Koperasi sekolah digalak ceburi perniagaan kantin
KOTA BHARU – Koperasi sekolah di Kelantan digalak menceburi bidang perniagaan lebih besar termasuk perniagaan kantin sekolah yang akan menambah pendapatan mereka.
Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan Anuar Mohd berkata cara itu juga dapat mengelak pertindihan di antara pengusaha kantin dan koperasi yang turut menjual makanan dan minuman di kedai koperasi.
Setakat ini belum ada daripada 156 koperasi sekolah di Kelantan yang menceburi perniagaan kantin sekolah, katanya kepada Bernama, di sini.
Beliau mengulas langkah Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi melarang koperasi sekolah menjual makanan dan minuman di kedai koperasi kerana bercanggah dengan dasar kementerian itu.
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam kenyataannya semalam, memohon kementerian itu mengkaji semula larangan yang dikuatkuasakan 15 April lalu kerana menjejaskan pendapatan koperasi sekolah.
Larangan itu membabitkan 2,216 koperasi sekolah di seluruh negara. – Bernama