Semua sekolah di Melaka dibuka seperti biasa esok – Bernama


Semua sekolah di Melaka dibuka seperti biasa esok

2013/06/24 – 18:02:45 PMCetakEmel Kawan
MELAKA: Semua sekolah dan institusi prasekolah di Melaka yang ditutup hari ini akibat jerebu diarah dibuka semula seperti biasa esok.

Pengumuman itu dibuat Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron melalui radio Melaka FM, petang ini.

Mengulas lanjut, Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka, Kasim Muhamad ketika dihubungi BERNAMA berkata, kesemua 313 sekolah menengah dan rendah itu dibuka semula berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) kini berada di bawah tahap bahaya.

Beliau berkata, sehingga 4 petang ini, Bandaraya Melaka mencatatkan IPU 127 manakala Bukit Rambai 148.

“Mengikut pekeliling Kementerian Pendidikan, sekolah dibenar dibuka sekiranya IPU di bawah 300, namun aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan dihentikan seketika,” katanya.

Katanya, pelajar juga digalak menggunakan topeng muka bagi mengelak terdedah pelbagai risiko yang boleh menjejaskan kesihatan. – BERNAMA

Jerebu: Sekolah wajib ditutup jika IPU melebihi 300 – Berita Harian


Jerebu: Sekolah wajib ditutup jika IPU melebihi 300

2013/06/24 – 19:08:38 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan berkata, sekolah wajib ditutup sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan mereka melebihi paras 300.

Dalam pada itu, kementerian terbabit bersetuju supaya sekolah yang terbabit boleh ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah bacaan melebihi 250 dan perlu memaklumkan terlebih dahulu.

“Sekiranya keadaan jerebu di kawasan terbabit memberi kesan yang teruk kepada murid-murid atau bacaan IPU dalam lingkungan antara 250 hingga 300, Jabatan Pelajaran boleh merujuk kepada Kementerian Pendidikan untuk pertimbangan arahan penutupan sekolah,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Kenyataan akhbar itu dikeluarkan sebentar tadi selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Menangani Keadaan Jerebu yang diadakan di Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, katanya, semua sekolah yang sudah ditutup sebelum ini dan terletak di kawasan IPU kurang daripada 250 perlu dibuka semula.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan memandang serius perkembangan fenomena jerebu yang melanda negara ketika ini.

Guru, petugas tak perlu hadir ke sekolah ditutup – Bernama


Guru, petugas tak perlu hadir ke sekolah ditutup

 

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Penutupan operasi sekolah akibat bencana jerebu di beberapa kawasan hari ini turut meliputi guru dan petugas lain di sekolah berkenaan.

Menurut sumber Kementerian Pendidikan, kesemua mereka tidak perlu hadir bertugas di sekolah yang berkenaan esok.

Beliau yang dihubungi Bernama di sini malam tadi diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa guru yang diarah hadir di sekolah masing-masing esok walaupun kerajaan telah mengumumkan sekolah terbabit ditutup kerana jerebu.

Sumber itu turut mengesahkan pihaknya telah dimaklumkan semua sekolah di Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya ditutup hari ini.

Peringkat daerah pula meliputi sekolah di Segamat, Muar dan Ledang di Johor, Kuantan (Pahang) dan Port Dickson (Negeri Sembilan), katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130624/dn_02/Guru-petugas-tak-perlu-hadir-ke-sekolah-ditutup#ixzz2X8oEMnrY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Semua sekolah di Kuantan dibuka semula esok – Bernama


Semua sekolah di Kuantan dibuka semula esok

 

KUANTAN 24 Jun – Semua sekolah di Kuantan yang ditutup hari ini akibat jerebu akan dibuka semula seperti biasa mulai esok, kata Pemangku Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi Ismail.

Beliau berkata, kesemua 120 sekolah menengah dan rendah di daerah itu bagaimanapun diarah supaya tidak melakukan aktiviti luar dan ko-kurikulum.

“Semua pelajar dan guru-guru terlibat akan ke sekolah seperti biasa mulai esok,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga telah mengeluarkan garis panduan kepada semua sekolah sebelum ini dalam menghadapi masalah jerebu.

Semalam, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengarahkan semua sekolah di daerah ini dan kawasan yang terjejas teruk akibat jerebu ditutup hari ini.

Adnan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor kesihatan para pelajar ekoran Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuantan yang mencecah paras tidak sihat.

Mengikut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat 12 tengah hari ini, IPU dua kawasan di Kuantan iaitu Balok Baru dan Indera Mahkota masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, masing-masing 198 dan 171. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130624/dn_32/Semua-sekolah-di-Kuantan-dibuka-semula-esok#ixzz2X8nBHzPx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jerebu: Ibu bapa dibenarkan tak hantar anak ke sekolah – Bernama


Jerebu: Ibu bapa dibenarkan tak hantar anak ke sekolah

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun – Ibu bapa dibenar tidak menghantar anak-anak ke sekolah jika bimbang kesihatan mereka berikutan jerebu yang melanda sekarang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, pihak sekolah hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu.

“Ibu bapa diminta merujuk kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan status sekolah anak-naka mereka terutama di kawasan yang terlibat,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dalam kenyataan di sini hari ini.

Sekolah-sekolah diarahkan tutup hari ini iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka serta daerah Muar, Ledang dan Segamat di Johor, Port Dickson di Negeri Sembilan dan Kuantan di Pahang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini bahawa sekolah-sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka ditutup esok memandangkan keadaan jerebu bertambah buruk.

Muhyiddin berkata, walaupun sekolah-sekolah dalam kawasan jerebu kritikal dan yang bacaan Indeks Pencemaran Udara melebihi paras bahaya telah ditutup, murid-murid dinasihatkan supaya tidak mendedahkan diri di kawasan terbuka.

“Dalam hal ini kerjasama ibu bapa perlu supaya dapat mengawasi pergerakan anak-anak mereka sepanjang tempoh itu,” katanya.

Murid-murid juga dinasihatkan sentiasa memakai penutup hidung dan minum banyak air, manakala pihak sekolah hendaklah merujuk pelajar yang tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran, katanya.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan semasa jerebu untuk mengetahui status terkini jerebu di kawasan masing-masing.

Katanya, semua pengarah pelajaran negeri hendaklah sentiasa mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak berkuasa di peringkat masing-masing mengenai keperluan penutupan sekolah serta pelaksanaan sebarang aktiviti melibatkan murid.

Muhyiddin juga meminta pihak sekolah mematuhi arahan surat siaran dari semasa ke semasa sama ada untuk menutup sekolah dengan serta merta, menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah atau menghentikan semua aktiviti kokurikulum dengan kadar segera bagi menjamin kesihatan murid. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130624/dn_38/Jerebu-Ibu-bapa-dibenarkan-tak-hantar-anak-ke-sekolah#ixzz2X8n3ep33
© Utusan Melayu (M) Bhd

PM tentukan bonus penjawat awam – KSN – Bernama


PM tentukan bonus penjawat awam – KSN

 

PUTRAJAYA 24 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membuat keputusan berhubung pemberian bonus untuk penjawat awam tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, keputusan itu akan dibuat Najib selaku Menteri Kewangan sempena pembentangan Belanjawan 2014 yang dijadual 25 Oktober ini.

“Saya rasa kerajaan akan membuat keputusan apabila kerajaan buat bajet (pembentangan Belanjawan 2014), PM sendiri akan buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Seramai 1,374 petugas dari 42 Jabatan/Agensi/Bahagian Jabatan Perdana Menteri menerima anugerah itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada kerajaan supaya bonus melebihi sebulan setengah gaji diberikan kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam.

Semalam, Presiden CuepacsDatuk Omar Osman menyarankan kerajaan agar bonus melebihi sebulan setengah gaji atau sekurang-kurangnya sebulan setengah gaji diberikan kepada kakitangan awam dengan pembayaran setengah bulan gaji dibuat sebelum perayaan Aidilfitri nanti.

Tahun lalu, penjawat awam menerima bonus sebulan setengah gaji dengan pembayaran dibuat sebanyak tiga kali; sebelum perayaan Aidilfitri, bulan Disember dan pada Januari tahun ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Ali yang genap setahun menjalankan tugas sebagai KSN, meminta penjawat awam supaya lebih peka dan mendekati nadi rakyat dengan mengambil langkah proaktif melalui Program Jejak Mesra Perkhidmatan Awam.

“Penjawat awam (menerusi program itu) akan turun untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan membawa perkhidmatan kepada mereka.

“Ini adalah satu pendekatan baharu di mana kita tidak boleh menunggu untuk rakyat datang kepada kita dengan masalah mereka tetapi sebaliknya kita mendekati mereka,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan maklum balas, pandangan dan cadangan membina daripada seluruh penjawat awam demi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

“Kita semua (penjawat awam) perlu senang dihubungi dan didekati. Saya berharap agar sebarang maklum balas yang ingin disampaikan dapat disalurkan melalui saluran yang bersesuaian,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130624/dn_40/PM-tentukan-bonus-penjawat-awam—KSN#ixzz2X8mszAUY
© Utusan Melayu (M) Bhd