Guru cipta pen untuk pembelajaran fizik – Bernama


Guru cipta pen untuk pembelajaran fizik
23 Mei 2013

KOTA KINABALU – Mengajar di sebuah sekolah di pedalaman negeri ini tidak menyekat kreativiti seorang guru yang berjaya mencipta pen untuk menyelesaikan masalah berkaitan elektromagnet dalam subjek fizik.

Androd Sadian, guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek, Kota Marudu, berkata dengan pen ciptaannya yang dikenali Pen Android atau Pen A, pelajar tidak perlu lagi menggunakan jari tangan untuk menentukan arah yang tepat seperti kaedah pembelajaran sekarang.

“Sekurang-kurangnya Pen A ini menjamin pelajar memperoleh dua atau tiga markah dalam peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Solidariti dan Apresiasi Pendidik sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri, di sini malam tadi.

Menurut Androd, pen itu juga boleh digunakan sebagai alat tulis biasa. Pen ini sudah mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran dan akan dipasarkan di Sabah bermula bulan depan pada harga RM7.50 seunit, sebelum diedar ke seluruh negara secara berperingkat, katanya yang percaya Pen A merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun yang juga Exco Pelajaran Sabah, berkata kejayaan Androd adalah bukti kegigihan guru di kawasan pedalaman dalam mencari kreativiti bagi menangani kekangan bertugas di kawasan terpencil.

“…mereka berupaya mencari kaedah kreatif dalam meningkatkan semangat mereka untuk terus bersaing dalam pembangunan pendidikan,” katanya.

Terdahulu, Masidi dalam ucapannya berkata tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Malaysia: 1 Aspirasi 1 Agenda’ amat bersesuaian dalam menempuh era globalisasi yang berteraskan enam aspirasi murid iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

Pada majlis itu, Masidi turut melancarkan pen itu serta sebuah buku bertajuk Sejarah Perkembangan Pendidikan Di Sabah (1881-1981) yang ditulis oleh pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Dayu Sansalu.

Menurut Dayu, buku setebal 300 halaman itu menerangkan sejarah pendidikan di Sabah sejak 1,000 tahun lalu. – Bernama

 

Kes Rogol Bawah Umur Di Sabah Tidak Pernah Digugur – Peguam Negara – Bernama


Kes Rogol Bawah Umur Di Sabah Tidak Pernah Digugur – Peguam Negara

PUTRAJAYA: Pendakwaan akan terus mengendalikan kes seorang gadis berusia 12 tahun enam bulan di Sabah yang didakwa dirogol seorang pengurus sebuah restoran berusia 40 tahun.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata kes itu masih berjalan dan Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggugurkannya.

“Saya tidak mempunyai pilihan selain membuat kenyataan terbuka hari ini yang bertentangan dengan pendapat kami. Selalunya, kami tak akan cakap sehingga siasatan penuh dilakukan tetapi dalam kes ini, anda memaksa saya mengambil tindakan yang bertentangan dengan prinsip tertentu, dan saya tiada pilihan kerana isu ini perlu dihentikan.

“Ini bukan satu kes yang mudah. Tolong faham dan biar kami selesaikan siasatan, berilah kepercayaan kepada kami untuk selesaikan tugas kami. Saya hanya boleh beritahu anda bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kejadian rogol membabitkan kanak-kanak, namun pada masa yang sama, kami juga perlu memastikan keadilan ditegakkan,” katanya kepada pemberita, Rabu.

Abdul Gani berkata memandangkan mangsa enggan memberi keterangan, pasukan pendakwaan terpaksa bergantung kepada bukti lain seperti laporan Asid Deoksiri bonukleik (DNA), laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan laporan pegawai penyiasat berkaitan mangsa serta memeriksa akaun Facebook mereka, yang belum diperoleh.

“Dalam perkara ini, saya ada seorang saksi di mana kawan perempuan itu duduk di belakang kereta, tetapi apabila duduk di belakang, apa yang kita nampak adalah isu lain. Bagaimanapun, saya percayakan budak itu, jadi kita memerlukan keterangan lanjut daripada beliau dan kita perlu menganalisis keterangannya dengan teliti,” katanya.

Riduan Masmud, bapa empat anak, didakwa merogol mangsa dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Feb lepas, bagaimanapun, dia kemudian mengahwini gadis itu ketika kes sedang berjalan.

Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khatom Abd Samad kemudian memberi tempoh sehingga 6 Jun ini kepada Jabatan Peguam Negara sama ada ingin meneruskan kes itu atau sebaliknya.

Pada 7 Mei lepas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazmeen Zulkifli memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bantahan untuk kes itu ditarik balik selepas mangsa menarik balik laporan polis yang dibuat pada 18 April.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Chaw Siang Kong memberitahu mahkamah pada Isnin lepas bahawa pihaknya memerlukan masa untuk mengkaji semula kes itu kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Abdul Gani juga berkata terdapat isu wang RM5,000 dibayar kepada bapa mangsa oleh tertuduh yang disebut sebagai ‘Sogit’, iaitu satu bentuk pampasan di bawah undang-undang anak watan atau adat Sabah.

Bagaimanapun, Abdul Gani berkata beliau dimaklumkan bahawa tiada peraturan sedemikian di bawah undang-undang berkenaan daripada Mahkamah Adat, dan sehubungan itu, satu pasukan kecil khas dibentuk bagi menyiasat isu berkenaan.

“Pada pandangan saya, pada masa ini tiada bayaran ‘Sogit’ dari sudut perundangan. Maka saya mengesyaki ia sama seperti rasuah. Jadi saya mengarahkan supaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) masuk campur dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Presiden Persatuan Ibu Tunggal Sabah (PITS)Norhanida Anol mahu Riduan dihukum kerana mendakwa tertuduh membawa ‘satu gejala atau penyakit baharu’ yang boleh merosakkan masyarakat.

“Ini adalah perkara yang keji! Lelaki ini memberi satu platform kepada yang lain untuk bertindak (merogol) dan lari daripada kesalahan (dengan mengahwini mangsa).

“Kita mempunyai banyak masalah ketika ini, dan nampaknya kini kita juga terpaksa menangani gejala baharu seperti ini,” katanya kepada Bernama.

Norhanida berkata beliau juga bimbang perkahwinan antara tertuduh dan managsa akan menimbulkan isu seperti perbuatan curang dan penderaan.

Beliau berkata PITS sebelum ini terpaksa membantu wanita muda dan bayi mereka selepas ditinggal suami, keluarga serta perogol mereka.

Beliau berkata hakikat bahawa mangsa berasal dari keluarga miskin lebih membimbangkan kerana keluarga gadis itu mungkin akan melepaskan tanggungjawab mereka kepada suaminya.

Aktivis sosial Datuk Patrick Sindu pula berkata perbuatan Riduan melanggar undang-undang dan menyalah guna hak mangsa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Lelaki ini telah mengambil kesempatan terhadap seorang kanak-kanak yang tidak berdosa untuk keseronokan sendiri, dan dia berani mengatakan dia telah bertanggungjawab dengan mengahwini mangsa.

“Ini bukan kes ‘suka sama suka’ seperti yang lelaki itu dakwa. Kerosakan telah berlaku dan dia ingat dia boleh lari daripada dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Wanita dan Kanak-Kanak Persatuan Undang-Undang Sabah Datuk Mariati Robert berkata jika kes itu tidak dibicarakan sepenuhnya, maka “ini merupakan hari yang menyedihkan untuk wanita dan gadis di Malaysia jika perogol fikir mereka boleh memperalat Mahkamah Syariah untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dan liabiliti.”

“Hakikat bahawa lelaki itu kini berkahwin dengan mangsa tidak membebaskannya daripada pertuduhan merogol,” katanya.

Mariati juga menggesa Mahkamah Syariah mempertimbang untuk mendakwa lelaki itu atas pertuduhan berzina.

Riduan didakwa pada 28 Feb lepas dan kes itu ditetapkan untuk perbicaraan dari 1 hingga 4 Julai ini. – BERNAMA

Spesimen 2 lelaki tak sepadan – Metro


Spesimen 2 lelaki tak sepadan

 0  0 Google +1  0  0

Shah Alam: Hasil ujian DNA terhadap spesimen ditemui pada kemaluan Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11, atau panggilan manjanya Cinnang tidak sepadan spesimen dua lelaki yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes bunuh dan rogol kanak-kanak malang itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, ujian kimia yang diperoleh Isnin lalu menunjukkan spesimen pada kemaluan mangsa tidak sama dengan spesimen dua suspek berusia 19 dan 24 tahun yang ditahan beberapa jam selepas kejadian.
Selain itu, Mohamad berkata, polis menahan seorang lagi suspek iaitu, seorang pemandu van Jumaat lalu dan kini direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan.

 

“Siasatan lanjut terhadap suspek diteruskan bagi mengenalpasti pembabitannya dalam kes berkenaan,” katanya.

Ketua samun upah gula-gula – Metro


Ketua samun upah gula-gula

 3  0 Google +0  0  0

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: Polis menubuhkan pasukan khas untuk menjejak mereka selepas lebih 20 kedai disamun dan hasilnya amat mengejutkan kerana kumpulan penjenayah disyaki terbabit adalah remaja belasan tahun yang menerima upah cuma RM5 hingga RM10.

Mereka yang baru berusia 14 hingga 17 tahun dikatakan turut menerima habuan gula-gula selepas menyerahkan hasil samun kepada ketua mereka yang berusia 23 tahun.
Sumber polis berkata, empat remaja yang masih bersekolah itu bersama ketua mereka yang tinggal di sebuah taman perumahan di Batu Muda, di sini, dalam beberapa siri tangkapan sejak Isnin lalu hingga kelmarin.

 

Menurutnya, kumpulan penjenayah terbabit disyaki sudah melakukan lebih 20 kes samun dengan mensasarkan kedai 24 jam di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu.
“Kumpulan penjenayah cilik ini dipercayai mula bergiat aktif awal April lalu dan mengenali antara satu sama lain kerana tinggal di kawasan sama.
“Siasatan awal polis mendapati ketua kumpulan itu yang berusia 23 tahun bertanggungjawab sebagai perancang termasuk mengenal pasti kedai 24 jam yang menjadi sasaran,” katanya. Sumber itu berkata, ketika samun dilakukan ketua kumpulan tidak menyertainya, sebaliknya hanya empat suspek remaja yang melakukannya.

 

“Mereka melakukan samun dengan bersenjatakan pisau untuk mengugut petugas kedai 24 jam yang dijadikan sasaran. Siasatan juga mendapati mereka menaiki dua motosikal milik ahli keluarga masing-masing,” katanya. Menurutnya, dalam serbuan ke rumah ketua kumpulan terbabit, polis merampas semula pelbagai barangan samun yang nilainya dianggarkan RM20,000.
“Hasil soal siasat juga mendapati remaja terbabit hanya menerima upah sebanyak RM5 hingga RM10 selain diberi gula-gula sementara lebihan hasil samun untuk ketua,” katanya.

 

Sumber itu berkata, kebanyakan barangan yang disamun termasuk pemetik api, pencuci rambut, wang tunai dan gula-gula.
“Suspek berusia 23 tahun juga mempunyai rekod jenayah dalam kegiatan samun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, semua suspek kini direman selama enam hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Halang guru besar: Bekas ketua cabang PKR Puchong dipenjara 18 bulan – Bernama


Halang guru besar: Bekas ketua cabang PKR Puchong dipenjara 18 bulan

2013/05/23 – 19:02:33 PMCetakEmel Kawan
PETALING JAYA: Bekas Ketua Cabang Puchong Parti Keadilan Rakyat (PKR), S Murali dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah menghalang tugas seorang guru besar, dua tahun lalu.

Majistret Nor Afidah Idris, memerintahkan Murali, 45, menjalani hukuman itu mulai hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan Murali membayar kos sebanyak RM3,000 kepada pendakwaan dan jika gagal berbuat demikian, dia boleh dipenjara selama tiga bulan.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Nor Afidah berkata, keterangan saksi pembelaan hanyalah berbentuk penafian semata-mata dan mereka juga tidak berada di lokasi ketika kejadian berlaku.

Murali didakwa melakukan kesalahan itu terhadap K G Sarasavathy, 53, di bilik guru besar Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil Tun Sambanthan pada 12.50 tengah hari 10 Mac 2011 mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphira Selamat manakala Murali diwakili peguam S Selvam.

Sepanjang perbicaraan kes itu, pendakwaan mengemukakan lapan saksi manakala pembelaan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan. – BERNAMA

Pelajar 15 tahun maut terjun bangunan sekolah – Utusan


Pelajar 15 tahun maut terjun bangunan sekolah

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB

KUANTAN 23 Mei – Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang dipercayai mengalami tekanan perasaan maut selepas bertindak terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira di sini hari.

Mangsa, Syamil Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada pukul 11.50 pagi kerana mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130523/je_07/Pelajar-15-tahun-maut-terjun-bangunan-sekolah#ixzz2U7H0SQ7b
© Utusan Melayu (M) Bhd