Kerajaan Melaka minta sekolah henti sementara aktiviti luar bilik darjah
MELAKA – Kerajaan negeri Melaka meminta semua sekolah di negeri ini menghentikan aktiviti luar bilik darjah buat sementara waktu berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencatat tahap tidak sihat.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron berkata langkah itu bertujuan mengelak pelajar terdedah kepada pencemaran udara yang mampu mengundang pelbagai penyakit, termasuk gangguan sistem pernafasan.
Beliau berkata, sehingga 5 petang tadi, IPU di kawasan bandar raya Melaka serta Bukit Rambai masing-masing mencatat bacaan 161 dan 118.
“Indeks ini adalah amat tinggi dan kita khuatir ia akan terus mencatat bacaan sehingga 200, iaitu pada tahap kualiti udara yang amat tidak sihat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan mendengar taklimat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan taklimat JAS, pencemaran udara di Melaka mengganggu penglihatan pandangan sehingga 10 kilometer serta mengandungi bau kurang menyenangkan seperti bahan terbakar yang boleh mengganggu sistem pernafasan penduduk. – Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_22.htm#ixzz2Wfj6qBhO
Hakcipta terpelihara