HPP untuk bedah siasat sebelum tuntut ahli keluarganya,” katanya.

Didik pelajar menabung – Metro


Didik pelajar menabung

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Nor Adila Ab Kadir

Seremban: Gerai pameran Bank Simpanan Nasional (BSN) di Festival Pendidikan Hari Guru di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, dekat sini, menjadi tarikan pengunjung terutama pelajar sekolah dengan kehadiran maskot Ally dan Amy yang mencuri perhatian ramai untuk bergambar.

Keletah Ally dan Amy membuatkan gerai pameran BSN dikerumuni pengunjung bukan saja untuk bergambar, malah tertarik dengan produk dipromosikan.
Pada festival diadakan sejak 14 Mei hingga 19 Mei ini, gerai pameran BSN memperkenalkan beberapa produk kepada orang ramai khususnya untuk pelajar dan guru antaranya, Sijil Simpanan Primium (SSP), Teacher Card, Pinjaman Peribadi dan Kelab Penabung Muda (KPM).

 

Pelajar, Harith Hisham, 12, berkata, dia teruja bertemu maskot BSN itu dan tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan.
“Saya sangat seronok dapat bersalam dan bergambar dengan Ally dan Amy yang sebelum ini hanya dilihat di televisyen dan tidak sangka hari ini (semalam) saya bertemu mereka berdua.
“Selain itu, saya tertarik dengan produk KPM yang ditawarkan BSN kerana bukan saja dapat mengumpul wang, malah berpeluang memenangi hadiah menarik,” katanya. Guru, Rozita Mustafa, 47, berkata, kehadiran maskot Ally dan Amy menarik perhatian pelajar di samping dapat memperkenalkan kepada mereka budaya menabung.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Biar sedikit tetapi meriah – Metro


Biar sedikit tetapi meriah

 0  0 Google +0  0  0

Kampung Gajah: Biarpun dianggap janggal, namun sambutan Hari Guru bagi warga Sekolah Kebangsaan Kampung Bandar (SKKB), di sini, agak unik apabila hanya disambut oleh lapan guru dan sembilan murid.

Bagaimanapun, kekurangan itu langsung tidak merencatkan sambutan Hari Guru warga sekolah berkenaan sebaliknya ia dirai meriah dengan penuh makna. Seperti sambutan di sekolah lain, warga SKKB turut menganjurkan acara sukaneka yang disertai guru dan pelajar selain acara deklamasi sajak.

Guru Besarnya Roslan Yahya berkata, sambutan Hari Guru diadakan secara sederhana namun meriah walaupun hanya disertai guru dan murid sekolah yang menuntut di Tahun 1 hingga 6.

 

 

Beliau berkata, majlis bermula dengan nyanyian lagu patriotik, bacaan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran dan diikuti deklamasi sajak murid dan sukaneka guru dan murid.

“Setiap tahun kami meraikan sambutan Hari Guru di sekolah ini seperti sekolah lain biarpun hanya mempunyai bilangan guru dan murid yang kecil,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Guru sekolah itu Sementara itu, murid Tahun Enam, Norhidayah Musa, 12, mengakui kemesraan guru dan murid terjalin erat.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Hari Guru 5 murid 5 cikgu – Metro


Hari Guru 5 murid 5 cikgu

 15  0 Google +1  0  0

Oleh Abu Bakar Al Sidek

Hutan Melintang: “Saya pernah menyambut Hari Guru disertai hampir seribu murid, namun pengalaman kali ini sedikit janggal apabila meraikan hari bermakna ini bersama lima murid dan lima guru,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak (SKTR) Muhaini Ibrahim, 57, semalam.

Muhaini yang baru tujuh bulan berkhidmat di sekolah itu tidak menyangka diberi peluang merasai pengalaman unik sepanjang kariernya bergelar guru apabila dirai cukup istimewa oleh lima muridnya.
Pada sambutan itu, Muhaini bersama lima guru lain termasuk Lee Choong Sing, 47; ldris Baki 47; Khairul Nizan Kamis 32; Muhamad Fauizi Hasim, 24 dan Wan Noraina Ayuni Arfiffin, 25 diberi penghormatan oleh lima murid mereka.

 

Biarpun tidak begitu meriah, namun pelbagai aksi mencuit hati, riuh rendah dan hilai tawa murid dapat didengari apabila program dimulakan jam 8.30 pagi sebelum berakhir tiga jam kemudian.
Program diakhiri dengan lima murid sekolah menyampaikan hadiah kepada guru mereka serta upacara memotong kek ‘Selamat Hari Guru’.
Murid juga diberi peluang menyuap potongan kek kepada guru masing-masing.

 

Muhaini ketika ditemui berkata, sambutan itu dijayakan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan dimulakan dengan bacaan doa selamat diikuti deklamasi sajak oleh murid tahun enam, Mohd Azrol Amri Salim sebelum disusuli nyanyian ‘Guru Malaysia’ oleh guru dan nyanyian lagu ‘Terima Kasih Cikgu’ oleh murid diiringi alat muzik.
Beliau berkata, sambutan di kantin sekolah itu dihadiri ibu bapa murid termasuk Pengerusi PIBG SKTR, Hajar Samad dan Ketua Kampung Tebing Rebak Mat Huri Aki.

 

SKTR adalah antara sekolah kurang murid (SKM) yang masih beroperasi di negara ini membabitkan jumlah murid paling kurang iaitu seorang murid Tahun Satu, seorang murid Tahun Tiga; dua murid Tahun Lima serta seorang murid Tahun Enam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Cikgu Pi Remli, Saloma – Metro


Cikgu Pi Remli, Saloma

 49  0 Google +0  0  0

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Memiliki nama mirip seniman dan seniwati agung Tan Sri P Ramlee serta Puan Sri Saloma bukan saja membuatkan empunya diri menjadi perhatian, tetapi pada masa sama memberi kelebihan dalam kerjaya diceburi.

Bagi guru di daerah ini, Pi Remli Che Ishak, 59 dan Siti Saloma Othman, 52, yang diraikan sempena Sambutan Hari Guru di seluruh negara semalam, mereka berasa bertuah kerana nama dimiliki menarik perhatian dan lebih mudah diingati pelajar.
Dua anak jati Bachok itu masing-masing mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nipah dan SMK Bachok yang jaraknya hanya 1.5 kilometer antara satu sama lain.

 

Pi Remli yang juga Pengetua SMK Sri Nipah berkata, sepupu ibunya yang memberikan namanya kerana amat meminati karya seniman agung itu.
“Pada mulanya malu juga, tambahan pula ketika itu Allahyarham (P Ramlee) masih hidup dan banyak karyanya dihasilkan, namun lama-kelamaan, saya dapat membiasakan diri,” katanya yang berasal dari Kampung Cabang Tiga, Melawi, dekat sini dan menjadi pendidik sejak 25 tahun lalu.
Menurutnya, dia bangga apabila keunikan namanya menarik perhatian pelajar dan memudahkannya menjalankan aktiviti di sekolah seperti program keusahawanan.

 

“Saya tidak kekok berhadapan pelajar kerana kebanyakan mereka anak bekas pelajar saya juga, malah nama saya sinonim dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya. yang menjadi guru selepas tamat pengajian Diploma Pendidikan di Universiti Malaya pada 1980.
Pi Remli berkahwin dengan Rokiah Che Ishak, 55, juga seorang guru dikurniakan tujuh anak lelaki berusia antara 28 hingga 20 tahun.

 

Bagi Siti Saloma yang mengajar mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan enam sejak 27 tahun lalu, dia pada mulanya mengakui malu dengan nama yang diberikan, namun kini ia membawa tuah dalam hidupnya khususnya dalam kerjayanya sebagai guru.
Katanya, nama Siti Saloma diberikan ayahnya Othman Hamid, 76, yang juga pesara guru kerana meminati seniwati itu.
“Nama ini menyebabkan saya lebih mudah diingati pelajar, selain mendapat banyak pertanyaan daripada rakan dan pelajar mengenai sejarah nama saya, malah pernah ada pelajar secara spontan bertanya adakah saya pandai menyanyi,” katanya yang memegang jawatan Guru Kanan Sains Sosial SMK Bachok.
Siti Saloma yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya berkata, kerana keunikan namanya dia menjadi lebih popular dalam kalangan pelajar malah dinobatkan Guru Paling Penyayang yang dipilih melalui undian pelajar sejak 1990 hingga kini.
“Sejarah awal saya menjadi guru juga ada kaitan dengan cabaran guru ketika saya menuntut di tingkatan lima di sekolah ini. “Guru itu berkata rakannya guru dan namanya Saloma, justeru dia mahu melihat adakah saya mampu bergelar guru seperti rakannya itu.
“Alhamdulillah, saya kini menjadi guru,” katanya yang berasal dari Kampung Tok Burung, dekat sini, Siti Saloma berkahwin dengan Ahmad Fikri Shafii, 52, yang turut mengajar di SMK Sri Nipah dan memiliki lapan anak berusia antara 27 hingga 10 tahun. Menurut Siti Saloma, lima anaknya memasang impian untuk bergelar pendidik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

‘Pak cik nak pergi mana?’ – Metro


‘Pak cik nak pergi mana?’

 242  0 Google +1  0  1

Kuala Lumpur: “Pak cik nak pergi mana? Haikal nak ibu,” tegur Lais Haikal Khairul Azmi berusia tujuh tahun sebaik seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba masuk dan memandu kereta ibunya dari sebuah taska di Taman Melati, di sini, pagi semalam.

Kanak-kanak lelaki terbabit ditinggalkan sementara dalam kereta Perodua Alza itu oleh ibunya yang turun untuk menghantar dua adik perempuannya berusia empat tahun dan empat bulan ke taska berkenaan sebelum mereka ke Sekolah Kebangsaan Taman Melawati, di sini.
Bagaimanapun, ketika ibu Haikal, Siti Syuhada Mohd Tahir, 32, yang juga guru menyerahkan anak kecilnya kepada pemilik taska, dia terkejut sebaik menyedari keretanya dilarikan seorang lelaki.

 

Bagaimanapun, kira-kira 1.3 kilometer dari taska berkenaan, lelaki itu turun meninggalkan kereta mangsa di Jalan 12C/6 Setapak Indah, di sini, sebelum melarikan diri bersama beg tangan Syuhada sejauh 100 meter, namun tiba-tiba rebah dan disahkan mati.
Haikal berkata, ketika dia bersama lelaki itu dalam kereta berkenaan, dia menangis meminta lelaki terbabit membawanya semula kepada ibu namun lelaki itu tidak mengendahkan sebaliknya memecut.
“Haikal tanya, tetapi pak cik itu diam saja. Dia kata nak pergi jumpa kawan. Haikal takut dan menangis kerana mahukan ibu.

 

“Pak cik itu berhenti di tepi jalan, lepas itu keluar kereta dan ambil beg ibu. Haikal hanya menangis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.
Sementara itu, ibu Haikal, Syuhada berkata, memang menjadi rutin harian menghantar dua anak perempuannya ke taska berkenaan sebelum beliau dan Haikal ke sekolah.

 

“Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, saya turun kereta sambil mendukung Lais Dania berusia empat tahun kerana dia tidur dan membawanya masuk dalam taska. Selepas itu, saya berpatah balik ke kereta untuk ambil Lais Arissa berusia empat bulan.
“Selepas menyerahkan Arissa, saya dengar bunyi deruman enjin dan apabila menoleh saya nampak kereta saya dilarikan seorang lelaki,” katanya yang masih trauma dengan insiden itu.
Syuhada berkata, dia menjerit meminta pertolongan sebelum dua lelaki yang menunggang motosikal melihat kejadian itu cuba mengejar namun gagal.
Beliau menghubungi suaminya, Khairul Azmi Sulaiman, 34, yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberitahu kejadian itu sebelum suaminya datang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Pendidikan bertaraf dunia – Metro


Pendidikan bertaraf dunia

 1  1 Google +0  0  0

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Suraya Roslan

Nilai: Guru di negara ini perlu memiliki wawasan unggul untuk mentransformasikan pelbagai aspek pendidikan, berpemikiran aras tinggi dan mampu berinovasi bagi melaksanakan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi menyahut hasrat itu, guru perlu sentiasa berusaha meningkatkan keberhasilan sekolah dan murid.
“Saya akur guru selama ini memang berakauntabiliti dalam meningkatkan pencapaian murid dan kejayaan sekolah. Namun, akauntabiliti terhadap keberhasilan operasi sekolah masing-masing perlu terus dipertingkat kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini persaingan menjadi semakin sengit.

 

“Kebolehan kita untuk bersaing bergantung kepada kelebihan daya saing kita yang ditentukan oleh kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada aras tinggi (KBAT),” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi Malaysia berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I Datuk Mary Yap, Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II P Kamalanathan, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

 

FotoMUHYIDDIN bersalam dengan tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, malam tadi sambil diiringi Mohamad.

Muhyiddin berkata, aspek pendidikan guru menjadi agenda utama kementerian bagi pemerkasaan guru melalui latihan berterusan dan untuk itu Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) baharu dan pengkalan data pengesanan CPD bertujuan memantap dan mengukuhkan ilmu pengetahuan akan dilaksanakan.
Katanya, demi memartabatkan profesion keguruan, kerajaan turut menggariskan beberapa inisiatif untuk meningkatkan taraf guru. “Melalui PPPM 2013-2025, pelan menaik taraf profesion keguruan dirangka supaya 420,000 guru berpeluang dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17