KPWKM syor suspek kes rogol bawah umur dikenakan tindakan undang-undang – Bernama


KPWKM syor suspek kes rogol bawah umur dikenakan tindakan undang-undang

24 Mei 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengesyorkan Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Syariah mempertimbangkan supaya tindakan undang-undang dikenakan terhadap suspek lelaki kes rogol membabitkan kanak-kanak perempuan bawah umur.

Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim berkata menerusi Mahkamah Sesyen, suspek boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan manakala Mahkamah Syariah boleh mengambil tindakan bagi kesalahan persetubuhan haram mengikut Seksyen 80 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995.

“Sesungguhnya, undang-undang negara menetapkan bahawa hubungan seksual dengan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dengan atau tanpa kerelaan, dikategorikan kes rogol bawah umur.

“Perkara ini termaktub di bawah perenggan 375(g) Kanun Keseksaan yang dipinda melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2006 [Akta A 1273] yang dikuatkuasakan pada 7 Sept 2007 melalui P.U.(B) 321/2007,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rohani berkata, kerajaan bertanggungjwab melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi, keganasan dan penderaan dari segi aspek fizikal, mental, emosi dan psikologi.

KPWKM memandang serius akan laporan akhbar tempatan berhubung kes di Kota Kinabalu, Sabah ini mengenai perkahwinan bawah umur seorang kanak-kanak perempuan dengan lelaki berumur 40 tahun yang dikatakan telah merogolnya,” katanya.

Riduan Masmud, 40, seorang pengurus restoran didakwa merogol gadis berusia 12 tahun enam bulan dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Feb lepas, bagaimanapun, dia kemudian mengahwini gadis itu ketika perbicaraan.

Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khatom Abd Samad kemudian memberi tempoh sehingga 6 Jun ini kepada Jabatan Peguam Negara sama ada ingin meneruskan kes itu atau sebaliknya.

Kelmarin, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberi jaminan bahawa kes itu masih berjalan dan Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggugurkannya. – Bernama

Kementerian Pelajaran kini dikenali Kementerian Pendidikan: Muhyiddin – Bernama


Kementerian Pelajaran kini dikenali Kementerian Pendidikan: Muhyiddin

2013/05/24 – 12:31:55 PMCetakEmel Kawan
PHUKET: Kementerian Pelajaran kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Beliau, yang juga Menteri Pendidikan berkata, perubahan nama kementerian itu diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lalu selepas pakar bahasa sependapat istilah pendidikan lebih tepat berbanding pelajaran.

“Pakar bahasa berpendapat istilah pendidikan lebih tepat dan sebab itu Perdana Menteri bersetuju dan saya juga beritahu pegawai supaya menerimanya sebagai nama baharu, malah nama kementerian pendidikan juga pernah digunakan sebelum ini,” katanya kepada wartawan Malaysia, di sini.

Beliau berkata proses penggabungan dua kementerian – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi – yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan bermula sejurus kabinet diumumkan dan yakin tidak akan menghadapi kesukaran kerana kedua-duanya mencakupi proses pembelajaran dan pengajaran yang berasal daripada satu kementerian sebelum dipisahkan.

Muhyiddin berkata, penggabungan itu tidak menyebabkan pertindihan antara sekolah rendah, menengah dan universiti kerana masing-masing mempunyai pelan pembangunan sendiri kecuali aspek kepimpinan yang diletakkan di bawah satu kementerian dengan mempunyai dua menteri dan dua timbalan menteri.

“Saya telah mengemukakan cadangan bagaimana struktur baru itu hendak dibentuk dan Ketua Setiausaha Negara telah mengambil maklum dan berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di mana minggu depan akan ada perbincangan lanjut dan Insya-Allah pelantikan jawatan yang sepatutnya dibuat akan dilakukan,” katanya dan menambah dalam bahasa Inggeris kementerian itu kekal dengan panggilan ‘Ministry of Education’.

Beliau berkata, walaupun digabungkan beliau membayangkan tidak akan berlaku perubahan terhadap dasar yang digunakan sebelum ini sebaliknya penyatuan itu menghasilkan penjimatan dari segi guna tenaga dan kepakaran kakitangan.
Muhyiddin berkata, sebagai contoh, koordinasi dua kementerian membawa kebaikan kepada sektor pendidikan kerana kepakaran tenaga pengajar di universiti seperti pensyarah bahasa Inggeris boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kemahiran bahasa itu di sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, cadangan supaya bahasa Mandarin dan Tamil kembali diajar di Sekolah Kebangsaan akan dikaji secara mendalam kerana pelaksanaannya akan membabitkan perubahan kepada dasar tertentu.

Muhyiddin berkata, proses pengajaran kedua-dua bahasa itu pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi tidak mencapai matlamat seperti apa yang dimahukan berikutan jumlah pelajar yang tidak begitu ramai.

“Itu sebenarnya bukan baru tetapi setelah ada pihak yang mencadangkan sebegitu, maka saya perlu meneliti kerana kita nak melaksanakannya secara bersungguh-sungguh dan tidak mahu orang bukan Melayu melihat Sekolah Kebangsaan ialah ‘sekolah kebangsaan’, bukannya sekolah Melayu dan menawarkan pelbagai bahasa selain bahasa Malaysia.

“Persoalan besar yang mencabar kementerian ialah kalau ia hendak dilaksanakan kita perlu sediakan sejumlah guru mahir yang ramai kerana kita memiliki lebih 7,000 sekolah rendah dan 3,000 sekolah menengah… jadi sebelum kita nak buat keputusan yang membabitkan dasar kita perlu kaji dengan sebaik-baiknya,” katanya. – BERNAMA