Penggabungan dua kementerian adalah agenda transformasi negara
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia adalah langkah penyeragaman dasar pendidikan negara dengan berpaksikan falsafah Pendidikan Negara.
Beliau berkata, langkah itu turut membabitkan usaha memastikan kesinambungan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PPM 2013-2025) dan kajian semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bagi menyediakan sistem pendidikan bermula dari peringkat rendah, menengah dan seterusnya.
“Langkah penyelarasan sudah dilakukan lebih awal. Sejajar dengan usaha mentransformasikan sistem pendidikan negara seiring dengan agenda transformasi negara yang lain.
“Selain memastikan kerajaan dapat menyediakan modal insan yang dimanfaatkan daripada sistem pendidikan menyeluruh, ia juga dapat diuruskan dengan lebih cekap dan berkesan ,” katanya ketika menjawab soalan lisan ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir hari kedua Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-13 di sini, pagi tadi.
Soalan yang ditanyakan Abdul Aziz adalah berkenaan penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dan pelaksanaan PPPM 2013-2025 dan PSPTN susulan daripada langkah itu .