Cikgu, anda terlalu istimewa… – Sinar Harian


Cikgu, anda terlalu istimewa…

MUHAMAD MAT YAKIM
17 Mei 2013

SELAIN emak ayah, cikgu antara insan yang paling dekat dengan kita. Sepandai-pandai seorang menteri pun, yang mengajarnya kenal ABC  adalah cikgu walaupun cikgu itu sendiri  tidak sampai  jadi menteri . Siapa pun kita, tidak ada yang terlepas daripada jasa cikgu.

Tetapi dalam usia kita hari ini, sejauh mana kita masih mengingat cikgu-cikgu kita? Pernah kita sedia masa untuk ziarah mereka? Atau hubungi untuk bertanya khabar sekali sekala.

Sekadar mengucap “terima kasih” setiap 16 Mei pun sudah cukup untuk buat mereka berbesar hati.

Dalam usia ini, saya masih ingat nama semua cikgu saya. Bukan setakat nama, ada juga cerita-cerita yang masih tidak luput dari memori hampir 40 tahun ini.

Misalnya dalam usia enam tahun pada 1977, saya pernah beritahu emak “nak kahwin dengan Cikgu Fauziah” kerana tertarik dengan kecantikan cikgu tadika saya.  Harap anak-anak tidaklah mewarisi ‘bakat’ saya yang bercambah awal itu!

Masuk SK Mahang, hidup terasa lebih mempesonakan apabila melihat cikgu ‘amoi’ yang cantk terutama yang memakai skirt, pemandangan yang sangat luar biasa bagi anak kampung seperti saya pada zaman itu. Ada satu kisah daripada pengalaman ini yang masih kami bualkan setiap kali bertemu dengan rakan-rakan sekolah hingga sekarang.

Antara cikgu yang rapat dengan saya zaman sekolah rendah Cikgu K Murugiah, guru kelas darjah lima saya pada 1982. Dia banyak mengajar saya  mengenai keyakinan diri.

Tidak lupa juga Cikgu Robaie, Ustaz Md Zain, Philomena Chin, Goh Keat Bin, Yeap Hong Im, Ali Jinnah Shariff dan HM Malakar. Masih tidak ku lupa akan ‘goriab’ (cubitan perut hingga terangkat kaki) oleh Cikgu Md Hakim Pirun yang cukup glamour dengan Volkswagen kuningnya.

Masuk sekolah menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, makin bertambah senarai pemiutang budi. Mereka antaranya Cikgu Om Ibrahim, Cikgu Hussin yang  saya tidak lupa misai  ala
Hitlernya, Cikgu Mohd Nor Azni  yang buka  saya ruang belajar jadi wartawan, Cikgu Hafiz Hussain pengasas Warta Kolej untuk saya dan kawan-kawan mengasah bakat selain Ustaz Othman Noh, penasihat majalah Darulaman semasa saya jadi ketua pengarang..

Paling istimewa Cikgu Kassim Saad, pengetua KSAH yang kami Kolejian sudah anggap seperti ayah sendiri, hingga sekarang.

Tidak lupa juga cikgu di kelas sebelah semasa saya di tingkatan enam, Cikgu Rogayah yang selalu mengusik “mengapa awak selalu tersilap kelas?” setiap kali terserempak saya di kelasnya. Masakan tidak kerana buah hati saya (yang sekarang isteri) ada di kelas itu!

Termasuk dalam kumpulan yang dihormati ini, Cikgu Jayamohan, guru biologi saya. Kata-katanya yang masih terpahat kukuh ialah “cikgu sendiri ada bulu yang banyak sekali …” sambil menunjukkan lengannya yang berbulu lebat.

Cikgu Jaya juga warden asrama kami. Suatu hari, di dewan makan, dia menegur mereka yang tergamak curi lauk rakan: “Ingatlah pada kawan-kawan yang lapar, mahu makan tiba-tiba dilihat seikan sudah hilang, seayam juga sudah hilang …”

Manakala mendapati ada sampah di  dorm ketika pemeriksaan pagi, dia pasti bertanya: “Di mana orang-orang penyapu?”

Demikianlah. Maaf, saya bukan mahu mengaibkan cikgu yang saya hormati ini tetapi mahu menunjukkan betapa saya masih ingat pada memori zaman sekolah yang sangat indah itu.

Ya, mengingati guru-guru kita, biasanya yang paling diingat adalah cikgu garang yang pernah menghukum kita. Dan bagi si cikgu garang, mereka juga tidak mudah lupa kepada si nakal yang kerap mereka hukum.

Pada zaman sekolah, saya termasuk dalam kumpulan itu (minta dijauhi anak-anak daripada mewarisi bakat yang ini juga). Setiap kali terkantoi, cikgu yang saya paling takut ialah Cikgu Omar Abdul (Allahyarham, Al Fatihah untuknya).

Dalam satu kes, dia bertanya kepada saya dan kawan-kawan, “Hangpa ndak aku yang handle kes hangpa atau cikgu lain?”

Dengan berterus terang, kami menjawab: “Kami ndak cikgu lain, cikgu!”

Masuk tingkatan enam, saya dilantik pengawas. Ketika membetulkan tali leher di dalam bilik pengawas pada hari pertama bertugas, guru disiplin, Cikgu Zainon Shafie yang sebelum itu entah berapa
kali pernah tangkap saya atas pelbagai kes menyapa: “Hang bertobat dah Mat?”

“Dah tobat cikgu!” Itu pada 1989.

Hanya baru beberapa bulan lepas, kawan baik saya, ketua pengawas masa itu, Amran Ahmad dedah rahsia: “Aku rekemen cikgu lantik hang (jadi pengawas) tujuannya untuk pulihkan hang. Hang
akhirnya insaf jugak!”

Itulah. Siapa pun kita, akhirnya kita jadi orang juga. Apa lagi kalau bukan kerana didikan dan kesabaran cikgu-cikgu kita. Selamat hari guru!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s