Tutup sekolah untuk jamin kesihatan, keselamatan – Bernama


Tutup sekolah untuk jamin kesihatan, keselamatan

20 Jun 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan hari ini mengarahkan pihak pentadbir sekolah mengambil langkah menutup sekolah jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras bahaya, iaitu 300 bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata berkata pihak pentadbir sekolah perlu mengambil tindakan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Selain ditutup, pihak sekolah juga perlu menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik darjah jika IPU melebihi 250, dan menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi jika IPU melebihi 150, katanya dalam satu kenyataan di sini.

“Kementerian Pendidikan memandang serius perkembangan fenomena jerebu yang melanda negara ketika ini.  Selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Ogos 2012 berhubung pindaan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, kementerian telah mengeluarkan Surat Siaran KPM Bil.14 Tahun 2013 berhubung Langkah-Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia Bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid-Murid Di Sekolah-Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu Yang Dianggap Kritikal,” katanya.

Abdul Ghafar berkata Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah juga telah diarah untuk memantau dan mengikuti perkembangan semasa fenomena jerebu melalui media massa dan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengetahui status jerebu di kawasan masing-masing.

Katanya, kementerian itu juga telah membuka bilik gerakan untuk memantau perkembangan fenomena itu, dan untuk memudahkan kementerian mengambil langkah-langkah wajar bagi menanganinya.

“Murid-murid dinasihatkan memakai penutup hidung dan pihak sekolah hendaklah merujuk pelajar yang dikenal pasti tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar terjamin,” katanya.

Lebih 200 sekolah di Muar, Johor hari ini diarah tutup buat sementara berikutan bacaan IPU mencatat paras bahaya iaitu 383.

Pengarah Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani berkata keputusan itu dibuat berikutan paras IPU di daerah itu mencecah tahap bahaya, dan tindakan itu melibatkan 76,940 pelajar.

JAS hari ini melaporkan Muar merupakan kawasan yang paling teruk dilanda jerebu dengan IPU 383 pada 11 pagi meningkat daripada 337 pada 7 pagi tadi. – Bernama

Pendidikan: Kerajaan peruntuk RM45 juta – Bernama


Pendidikan: Kerajaan peruntuk RM45 juta

20 Jun 2013

KOTA KINABALU – Kerajaan memperuntukkan lebih RM45 juta untuk membantu sekolah Cina dan swasta di negeri ini bagi tempoh 2009 hingga tahun lepas, kata Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri Datuk Teo Chee Kang.

Beliau berkata untuk 2009 sebanyak RM10 juta disalurkan, manakala pada 2010 (RM12,129,800), 2011 (RM11,129,830) dan 2012 sebanyak RM12,415,000.

“Kerajaan menyediakan peruntukan ini bagi meringankan beban kewangan sekolah-sekolah Cina dan swasta dan ia diberi sebagai subsidi dan bukan untuk menampung sepenuhnya perbelanjaan yang diperlukan,” katanya menjawab soalan Dr Hiew King Cheu (DAP-Luyang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Di samping itu kata Teo, bantuan kewangan yang diberi disalur terus kepada sekolah-sekolah berkenaan, sekali gus membantu meningkatkan lagi kecemerlangan kualiti pendidikan sekolah cina di Sabah.

Teo berkata walaupun bidang pendidikan tanggungjawab kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga prihatin terhadap kebajikan semua lapisan rakyat di negeri itu termasuk masyarakat Cina.

Sehubungan itu, katanya Menteri Tugas-Tugas Khas diberi tanggungjawab untuk menangani hal ehwal masyarakat Cina terutama yang berkaitan hal-hal pendidikan.

“Bagi memastikan semua bentuk bantuan, baik dalam bentuk geran atau pemberian langsung daripada kerajaan kepada sekolah-sekolah Cina dan swasta di negeri ini dapat diselaraskan dengan baik dan berkesan, maka jawatan pengerusi jawatankuasa pemberian kerajaan kepada sekolah-sekolah Cina dan swasta diletakkan di bawah tanggungjawb Menteri Tugas-Tugas khas,” katanya. – Bernama

Pelajar sekolah terbabit aktiviti pecah rumah – Bernama


Pelajar sekolah terbabit aktiviti pecah rumah

20 Jun 2013

NIBONG TEBAL – Pelajar sekolah adalah antara 17 lelaki yang berjaya diberkas polis kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah yang dilapor menjadi – jadi di sekitar daerah Seberang Perai Selatan kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata mereka yang berusia 15 hingga 30 tahun itu merupakan anggota tiga kumpulan pecah rumah dikenali ‘Geng Belalang’, ‘Geng Amirul’ dan ‘Geng Simpang Ampat.

“Kebanyakan anggota kumpulan tersebut adalah pelajar sekolah dan baru hendak berjinak-jinak dengan kegiatan berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya kesemua mereka diberkas dalam beberapa serbuan sejak awal bulan ini hasil risikan pasukan petugas khas yang ditubuhkan dua bulan lalu bagi membanteras kegiatan pecah rumah di sekitar daerah berkenaan.

“Dengan tertangkapnya mereka, polis percaya dapat menyelesaikan 13  kes, yang mana lima kes dilaporkan di Sungai Bakap, Simpang Ampat (tiga kes) dan Nibong Tebal (lima kes),” katanya.

Menurutnya polis juga memberkas 10 lagi individu termasuk pelajar sekolah kerana membeli barangan hasil pecah rumah kumpulan terbabit.

Shafien berkata polis juga menemui semula sebahagian barangan yang dicuri tiga kumpulan itu dengan anggaran nilai RM70,000.

“Mereka ini ambil apa sahaja barang yang mereka nampak termasuk patung, kereta mainan dan tilam,” katanya.

Menurut Shafien, modus operandi tiga kumpulan terbabit hampir sama iaitu mengumpil pintu dan memanjat bumbung serta menyasarkan rumah tiada penghuni.

Hasil ujian air kencing mendapati 11 daripada suspek positif dadah jenis syabu, katanya. – Bernama

Jerebu: 211 sekolah di Muar, Ledang ditutup – Utusan


Jerebu: 211 sekolah di Muar, Ledang ditutup

 

BEGINILAH keadaan ruang udara di bandar Muar ekoran jerebu yang teruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara 350 iaitu melebihi paras bahaya, seperti dirakam di sekitar bandar Muar hari ini. – UTUSAN

MUAR 20 Jun – Sebanyak 211 buah sekolah rendah dan menengah di daerah ini dan Ledang ditutup mulai tengah hari ini berikutan keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah mencatat bacaan 350, melebihi paras bahaya.

Pegawai Pendidikan daerah, Ahmad Othman berkata, surat pekeliling mengenai penutupan itu telah dikeluarkan kepada semua sekolah kedua-dua daerah berkenaan.

Menurutnya, sekolah berkenaan akan ditutup beberapa hari bergantung kepada perkembangan IPU semasa. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130620/dn_23/Jerebu-211-sekolah-di-Muar-Ledang-ditutup#ixzz2Wk4BdZ6c
© Utusan Melayu (M) Bhd

76,940 pelajar di Muar diarah bercuti – Utusan


76,940 pelajar di Muar diarah bercuti

 

NUSAJAYA 20 Jun – Seramai 76,940 murid dan pelajar di daerah Muar diarahkan bercuti serta-merta mulai hari ini berikutan masalah jerebu yang semakin meruncing hari ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, arahan tersebut membabitkan 211 buah sekolah rendah dan menengah selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 383 setakat pukul 11 pagi ini.

Menurut beliau, arahan bercuti tersebut adalah bagi mengelakkan para pelajar dan murid di daerah itu berdepan masalah kesihatan kerana jerebu kini sudah mencecah tahap bahaya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130620/dn_24/76940-pelajar-di-Muar-diarah-bercuti#ixzz2Wk3ySntR
© Utusan Melayu (M) Bhd