47 remaja Islam ditahan sertai parti buih – Utusan


47 remaja Islam ditahan sertai parti buih

Oleh AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my

 

SEBAHAGIAN daripada remaja Islam lelaki dan perempuan yang asyik mandi buih di sebuah restoran di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur, malam semalam.

KUALA LUMPUR 22 Jun – Seramai 47 remaja Islam termasuk tiga pelajar tingkatan lima ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika asyik berhibur dalam parti mandi buih di sebuah restoran di Jalan Yap Kwan Seng di sini malam tadi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jawi, Wan Jaafar Wan Ahmad berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, pihaknya menahan seramai 38 lelaki dan sembilan perempuan yang berusia lingkungan 17 ke 30 tahun.

Menurutnya, tiga daripada remaja perempuan terbabit berusia 17 tahun dan masih bersekolah.

“Ketika serbuan dilakukan kesemua mereka sedang menari sambil mandi buih dengan berpakaian seksi,” katanya ketika ditemui selepas operasi yang turut disertai oleh anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Wan Jaafar, setiap pelanggan yang menyertai pesta itu dikenakan bayaran sebanyak RM40 seorang.

Beliau berkata, pihaknya melakukan intipan di restoran berkenaan setelah mendapat maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan maksiat itu.

“Hasil siasatan mendapati restoran ini mempunyai lesen perniagaan yang sah dan mengadakan pesta seperti ini pada masa-masa tertentu sahaja,” ujarnya.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 29 dan Seksyen 35 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jawi untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130623/je_03/47-remaja-Islam-ditahan-sertai-parti-buih#ixzz2WzdPwxvF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hamba seks bapa – Utusan


Hamba seks bapa

 

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

TASEK GELUGOR 22 Jun – Tindakan seorang gadis berusia 16 tahun melarikan diri selama tiga hari dari rumah sejak Ahad lalu, membongkar rahsia remaja itu dan dua adiknya yang sebenarnya tertekan kerana menjadi hamba seks kepada bapa dan bapa saudaranya sejak sembilan tahun lalu.

Rahsia itu terbongkar hanya selepas remaja tersebut ditemui semula oleh ibu saudaranya lalu menceritakan peristiwa hitam dia dan dua adiknya berusia 11 dan 14 tahun dirogol kedua-dua suspek.

Ibu dan ibu saudara mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara sejurus selepas itu.

Difahamkan, bapa mangsa berusia 42 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan bapa saudara mereka berusia 37 tahun memaksa tiga beradik itu menerima wang setiap kali selepas dirogol selain diugut akan dipukul jika kejadian tersebut dihebahkan.

Perbuatan keji itu dipercayai telah berlaku sejak ketiga-tiga mangsa berusia tujuh tahun lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Supritendan Mohd. Shukri Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan penahanan kedua-dua suspek pada hari sama laporan dibuat.

“Siasatan mendapati remaja terbabit mendakwa dirogol bapanya sejak 2004 di rumah mereka di Kampung Permatang Berangan di sini setiap kali ibunya keluar bekerja sebagai pembantu kantin sebuah sekolah di sini.

“Dia dan dua adik perempuannya juga dirogol di rumah bapa saudara mereka di Ladang Malakoff yang terletak tidak jauh dari rumah mereka tanpa mengira masa sejak masing-masing berumur tujuh tahun,” katanya.

Mohd. Shukri berkata, ketiga-tiga beradik berkenaan tidak berani menceritakan apa yang berlaku kerana takut dicederakan biarpun ibu mereka yang berusia 40 tahun melihat perbezaan sikap tiga anaknya itu yang seolah-olah berada dalam keadaan trauma sepanjang masa.

Menurutnya, bapa mangsa tidak bekerja dan memegang kad OKU manakala bapa saudara mereka yang bekerja sebagai buruh tinggal seorang diri di ladang berkenaan dan belum berkahwin.

Kedua-dua suspek ujar beliau, kini direman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 376(A) Kanun Keseksaan iaitu sumbang mahram dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

“Ketiga-tiga mangsa pula ditempatkan di hospital daerah di sini untuk pemeriksaan dan laporan awal perubatan mengesahkan kemaluan kesemua mangsa mempunyai kesan koyakan lama dan baharu,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130623/je_02/Hamba-seks-bapa#ixzz2WzcSazTQ
© Utusan Melayu (M) Bhd