Tidak Puas Hati Dengan Tarikh Lantikan DG41 PJJ Urusan Pelantikan Pengajian 2009/2010/2011 – NUTP


Tidak Puas Hati Dengan Tarikh Lantikan DG41 PJJ Urusan Pelantikan Pengajian 2009/2010/2011

Document:
Tarikh Berita/News Date:
29/05/2013

MUAT TURUN ‘ANJAKAN : BULETIN BULANAN TRANSFORMASI KPM ISU #2’


MUAT TURUN ‘ANJAKAN : BULETIN BULANAN TRANSFORMASI KPM ISU #2’

30 May 2013

Sila muat turun Anjakan: Buletin Bulanan Transformasi KPM Isu #2 di ruangan ‘Muat Turun’ di bawah.

 

Klik di sini untuk muat turun Anjakan Isu #1.

 

Muat Turun
Anjakan Isu #2

Kanak-kanak Orang Asli teruja berkhatan – Sinar Harian


Kanak-kanak Orang Asli teruja berkhatan

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2013
Kanak-kanak Orang Asli teruja berkhatan
Kanak-kanak Orang Asli menunggu giliran untuk bersunat di Hospital Gua Musang, kelmarin.

GUA MUSANG – Umurnya cuma tujuh tahun, namun selepas dimaklumkan bahawa setiap lelaki Islam wajib berkhatan, peserta termuda program khatan beramai-ramai di sini, terus memberi persetujuan.

Mohd Nasrol Nasir, 7, dari Pos Brooke berkata, dia pada mulanya rasa gementar namun berjaya mengatasi perasaan itu.

Menurutnya, dia berminat berkhatan apabila dimaklumkan seorang ustaz  Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kepentingan berkhatan.

Katanya, berikutan itu dia terus memberi persetujuan untuk bersama rakan lain ke hospital dengan menaiki bas disediakan.

“Saya peserta keempat berkhatan dan amat gembira sebaik selesai kerana sebenarnya ia tidak sakit,” katanya yang juga pelajar tahun satu SK Pos Brooke.

Mohd Nasrol antara 41 kanak-kanak Orang Asli beragama Islam dari beberapa kampung di sini, yang berkhatan di Hospital Gua Musang (HGM), pagi kelmarin.

Kebanyakan peserta program anjuran Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik) itu berumur antara tujuh hingga 15 tahun dan membabitkan pelajar sekolah rendah serta menengah.

Shamsul Samsuri, 13, juga dari Pos Brooke berkata, dia sebelum itu takut berkhatan kerana mendengar cerita rakan yang pernah berkhatan.

Katanya, bagaimanapun dia memberanikan diri untuk menghadapi situasi itu.

“Rasa seronok pula berkhatan terutama ketika melihat wajah rakan yang menunggu berkhatan ketakutan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Dakwah Maik, Ahmad Nordin berkata, pihaknya menganjurkan majlis berkhatan untuk kanak-kanak Orang Asli dua kali setahun pada musim cuti sekolah.

“Kali kedua kita anjurkan majlis seumpama itu pada cuti penggal persekolahan akhir tahun nanti yang mungkin jumlah kanak-kanak Orang Asli berkhatan lebih ramai.

“Setakat ini belum ada kanak-kanak Orang Asli lari atau menjerit apabila memasuki bilik berkhatan di hospital kerana mereka semuanya berminat berkhatan dan faham kehendak Islam,” katanya.

Dua pelajar lelaki dilaporkan hilang di Pekan – Bernama


Dua pelajar lelaki dilaporkan hilang di Pekan

2013/05/30 – 14:36:23 PMCetakEmel Kawan

 
 
KUANTAN: Dua pelajar lelaki dilaporkan hilang sejak Ahad lalu selepas keluar dari rumah masing-masing di Kampung Permatang Cengkeroh, di Pekan. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata pelajar terbabit, Abdul Razak Abdullah, 12 dan Aminuddin Ismail, 13, dipercayai bersahabat. 

 

“Menurut laporan yang dibuat keluarga mereka, kedua-dua pelajar terbabit meminta izin untuk keluar dari rumah. 

 

“Abdul Razak dipercayai keluar rumah kira-kira 9 pagi dengan memberi alasan hendak melihat orang menyembelih lembu manakala Aminuddin keluar pada 8 pagi dengan memaklumkan keluarga, beliau mahu ke bandar Rompin,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, kedua-dua keluarga mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Selasa lalu selepas mendapati pelajar terbabit tidak pulang. 

Katanya, sehingga kini, kedua-dua pelajar itu masih belum ditemui dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta melapor kepada pihak polis. – BERNAMA

Kepala cikgu Lijah pecah dipukul – Sinar Harian


Kepala cikgu Lijah pecah dipukul

HASNIZA HUSSAIN
30 Mei 2013
Kepala cikgu Lijah pecah dipukul
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Gambar kecil: Khalijah Abu Samah

KAJANG – Seorang pesara guru ditemui mati dipercayai dibunuh, selepas disamun dalam kejadian di rumahnya di Jalan Mewah Abu Samah, Kampung Sungai Jai, Beranang, di sini, semalam.

Mangsa, Khalijah Abu Samah, 74, ditemui dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah di bahagian ruang tamu berhampiran pintu dapur rumahnya.

Mangsa yang tinggal bersendirian ditemui oleh jirannya seorang warga Indonesia, Ahmad Zaini Kasmuri, 54, kira-kira jam 10 pagi.

Ahmad Zaini ketika ditemui berkata, sebelum kejadian, dia yang berniaga sayur keluar rumah untuk ke pasar pada jam 7 pagi.

Menurutnya, apabila kembali semula ke rumahnya kira-kira tiga jam kemudian, dia mendapati rumah mangsa kosong.

Katanya, dia bagaimanapun melihat terdapat sebuah motosikal hitam jenis Yamaha 125Z diparkir berdekatan pagar laman rumah mangsa.

Ahmad Zaini berkata, dia kemudiannya masuk ke dalam rumah untuk meletakkan barang, sebelum bergegas ke rumah mangsa untuk menjenguknya.

“Biasanya kalau saya balik setiap hari dari pasar, kakak (mangsa) akan duduk di luar rumah, tetapi hari ini (semalam) tiada.

“Saya rasa tak sedap hati dan terus pergi ke rumah kakak. Apabila saya tolak pintu dapur, nampak kakak sudah tertiarap tidak sedarkan diri di kawasan ruang tamu rumah,” katanya.

Kepala ditutupi tudung

Ahmad Zaini berkata, ketika ditemui kepala mangsa ditutup dengan tudung dan terdapat kesan darah yang banyak sehingga ke lantai.

Menurutnya, dia menarik tudung mangsa dan mendapati kepalanya pecah, selain banyak serpihan kaca bertaburan di atas lantai.

Ahmad Zaini berkata, dia sangat terkejut dan terus memaklumkan kepada jiran berdekatan tentang perkara tersebut.

“Salah seorang jiran terus buat laporan polis, manakala saya hubungi menantu mangsa memaklumkan perkara tersebut,” katanya yang sudah tiga tahun berjiran dengan mangsa.

Ketika ditanya berhubung motosikal yang dilihatnya sebelum itu, beliau berkata, motosikal itu sudah tiada ketika dia pergi ke rumah mangsa.

Menurutnya, dia berasa sedih dengan kejadian yang berlaku, kerana selama ini, dia dan isteri diamanahkan oleh tiga anak mangsa untuk menjaga dan menjenguk keadaannya kerana mereka tinggal berjauhan termasuk seorang di Arab Saudi.

“Selalu saya belikan dia barang atau makanan dan dia akan masak sendiri. Tapi tak sangka perkara sebegini menimpanya,” katanya.

Keluarga kerap datang melawat

Menantu mangsa, Zunfar Mohd Saad, 45, yang tinggal di Kajang berkata, dia hanya mengetahui kejadian selepas jirannya menghubungi melalui telefon kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, dia dan suami yang merupakan anak bongsu mangsa kerap datang melawat kerana mereka yang tinggal paling dekat dengan rumah mangsa.

“Kami memang selalu pesan pada jiran untuk tengok-tengokkan emak sebab dia tinggal seorang. Tapi tak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku,” katanya.

Maut akibat dipukul objek tumpul

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan mangsa dibunuh antara jam 7.30 pagi ke 10 pagi semalam.

Menurutnya, pemeriksaan awal menunjukkan terdapat dua kesan kecederaan pada kepala mangsa dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

“Tiada sebarang senjata yang digunakan dalam kejadian ditemui dan premis juga tidak dipecah masuk.

“Keadaan rumah berselerak dipercayai digeledah suspek dan hanya barangan kemas mangsa dikenal pasti hilang. Setakat ini, kita percaya individu yang menyerang mangsa hanya seorang,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Geng Bas Sekolah tampil muka baru – Sinar Harian


Geng Bas Sekolah tampil muka baru

MARINA SAHABUDIN
30 Mei 2013
Geng Bas Sekolah tampil muka baru
Geng Bas Sekolah disiarkan setiap Ahad jam 11 pagi di saluran Astro Ceria 611
Geng Bas Sekolah tampil muka baru
Geng Bas Sekolah tampil muka baru. – Foto ihsan ASTRO CERIA

BAGI penonton cilik, drama bersiri popular Geng Bas Sekolah (GBS) bukanlah asing di kalangan mereka lebih-lebih lagi ia sudah pun masuk musim kelima.

Pun begitu, pastinya berita sedih bagi pengikut setia drama yang disiarkan setiap Ahad jam 11 pagi di saluran Astro Ceria 611 ini kerana episod terakhirnya bakal menemui penonton Ahad nanti.

Mengimbas mengenai GBS musim ke lima, Pengurus Saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin memberitahu, pelbagai kelainan telah ditampilkan menerusi drama ini.

Jelasnya, meskipun barisan pelakon dari musim pertama sehingga keempat telah membawa GBS ke satu tahap, namun pihaknya mahu memastikan GBS musim lima lebih menonjol.

“Sebab itulah kita merombak semula pelakon yang ada, dari segi pemilihan pelakon ini kita mahu sesuatu yang segar dan baru dari mereka,” katanya kepada Zass.

Antara pelakon bagi GBS musim lima adalah adik Harris Alif yang memegang watak Jay, Jasmine Jessica Cross sebagai Chempaka, Brendan Gabriel Lai sebagai Bobby dan Muhammad Shahzuan

Aiman sebagai DJ.

Sementara itu, watak Abang Reza selaku pemandu bas lakonan Azrul Zaidi masih dikekalkan selain penampilan istimewa Mia Sara Nasuha sebagai Orked.

Bercerita mengenai pemilihan Mia pula, akui Hadzelynda, dia dipilih bukan kerana populariti yang dimiliki Mia semata tetapi kerana bakat yang ada dalam diri pelakon comel itu.

“Mia mengakui berminat menjadi pelakon GBS dan apabila di tawarkan watak ini, dia menerima dengan gembira.

“Malah kami sebagai pihak produksi sangat berbesar hati dengan kehadirannya,” katanya.

Karakter berbeza

Berkongsi mengenai watak yang diberi kepada pelakon GBS musim lima, jelas Hadzelynda, dia sangat berpuas hati dengan mutu dan kualiti lakonan yang dibawa kerana masing-masing berusaha menjadi yang terbaik.

“Seperti yang saya katakan, Mia sememangnya tidak sukar membentuk peranan yang diterima, begitu juga Harris.

“Tetapi untuk pelakon baru seperti Jessica, meskipun dia bukan berbangsa Melayu, tetapi dia dapat bertutur dengan baik.

“Kami juga terkejut apabila melihat dia bercakap Bahasa Malaysia dengan lancar,” katanya gembira pelakon GBS musim lima berjaya mewarnai karakter yang diterima.

Dalam pada itu, kata Hazelynda, bekerjasama dengan pelakon GBS musim lima tidaklah sesukar yang dibayangkan.

“Walaupun mereka kanak-kanak, namun mereka sangat komited dengan kerja.

“Lebih menarik mereka ini kreatif serta berani memberi idea kepada kami, malah mereka tidak bergantung kepada skrip semata-mata,” katanya.

Selit elemen komik

Sementara itu, menurut Hazelynda, GBS musim lima berbeza dari GBS musim satu hingga empat kerana wujudnya elemen komik dalam drama ini.

“Dalam satu-satu babak, terdapat elemen komik diselitkan, selain kelainan dari mana-mana GBS yang pernah disiarkan ia juga usaha kami untuk menarik minat penonton cilik menyaksikan drama ini,” katanya.

Ditanya adakah akan ada GBS musim ke enam pula, katanya, terdapat banyak permintaan untuk musim seterusnya.

“Bagaimana pun ia masih dalam perbincangan dan perancangan.

“GBS lima akan berakhir Ahad ini, jadi keputusannya akan dibuat selepas itu.

“Yang pasti, jika ia diterbitkan lagi, saya harap GBS akan terus diterima pengikut cilik di negara ini,” katanya.

Sedikit mengenai GBS, ia merupakan sebuah drama bersiri yang bercerita mengenai kisah penyiasatan yang tertumpu kepada kanak-kanak.

Budak 14 tahun ditemui mati di kawasan pembuangan sampah – Sinar Harian


Budak 14 tahun ditemui mati di kawasan pembuangan sampah

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2013

 MELAKA – Misteri kehilangan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tidak pulang ke rumah selepas keluar mengaji dua hari lalu terjawab apabila dia ditemui mati di kawasan pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, lewat petang semalam.

Mangsa yang tinggal di Taman Desa Molek di sini, ditemui dalam keadaan terlentang di atas papan lapis berhampiran padang oleh sekumpulan remaja lelaki yang baru sahaja pulang dari bermain bola sepak kira-kira jam 7 petang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan PR Gunarajan berkata, ibu bapa mangsa membuat laporan polis  di Balai Polis Tiang Dua kelmarin selepas anak mereka tidak pulang ke rumah Isnin lalu.

“ Pihak keluarga telahpun mengesahkan mangsa adalah anak mereka berdasarkan pakaian mangsa yang  sama sebelum keluar rumah,” katanya.

Perempuan lebih berazam – Metro


Perempuan lebih berazam

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak membayangkan pelajar perempuan yang bersekolah di negara ini lebih cenderung melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Perdana Menteri berkata, situasi itu berbeza dengan rakan lelaki mereka yang belajar dalam kelas sama kurang berminat ke universiti.
Kerana itu, tidak menjadi kehairanan ketika ini di seluruh universiti di seluruh negara nisbah pelajar wanita lebih ramai berbanding lelaki.

 

Perdana Menteri berkata, keadaan itu membuktikan kaum hawa di Malaysia berada di hadapan berbanding kaum adam.
“Seorang gadis di sekolah di Malaysia hari ini adalah lebih cenderung ke universiti berbanding rakan sekelas lelakinya. Satu langkah ke hadapan untuk wanita Malaysia,” katanya dalam tweet terbarunya semalam.
Kelmarin dalam entrinya bertajuk Wanita Adalah Nadi Masyarakat di blog 1malaysia.com.my, Najib berkata, 65 peratus pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat institusi pengajian tinggi di negara ini adalah wanita.

 

Katanya, masa depan Malaysia terjamin sekiranya hak wanita dipelihara. Menurutnya, wanita berhak mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan terbaik, pendidikan serta peluang pekerjaan.
Berkaitan kadar kematian ibu semasa bersalin di negara ini, ujar beliau, ia antara terendah di rantau ini iaitu 29 pada setiap 100,000 kelahiran berbanding 540 pada setiap 100,000 kelahiran selepas kemerdekaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30