Remaja derita tulang belakang bengkok – Sinar Harian


Remaja derita tulang belakang bengkok

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mei 2013
Remaja derita tulang belakang bengkok
Keadaan tulang belakang Aminatul Najwa Azzahra yang bengkok.

SIK – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Begitulah penderitaan yang terpaksa ditanggung seorang remaja akibat penyakit tulang belakang bengkok atau skoliosis sejak dua tahun lalu.

Aminatul Najwa Azzahra Fisaul, 16, berkata, penyakit yang mula dikesan sejak di tingkatan dua itu menyebabkannya sering sesak nafas dan tidak boleh mengangkat beban atau melakukan kerja berat.

Menurutnya, hasil laporan ujian imbasan sinar X (X-ray) menunjukkan tulang belakangnya semakin menekan paru-paru, selain fizikal bahu tidak sama dengan lebih bengkok di sebelah kanan.

“Hanya ALLAH SWT dan keluarga terdekat yang tahu bagaimana saya mengharungi kehidupan seharian. Sepanjang malam tidur dengan mengiring kerana belakang tidak rata, ketika bersolat juga sukar.

“Saya juga tidak boleh menggalas beg dengan kedua-dua belah bahu seperti rakan-rakan lain sebaliknya guna sebelah bahu dan pegang buku tambahan di tangan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Ibunya, Haminah Che Ali, 45, berkata, anaknya perlu menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan 5 Jun depan tetapi buntu kerana tidak mempunyai wang mencukupi bagi membiayai rawatan itu.

Dia dan suami, Fisaul Abdul Rahman, 45, hanya bekerja sendiri dengan pendapatan bulanan tidak menentu untuk menanggung enam anak yang masih bersekolah termasuk Aminatul.

“Jika diikutkan doktor pakar, anak ketiga saya itu perlu dibedah tiga bulan lalu namun disebabkan tidak cukup wang, kami minta tangguh sementara ikhtiar cara lain termasuk rawatan tradisional.

“Namun sewaktu berjumpa dua minggu lalu, doktor mengesahkan tulang belakang anak semakin bengkok dan perlu dibedah segera untuk menggelakkan sebarang risiko seperti lumpuh,” katanya.

Menurutnya, pembedahan yang dijadualkan bulan depan membabitkan kos kira-kira RM15,000 untuk memasukkan besi serta 12 skru membetulkan semula struktur tulang belakang anaknya.

“Hati ibu mana yang tidak risau bila mengenangkan anak perlu melalui pembedahan hampir 14 jam, tambah lagi melibatkan tulang belakang. Namun demi memastikannya dapat hidup seperti orang lain, saya reda dan berusaha kumpul duit.

“Jika ada pihak sudi memberi sumbangan ikhlas, saya amat hargai dan berbesar hati kerana dapat meringankan sedikit beban kami,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui BSN bernombor 03112-29-84529543-7 atau menghubungi talian 013-4768305.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s