JPN lawat hero – Metro


JPN lawat hero

 12  3 Google +0  0  0

Kuantan: Keberanian pelajar tingkatan satu, Mohd Irham Abu Bakar, 13, menyelamatkan neneknya dari rentung Sabtu lalu, mendapat pujian daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Rosdi Ismail berkata, pihaknya prihatin dan bersimpati dengan nasib yang menimpa Mohd Irham dan akan menghulurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.
Rosdi berkata, pihaknya akan membantu keluarga mangsa dengan mengadakan kutipan derma di setiap sekolah dalam negeri ini bagi mengumpul dana untuk tujuan perubatan serta kegunaan pelajar berkenaan.

 

“Kita kagum dengan semangat kental yang ditunjukkan Mohd Irham dalam usaha menyelamatkan neneknya, dan tidak salah jika kita menganggap beliau sebagai seorang wira.
“Dia bukan saja berjaya menyelamatkan nyawa neneknya malah turut bertindak bijak apabila pantas terjun ke dalam air selepas separuh tubuhnya parah dimamah api,” katanya terharu dengan keadaan Mohd Irham yang melecur 50 peratus badannya. Menurutnya, pihaknya juga akan mengarahkan segera setiap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) melakukan sumbangan derma di sekolah secepat mungkin bagi membantu keluarga Mohd Irham. Katanya, selain itu, JPN juga menggantikan buku teks Mohd Irham serta adik beradiknya yang turut hangus dalam kebakaran itu supaya dapat kembali belajar seperti biasa.
“Kita mahu mengurangkan kesedihan yang dialami keluarga mangsa dan berharap mereka dapat bersabar dengan musibah yang menimpa ini.

 

“Mohd Irham juga layak menerima insurans Takaful atas kecederaan dialaminya dan perkara berkenaan akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak sekolah,” katanya.
Beliau ditemui ketika melawat dan menyampaikan sumbangan warga kerja JPN kepada Mohd Irham di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah HTAA, Datuk Dr Marlia Mohammad Salleh dan Penyelia Hal Ehwal JPN Murid, Mohamad Musa.

 

Sementara itu, Marlia berkata Mohd Irham dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang ini (semalam) bagi menerima rawatan daripada pakar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Leave a comment