Pelajar ketagih air ketum
13 Jun 2013

(Gambar Hiasan) Air ketum bakal mendatangkan kesan yang buruk kepada peminumnya.
PADANG RENGAS – Tidak cukup dengan pelanggan sedia ada, peniaga air ketum kini menjadikan pelajar sekolah di sekitar kawasan ini sebagai sasaran mengaut lebih keuntungan.
Kegiatan itu dikesan sejak setahun lalu apabila peniaga terbabit menjalankan aktiviti secara sembunyi di sebuah kampung bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Seorang penduduk, Ismail Harun, 47, berkata, penjualan air ketum dengan harga sekitar RM10 menyebabkan ramai pelajar sekolah mampu membelinya.
Menurutnya, daripada pemantauan dibuat, antara yang kerap membeli air ketum adalah mereka berusia lingkungan 16 dan 17 tahun.
“Mereka yang umur 15 tahun juga ada, sampai bila kita nak biarkan pelajar sekolah terus-terusan membeli dan minum air ketum sedangkan kita tahu air tersebut tidak baik untuk kesihatan malah pelajaran mereka.
“Penjual pun seperti ingin mengaut untung lebih dengan menjual air ketum kepada pelajar sekolah sedangkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
“Bayangkan satu bungkus air ketum dijual dengan harga RM10. Sehari kadang-kadang mereka boleh jual sampai 40 bungkus. Bayangkan berapa untung yang mereka dapat.
“Ada saya dengar penjual air ketum boleh mendapat pendapatan mencecah RM10,000 satu bulan,” katanya.
Gesa sekolah pantau
Timbalan Pegawai Pelajaran Kuala Kangsar, Safuan Raba’ai menggesa pihak sekolah di kawasan berkenaan mengenal pasti pelajar terlibat dengan ketagihan ketum dengan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut.
Beliau berkata, pihaknya akan memilih jalan ‘pendidikan’ berbanding ‘hukuman’ bagi menangani isu berkenaan.
“Kita tidak akan mengambil pendekatan menghukum pelajar berkenaan sebaliknya kita mungkin akan menjalankan beberapa aktiviti untuk memberi kesedaran kepada mereka tentang bahaya ketum.
“Pertama, kita akan beri nasihat dan kemudian akan hantar mereka ke sesi kaunseling. Ada beberapa fasa yang perlu dilalui dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau juga berharap agar masyarakat turut memainkan peranan mereka dalam membendung masalah ini dan bukan hanya meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada pihak sekolah.
Polis akan siasat
Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Polis Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang menegaskan polis akan mengambil tindakan khas bagi mengatasi isu penjualan air ketum di Padang Rengas.
Menurutnya, penjual air ketum akan didakwa di bawah Seksyen 30 Akta Racun dan boleh didenda sehingga RM3,000 jika didapati bersalah.