Ibu bapa, guru kena kerjasama didik anak – Berita Harian


Ibu bapa, guru kena kerjasama didik anak

2013/06/30 – 20:24:41 PM Oleh Haika KhaziCetakEmel Kawan
Putrajaya: Persepsi bahawa beban mendidik anak terletak sepenuhnya kepada guru dan sekolah perlu diubah.

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, soal pendidikan anak khususnya yang berkaitan dengan aspek membaca, menulis, mengira dan menaakul, memerlukan penggemblengan ibu bapa dan guru dalam usaha menghasilkan pelajar yang berkualiti pada masa depan.

Ini bermaksud ibu bapa juga perlu mengambil tahu soal pembelajaran, kebolehan, disiplin serta kemajuan anak masing-masing dengan berkomunikasi rapat dengan guru dan pentadbiran sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan, Datuk Sufa’at Tumin, berkata sejajar dengan peningkatan akademik ibu bapa, tanggungjawab mendidik anak bukan lagi tanggungjawab guru sepenuhnya, tetapi turut membabitkan ibu bapa dan komuniti setempat termasuk syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

Lancar inisiatif baru

Justeru, beliau berkata Kementerian Pendidikan baru-baru ini melancarkan inisiatif Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta secara meluas, di mana Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah merupakan alat bagi membolehkan pencapaian inisiatif ini.

Pelaksanaan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah dapat mengukuh dan meluaskan lagi penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta ke arah pencapaian aspirasi murid.
Sarana Ibu Bapa adalah satu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan anak dalam pembelajaran di rumah dan sekolah.

Sufa’at berkata seperti terkandung dalam PPPM, Sarana Ibu Bapa merangkumi empat elemen meliputi penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Katanya, Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa menerusi PIBG.

“Inisiatif itu membabitkan kepentingan dan masa depan lebih 5.03 juta murid di lebih 10,000 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara dengan anggaran murid yang terbabit bagi tempoh 13 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang.

“Selain mengurus urusan rumahtangga, ibu bapa diminta meluangkan masa bersama anak dan melakukan aktiviti-aktiviti seperti terkandung dalam Sarana Ibu Bapa.

“Ibu bapa juga diminta melibatkan diri di sekolah secara aktif dan boleh memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk, termasuk idea, tenaga, kepakaran, dan kewangan,” katanya.

PIBG diminta untuk menubuhkan biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) yang dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa, murid dan sekolah. Melalui KSIB, lebih banyak interaksi, perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku demi mewujudkan hubungan yang bermakna antara ibu bapa dan anak.

Dalam pada itu, Sufa’at berkata dalam Sarana Sekolah, peranan PIBG amat penting untuk menggerakkan KSIB yang banyak diamalkan di negara maju.

Malah, beliau berkata, kebanyakan sekolah di negara maju turut digerakkan bersama oleh ibu bapa bagi melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah dan berharap PIBG mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan kumpulan ini demi masa depan anak mereka.

Sekolah kena tukar imej

“Bagi menarik minat ibu bapa dan anggota masyarakat untuk datang ke sekolah dan terlibat dengan aktif, pihak sekolah perlu mewujudkan suasana mesra dan mengalu-alukan kedatangan ibu bapa dan anggota komuniti. Jika selama ini dirasakan sekolah adalah kepunyaan dan tanggungjawab guru dan murid semata-mata, kini kita mahu rasa kesepunyaan dan tanggungjawab dikongsi bersama oleh ibu bapa dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata ini dapat dicapai apabila pihak sekolah memberi mesej bahawa ibu bapa dan ahli komuniti dialu-alukan, seterusnya mewujudkan suasana kemesraan antara kedua-dua pihak.

“Tiada had umur bagi Ibu bapa dan ahli komuniti yang boleh menyumbang kerana setiap mereka mempunyai kebolehan dan kepakaran yang boleh dikongsi bersama demi melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.

Sufa’at berkata pendekatan berkenaan juga bakal menambah baik prestasi akademik sekolah serta mempergiatkan lagi kegiatan di luar bilik darjah pada masa depan dengan pembabitan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta.

“Selain, ibu bapa dan guru, pembabitan masyarakat setempat, GLC dan pihak swasta juga diperlukan dalam menghulurkan bantuan dari sudut luahan idea, pendapat dan bantuan kewangan.

“GLC dan pihak swasta dapat memberi bantuan kepada kumpulan sokongan ini menerusi penambahbaikan kemudahan sekolah, menganjurkan sesi motivasi oleh penceramah berpengalaman dan membantu mengisi tabung PIBG,” katanya.

Kumpulan berkenaan juga boleh membantu sekolah merealisasikan kebitaraan sekolah mereka dengan memberi sokongan dari segi kepakaran, peluang-peluang mengembangkan potensi murid dan guru, membina rangkaian dalam dan luar negara dan pelbagai lagi aspek untuk menjadikan murid cemerlang.

SENARAI NAMA PEMINJAM TEGAR PINJAMAN PELAJARAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA SEHINGGA 28.6.2013


SENARAI NAMA PEMINJAM TEGAR PINJAMAN PELAJARAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA SEHINGGA 28.6.2013

02 July 2013

As-Salam dan Salam Sejahtera,

Dimaklumkan bahawa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan senarai peminjam tegar KPM sehingga 28 Jun 2013. Maklumat adalah seperti di lampiran berikut :-

 

Muat Turun
SENARAI NAMA PEMINJAM TEGAR PINJAMAN PELAJARAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA SEHINGGA 28.6.2013

APLIKASI SEMAKAN TAWARAN CALON GANTIAN PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN (PISMP) AMBILAN JUN 2013


APLIKASI SEMAKAN TAWARAN CALON GANTIAN PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN (PISMP) AMBILAN JUN 2013

02 July 2013

Adalah dimaklumkan Semakan Tawaran Calon Gantian Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Jun 2013 boleh dibuat melalui laman web KPM mulai 3hb Julai 2013 pada jam 10 pagi.

Sekian, harap maklum.

Video seks bongkar rahsia rogol – Sinar Harian


Video seks bongkar rahsia rogol

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2013
Video seks bongkar rahsia rogol
Ab Rahman

SETIU – Rahsia seorang nelayan merogol teman wanitanya, pelajar tingkatan empat dari sebuah sekolah menengah di sini terbongkar selepas video klip perbuatan lelaki itu tersebut didakwa tersebar.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata, klip video yang merakamkan perlakuan seks pelajar itu dengan teman lelakinya berusia  23 tahun yang dirakamkan lelaki itu, dikatakan telah tersebar di sekolah mangsa.

Menurutnya, mangsa dari sebuah kampung di Penarik mengetahui video klip hubungan seks itu tersebar selepas ia heboh di sekolahnya pada dua minggu lalu.

“Pada Ahad lalu, mangsa memberitahu suspek bersama keluarganya datang ke rumah mangsa menceritakan tentang perkara itu dan minta untuk berkahwin, namun keluarga mangsa enggan menerima dan membuat laporan polis,” katanya.

Ab Rahman berkata, siasatan awal mengatakan mangsa mengaku mengenali suspek pada 12 Disember tahun lalu dan dia mendakwa dirogol teman lelakinya itu sebanyak tiga kali iaitu pada Februari, April dan pertengahan Mei lalu.

Menurutnya, selepas perbuatan suspek terbongkar, mangsa tampil membuat laporan dan bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan suspek di rumahnya pada jam 12.45 malam kelmarin untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

‘Mummy zalim’ – Sinar Harian


‘Mummy zalim’

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2013
"Mummy zalim"
Mangsa menunjukkan laporan polis dan gambar menunjukkan kesan rotan pada lengannya sebelum ini.
"Mummy zalim"
Antara kesan kecederaan yang dialami penghuni rumah kebajikan berkenaan.
"Mummy zalim"
Dua penghuni rumah kebajikan berkenaan menunjukkan laporan polis dibuat.

ALOR SETAR – Sebuah rumah kebajikan di sini, didakwa mengabaikan kebajikan penghuninya, malah mereka yang berumur tujuh hingga 17 tahun didera secara fizikal sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Sumber  yang  juga  ahli pertubuhan yang sering membantu rumah kebajikan berkenaan, berkata, pihak pertubuhan gagal mengesan kelakuan ganas penjaga rumah kebajikan itu ke atas kanak-kanak dan remaja terbabit kerana kebanyakan penghuninya takut untuk menceritakan keadaan sebenar.

“Tindakan ganas dilakukan individu terbabit terhadap 13 penghuni rumah kebajikan ini terbongkar baru-baru ini, apabila seorang penghuninya mengalami masalah berkaitan pendaftaran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Kanak-kanak berusia 12 tahun ini mengalami masalah untuk mendaftarkan diri bagi menduduki peperiksaan pada tahun ini disebabkan dia kerap tidak hadir ke sekolah sehingga menimbulkan tanda tanya kepada kami,” katanya pada sidang media di sebuah restoran, dekat sini, semalam.

Lelaki itu berkata, pihaknya kemudian melakukan siasatan teliti untuk mengenal pasti punca ketidakhadiran dan masalah yang terjadi sehinggalah mereka berjaya mendapat maklumat bahawa kebanyakan penghuni rumah kebajikan itu pernah didera.

Menurutnya, mereka turut difahamkan penjaga berkenaan akan memukul penghuni menggunakan peralatan seperti selipar, rotan dan pembaris sehingga mengakibatkan tubuh badan mangsa cedera dan mengeluarkan darah.

“Penjaga berkenaan turut didakwa mengurung dan tidak membenarkan mereka ke sekolah.

“Ada yang tidak dibenarkan ke sekolah selama setengah tahun dengan alasan perlu melakukan kerja rumah,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak tujuh mangsa dibawa keluar ibu bapa masing-masing berikutan pembongkaran kejadian itu, sementara enam penghuni lagi dipercayai masih mendiami rumah kebajikan tersebut.

Menurutnya, susulan pendedahan mangsa berhubung kejadian itu, dua laporan polis dibuat pada 29 Jun lalu, kerana bimbang keselamatan kebanyakan kanak-kanak yang masih mendiami rumah kebajikan berkenaan.

Katanya, lebih mengejutkan kira-kira tiga kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) turut mengalami nasib sama apabila dipukul hingga cedera jika didapati gagal melaksanakan tugas yang diberikan kepada mereka.

Mereka berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera demi keselamatan kanak-kanak yang masih tinggal di rumah kebajikan yang dimaksudkan itu.

Dipukul hingga luka

Seorang mangsa yatim piatu berkata dia bersama adiknya tinggal di rumah kebajikan itu sejak berumur tujuh tahun sehinggalah Jun lalu, sebelum ditukarkan ke rumah kebajikan lain.

“Kadang-kala, saya tidak dibenarkan ke sekolah supaya dapat menyelesaikan tugasan harian seperti membasuh baju dan mengemas rumah, bagaimanapun jika gagal berbuat sedemikian akan dipukul ‘Mummy’ sehingga luka.

“Malah, saya pernah dipukul di muka sehingga darah keluar dari hidung kerana dikatakan tidak mendengar cakap ‘Mummy’ dengan baik. Saya juga pernah dipukul kerana gagal dalam satu mata pelajaran,” katanya pada sidang media di sebuah restoran, dekat sini, semalam.

Dia yang berusia 12 tahun mengakui takut untuk menceritakan kelakuan ganas penjaga mereka kepada pihak lain kerana mendakwa diugut penjaga terbabit supaya mendiamkan diri jika tidak ingin dipukul dengan lebih teruk menggunakan rotan, selipar mahupun pembaris.

Sering dipukul

Sementara itu, ibu kepada dua mangsa lain, berusia 13 dan 12 tahun, berkata, anaknya memaklumkan mereka sering dipukul sesuka hati tanpa mengira masa oleh penjaga rumah kebajikan berkenaan.

“Difahamkan, kadang-kala mereka hanya melakukan kesalahan kecil seperti menjaga penghuni lain yang lebih muda, bagaimanapun jikalau kanak-kanak itu menangis, anak saya akan dipukul kerana dikatakan tidak menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Menurutnya, dia sering melawat anaknya apabila tiba hari minggu mahupun membawa mereka pulang, bagaimanapun kedua anaknya tidak pernah menceritakan perkara sebenarnya sehinggalah ia terbongkar, baru-baru ini.

Menurutnya, pengalaman yang dialami kedua anaknya itu membuatkan seorang daripada anaknya trauma untuk makan ayam, berikutan pernah dipaksa menjamah ayam yang masih mentah.

Malah dia turut difahamkan beberapa penghuni termasuklah kedua anaknya dipaksa tidur berlantaikan simen di ruang tamu berikutan terlepas melakukan upacara keagamaan yang ditetapkan.

Dipaksa makan nasi basi

Seorang lagi mangsa, berkata, dia dipaksa makan sebanyak 10 pinggan nasi sehari yang kadang-kalanya sudah basi dengan alasan dia memiliki tubuh yang kecil, jadi memerlukan makanan yang banyak supaya cepat membesar.

Bagaimanapun, katanya, ekoran tidak dapat menahan kelakuan ganas yang dilakukan penjaga rumah kebajikan terbabit terhadap dirinya selama empat tahun itu, lalu dia bertindak melarikan diri pada satu malam, Mei tahun lepas.

Menurutnya, kini dia gembira kerana bebas melakukan aktiviti hariannya dan dapat menjalani kehidupan normal seperti remaja seusianya dengan bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai pakaian di Sungai Petani.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kes penderaan membabitkan penjaga rumah kebajikan terbabit.

Kegembiraan bertukar cemas – Sinar Harian


Kegembiraan bertukar cemas

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2013
Kegembiraan bertukar cemas
Orang ramai melihat pokok tua yang tumbang dan melintang jalan berhampiran SMK Orang Kaya Haji, Kuala Lipis, pagi semalam.

KUALA LIPIS – Kegembiraan pengunjung yang memeriahkan Majlis Perasmian Sekolah Angkat Pintar Telekom Malaysia di SMK Orang Kaya Haji, di sini bertukar cemas apabila sebatang pokok tua tumbang dan melintang jalan kira-kira jam 11 pagi semalam.

Pengunjung, Azam Othman, 28, berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga sedang melawat ruang pameran pada majlis itu sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari arah jalan raya.

“Apabila terdengar bunyi bising, saya bersama pengunjung lain bergegas ke tempat kejadian dan lihat sebatang pokok tua tumbang dan hampir menghempap beberapa kenderaan lain yang diletakkan di bahu jalan.

“Mujur tiada kenderaan yang diletakkan di bawah pokok itu,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Norhayati Mahmud, 35, berkata, pihak berkaitan digesa tebang pokok tua yang ada di sekitar bandar Lipis bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kita bernasib baik kerana tiada pengunjung yang cedera dan pokok tumbang itu tidak menimpa kenderaan yang diletakkan di kawasan berhampiran. Kalau tidak, sudah tentu pemilik kenderaan berkenaan terpaksa tanggung rugi.

“Kita harap pihak berkaitan dapat tebang pokok tua terutama di laluan utama yang kerap dilalui pengguna jalan raya. Kita tak nak nanti ada yang maut atau cedera kerana dihempap pokok,” katanya.

Diserang 20 pelajar samseng Sinar Harian


Diserang 20 pelajar samseng

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2013
Diserang 20 pelajar samseng
Selain lebam di mata dan paha, mangsa turut mendakwa cedera di siku.
Diserang 20 pelajar samseng
Keadaan mata mangsa yang lebam akibat dibelasah 20 lelaki.

SUNGAI PETANI – Ibu kepada anak bongsu berusia 13 tahun yang dibelasah sekumpulan lelaki di sini, bimbang dengan masa depan yang terpaksa ditanggung anaknya akibat menjadi mangsa pergaduhan dalam satu kejadian, Khamis lalu.

Fadziyah, 43, mendakwa, anaknya nyaris maut diserang 20 lelaki yang bersenjatakan kayu besbol, topi keledar dan sebatang besi yang diasah tajam dipercayai akibat perselisihan faham yang tercetus beberapa hari sebelumnya.

Dakwanya, dia dimaklumkan orang ramai yang menyaksikan kejadian di hadapan pintu pagar sekolah ketika anak lelaki tunggal dari lima beradik itu mahu balik selepas tamat sesi persekolahan.

“Orang awam hubungi saya memaklumkan supaya datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk membuat laporan polis,” katanya.

Fadziyah berkata, dia menemui anaknya di IPD dengan keadaan mata lebam, hidung berdarah dan paha serta sikunya cedera.

Seterusnya katanya, dia membawa anaknya membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan ditahan wad selama dua hari.

Dia berharap, pihak berkenaan perlu lebih prihatin terhadap pergaduhan melibatkan pelajar memandangkan kes sedemikian melibatkan nyawa pelajar dan yakin anaknya hanya menjadi mangsa keadaan.

Menceritakan kejadian, Fadziyah mendakwa, pergaduhan dikatakan tercetus apabila mangsa tersentuh bahu seorang suspek dalam tandas sekolah.

“Bermula insiden berkenaan, sekumpulan pelajar mengepung dan pernah bertindak kasar di padang sekolah iaitu memijak pinggang anak saya, namun memikirkan ia hanya gaduh biasa dan tidak mahu dibesarkan.

“Rupa-rupanya mereka berdendam dan akibat tidak puas hati tersebut, anak dibelasah 20 individu dipercayai geng suspek,” katanya.

Menurutnya, rakan mangsa yang turut diterajang di perut sehingga terjatuh ke dalam longkang dan seorang lagi cedera dalam kejadian Khamis lalu, sudah dibenarkan ke sekolah.

“Bagaimanapun, akibat kecederaan di kepala, muka, tangan dan paha, anak diberi cuti sakit sehingga 15 Julai depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, polis sudah mengenal pasti suspek dan siasatan lanjut akan diteruskan.

Khalil turut menasihati ibu bapa dan pihak sekolah supaya bekerjasama dalam menangani isu pergaduhan melibatkan pelajar.

Tiga remaja hilang ditemui – Sinar Harian


Tiga remaja hilang ditemui

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2013
Tiga remaja hilang ditemui
Mangsa yang hilang dari kiri, Mohammad Firdaus, Mohammad Aris dan Mohammad Izuan Syafiq.

TAIPING –  Hasrat tiga remaja mahu mendaki Gunung Hijau seperti dirancang tidak kesampaian sebaliknya berdepan detik cemas apabila sesat dalam Hutan Larut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Penguasa Hasna Abd Rashid berkata, tiga remaja berkenaan Mohamad Aris Azhar, 17, Mohammad Izuan Syafiq Mohd Radzi, 21 dan Mohammad Firdaus Mohd Radzi, 17, difahamkan telah bersama-sama mendaki Gunung Hijau.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan jam 3.10 memaklumkan ketiga-tiga mereka telah sesat dan tidak ditemui.

“Ketiga-tiga mangsa dari Kampung Changkat Jering itu dikatakan telah sesat dalam kawasan hutan Bukit Larut dan pada peringkat permulaan seramai sembilan anggota Bomba dan Penyelamat Taiping telah bergegas ke tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Hasna berkata, operasi mencari dan menyelamat telah dimulakan pada jam 3.16 petang dan pasukan bomba turut mendapat bantuan daripada lapan anggota polis, dua dari Jabatan Hutan, tiga daripada Pejabat Daerah dan dua adalah daripada Kumpulan Belia
Proaktif.

“Semua 24 orang ini bertungkus-lumas cuba menjejak ketiga-tiga mangsa dan mereka hanya ditemui pada jam 9 malam iaitu empat kilometer dari puncak Gunung Hijau.

“Ketika ditemui kesemua mereka dalam keadaan tidak bermaya dan keletihan berikutan telah sesat,” katanya.

Dalam pada itu, Hasna berkata, bagaimanapun semua mangsa yang terlibat didapati tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Selepas ditemui, ketiga-tiga mangsa telah dibawa keluar daripada kawasan hutan berkenaan dan hanya berjaya diturunkan pada jam 12 tengah malam.

“Setiba di kaki Bukit Larut, mereka diberikan rawatan terlebih dahulu dan selepas disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan masing-masing dibenarkan pulang. Operasi mencari dan menyelamat tamat sekitar jam 1 pagi,” katanya.

Sekolah vernakular perlu penambahbaikan: Ahli akademik – Bernama


Sekolah vernakular perlu penambahbaikan: Ahli akademik

2013/07/02 – 10:02:43 AMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Beberapa penambahbaikan perlu dilakukan dalam sistem pendidikan khususnya sistem sekolah vernakular, dengan matlamat akhirnya memupuk perpaduan rakyat dan penyatuan kaum di negara ini, menurut seorang ahli akademik.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata kerajaan perlu mengkaji semula silibus dan subjek yang digunakan di semua sekolah termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.

“Tindakan kerajaan untuk mengekalkan sekolah vernakular perlu diterima rakyat.

“Pada masa sama, kerajaan perlu pastikan setiap sekolah memberi penekanan kepada subjek Kenegaraan, Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik/Moral dengan mewajibkan setiap pelajar mengambil mata pelajaran itu setiap tahun dan mesti lulus dalam peperiksaan,” katanya.

Bagi tujuan memartabatkan pendidikan negara, kerajaan pada 13 Jun lalu memutuskan untuk mengekalkan sistem sekolah vernakular seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Keputusan itu dibuat ekoran desakan 130 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam agar kerajaan mengkaji pelaksanaan hanya satu sistem persekolahan bagi menangani jurang perkauman di negara ini.

Mengikut data Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Negara, sehingga 30 April lalu terdapat 1,294 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan 523 SJK Tamil, dengan jumlah murid di kedua-dua jenis sekolah ialah 658,137 orang.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata kajian pihaknya dengan beberapa tokoh masyarakat Cina dan India mendapati kewujudan sekolah aliran menjadi penghalang kepada usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini sejak merdeka.

Junaidi, yang juga penganalisis politik, turut mencadangkan sistem sekolah vernakular hanya dilaksana di peringkat awal pendidikan iaitu tadika dan sekolah rendah.

“Apabila ke peringkat sekolah menengah perlu ada hanya satu sistem persekolahan iaitu sekolah menengah kebangsaan yang bersifat menyatupadukan semua kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain di bawahnya,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan sekolah menengah jenis kebangsaan yang mengkhususkan kepada kaum tertentu tanpa disedari menjadi ‘tembok pemisah’ kepada usaha penyatuan kaum di negara ini.

Katanya, pelaksanaan hanya satu sistem persekolahan menengah dapat mendidik dan menekankan kepada pelajar unsur-unsur kenegaraan, sejarah dan nilai murni hidup bermasyarakat, seiring dengan keupayaan mereka untuk lebih memahami satu sama lain.

“Sistem sekolah vernakular di peringkat sekolah menengah secara tidak langsung meminimumkan integrasi kaum, pemupukan semangat cintakan negara selain kurangnya penerapan terhadap nilai murni hidup dalam masyarakat majmuk kepada generasi muda.

Junaidi berpendapat sekiranya kerajaan masih menggunakan sistem sekolah vernakular di peringkat menengah, ia dikhuatiri akan terus ‘menjarakkan’ hubungan kaum dan membawa kepada sikap tidak menghormati Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, menghina bendera Malaysia dan memperlekeh Yang di-Pertuan Agong seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Di samping itu, pengecualian penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah menengah jenis kebangsaan sedikit sebanyak menghakis kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

– BERNAMA