Jerebu: 239 sekolah di Hilir Perak dan Manjung ditutup – Utusan


Jerebu: 239 sekolah di Hilir Perak dan Manjung ditutup

 

IPOH 25 Jun – Sebanyak 239 buah sekolah menengah dan rendah di Manjung dan Hilir Perak ditutup dua hari bermula tengah hari ini ekoran keadaan berjerebu di daerah berkenaan yang berada pada tahap berbahaya dengan bacaan 330.

Menurut jurucakap Jabatan Pelajaran Perak, penutupan itu melibatkan 102 sekolah di Manjung manakala 137 pula di Hilir Perak.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar, sehingga pukul 10 pagi ini, empat kawasan lain yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat ialah Tanjung Malim (176), Jalan Tasek, Ipoh (146), Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh, Ipoh (190) dan Kampung Air Putih, Taiping (153). – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130625/dn_26/Jerebu-239-sekolah-di-Hilir-Perak-dan-Manjung-ditutup#ixzz2XDpsHSUI
© Utusan Melayu (M) Bhd

102 sekolah di daerah Manjung, Perak ditutup hari ini – Bernama


102 sekolah di daerah Manjung, Perak ditutup hari ini

 

 

IPOH 25 Jun – Kesemua sekolah menengah dan rendah di daerah Manjung diarahkan ditutup mulai sesi petang hari ini berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan 322 iaitu tahap berbahaya di Seri Manjung pada pukul 9 pagi..

Pegawai Pelajaran Daerah Manjung Muhd Suod Mat Thani berkata penutupan itu melibatkan 21 buah sekolah menengah dan 81 sekolah rendah dengan hampir 40,000 orang murid.

“Kami telah mendapat kebenaran dari Jabatan Pelajaran Negeri dan telah memaklumkan kepada semua pengetua serta guru besar sekolah di sini. Murid sesi pagi dibenarkan pulang awal memandang mereka telah hadir ke sekolah pagi ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata sesi persekolahan pada hari ini dan esok perlu digantikan pada tarikh yang ditentukan kemudian.

Mengikut laman web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, kawasan lain yang merekodkan kualiti udara yang semakin buruk pada pukul 9 pagi ialah Jalan Tasek, Ipoh dengan bacaan 144, Kampung Air Putih, Taiping (149), Jalan Pegoh, Ipoh (188) dan Tanjung Malim (175). – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130625/dn_25/102-sekolah-di-daerah-Manjung-Perak-ditutup-hari-ini#ixzz2XDplYQIv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jerebu: Sekolah di tiga daerah di Selangor diarah tutup – Utusan


Jerebu: Sekolah di tiga daerah di Selangor diarah tutup

 

SHAH ALAM 25 Jun – Jabatan Pendidikan Selangor hari ini mengumumkan penutupan sekolah di tiga lagi daerah di negeri ini selepas Pelabuhan Klang semalam susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi 250 berkuatkuasa hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Salleh Mohd. Kassim berkata, tiga daerah terbabit ialah Kuala Langat yang melibatkan 71 buah sekolah diikuti Kuala Selangor (91 buah) dan Petaling Perdana sebanyak 132 buah sekolah. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130625/dn_28/Jerebu-Sekolah-di-tiga-daerah-di-Selangor-diarah-tutup#ixzz2XDpXfWkZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kanak-kanak 7 tahun kritikal didera bapa tiri – Utusan


Kanak-kanak 7 tahun kritikal didera bapa tiri

 

KUALA TERENGGANU 25 Jun – Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun bukan sahaja dipercayai dikurung dan sering ditinggalkan kelaparan malah turut teruk didera secara fizikal oleh bapa tirinya sejak beberapa bulan lalu.

Kanak-kanak malang itu ditemui bersendirian dalam keadaan sangat menyedihkan selepas rumah di Taman Perumahan Gong Badak dekat sini diserbu sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) petang semalam hasil maklumat daripada seorang pengadu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan, terdapat kesan cucuhan puntung rokok di sekitar perutnya, kesan melecur, bengkak, luka di kaki serta lebam di bahagian mata malah sebahagian lukanya telah dijangkiti kuman.

 

Katanya, ketika tiba di rumah yang disewa kepada bapa tiri dan ibu kanak-kanak itu, pagar didapati berkunci dan pihak polis meminta pemilik rumah berkenaan membuka rumah terbabit dan mendapati seorang kanak-kanak di dalamnya.

Katanya, ketika ditemui, kanak-kanak berkenaan dalam keadaan tidak bermaya dan mengadu kelaparan serta memaklumkan dia telah dikurung oleh bapa tirinya.

“Kanak-kanak tersebut kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dirawat dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana keadaannya dilaporkan stabil.

“Kita sedang jalankan siasatan lanjut terhadap kanak-kanak itu dan suspek,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Difahamkan mangsa, anak sulung daripada tiga beradik merupakan anak tiri kepada suspek, Mohd. Shazwan Shari, 26, selepas ibunya, Nor Azira Abas, 29, yang telah kematian suaminya kira-kira dua tahun lalu berkahwin dengan buruh yang juga dipercayai penagih dadah itu sejak 10 bulan yang lalu.

 

Mengulas lanjut, Manoharan berkata, pihak polis turut difahamkan, ibu mangsa yang mengetahui anaknya didera itu bagaimanapun takut untuk berbuat apa-apa apabila dia dipercayai turut didera sehingga patah tangan dan telah dirujuk suspek ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan sejak beberapa hari lalu.

Tambah beliau, bagaimanapun, menyedari pihak polis telah menemui kanak-kanak itu, suspek kemudian bertindak melarikan isterinya yang sedang dirawat di hospital bersama dua lagi anak tirinya berusia lima dan dua tahun setengah.

“Polis kini sedang giat memburu suspek dan isterinya yang berasal dari Kampung Tanjung Surau Besar dekat sini kerana dipercayai terlibat sama dalam kes ini dan suspek dikatakan melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi bernombor pendaftaran TBE 8379.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak kerana mendera dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asistan Supritendan Najuri Saibol (016-398 9237) atau Pegawai Turus Bahagian Seksual Kanak-kanak, Asistan Supritendan Marina Hashim (012-676 6840),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130625/je_08/Kanak-kanak-7-tahun-kritikal-didera-bapa-tiri#ixzz2XDpQdwoM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Teknologi biometrik, poligraf dicadang diguna di sekolah – Utusan


Teknologi biometrik, poligraf dicadang diguna di sekolah

 

Oleh OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 25 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan bercadang melaksanakan penggunaan teknologi biometrik dan poligraf di semua sekolah di seluruh negara bagi membendung kegiatan jenayah dan perlanggaran disiplin dalam kalangan pelajar.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, sebagai permulaan sebanyak 230 buah sekolah menengah dan rendah di negeri ini telah mengguna pakai sistem dikenali sebagai Sistem Pencegahan dan Pemantauan Tingkah Laku Pelajar (SPPTP) itu.

Beliau berkata, SPPTP dibangunkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130625/dn_32/Teknologi-biometrik-poligraf-dicadang-diguna-di-sekolah#ixzz2XDpJwys0
© Utusan Melayu (M) Bhd