4 remaja bawah umur ditangkap
18 Mei 2013

Kok Liang
TELUK INTAN – Tidak padan dengan umur yang masih muda, empat remaja berusia 15 hingga 16 tahun berani melakukan aktiviti jenayah curi dengan memecahkan tingkap kereta yang di parkir di sekitar bandar ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, jenayah itu terbongkar apabila cermin sebuah kereta milik seorang penternak lembu dipecahkan suspek, pada 15 Mei lalu.
Menurutnya, pada kejadian jam 5 pagi itu, isteri mangsa terdengar deruman motosikal lalu lalang di hadapan rumahnya di Taman Banjar Jaya, di sini.
“Mangsa yang tersedar selepas dikejutkan isterinya bertindak menghubungi rakan yang juga jirannya untuk mendapatkan bantuan.
“Ketika mangsa menghubungi jirannya, suspek bertindak memecahkan cermin depan di bahagian penumpang sebelum mengambil barangan berharga,” katanya.
Kata beliau, mangsa bersama rakannya cuba menahan kesemua suspek namun hanya seorang remaja berusia 16 tahun berjaya ditahan sementara yang lain melarikan diri.
“Suspek itu ditahan mangsa kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan bantuan polis untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini.
Kok Liang berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan dua telefon bimbit milik mangsa di dalam poket seluarnya.
Katanya, tiga lagi suspek dijejaki polis dengan menghubungi mereka dan tindakan itu menyebabkan salah seorang daripadanya berusia 15 tahun menyerah diri di IPD Hilir Perak.
“Hasil siasatan kami juga membawa kepada penahan dua rakan suspek yang sudah tidak bersekolah dan menganggur.
“Siasatan lanjut turut mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau dan salah seorang daripada mereka positif dadah. Kesemua suspek ditahan reman bagi bantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksysen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.